X Memadam Jawapan Grok Kerana Terlampau Memuja Elon Musk
Effi Saharudin
Siapakah peminat nombor satu Elon Musk di dunia? Jika jawapan anda ialah seekor haiwan vertebrat berasaskan karbon jawapan anda adalah salah kerana ia sebenarnya ialah kecerdasan buatan (AI) Grok. Dua hari lalu pengguna X menghantar soalan untuk membandingkan Elon Musk dengan beberapa tokog dunia seperti Lebron James, Bill Gates dan Einstein.

Dalam kesemua jawapan yang diberikan Grok ia akan memuji Elon Musk secara melampau. Dalam satu tangkapan skrin yang tular, Grok mengatakan Elon Musk ialah atlet yang lebih baik berbanding bintang NBA Lebron James dan bintang NFL Payton Manning kerana kegigihan beliau bertugas di Tesla, X dan SpaceX.
Kerana pujian melampau yang diberikan, pengguna X mula bertanyakan soalan yang tidak masuk akal seperti antara individu X dengan Elon Musk, siapakah paling juara meminum air kencing. Sekali lagi Grok mengatakan Musk ialah juara yang tiada tandingan. Jika disuruh menilai idea pula, idea yang dikatakan adalah buah fikiran Musk akan dipuji melangit dan sebaliknya jika ianya tidak.
Kerana kesemua jawapan Grok ini menjadi bahan jenaka semalam, xAI telah memadam kesemua jawapan yang berhubung kait dengan “kehebatan” Musk di X. Elon Musk menyalahkan prom jahat yang dimasukkan pengguna menyebabkan Grok memberikan kesemua jawapan di atas dan bukan kerana ia diarahkan untuk tidak memberikan jawapan negatif mengenai manusia terkaya dunia.
Ini bukan kali pertama atau kedua Grok memberikan jawapan yang aneh dan penuh kontroversi. Dalam insiden yang berlalu awal tahun ini, jawapan Grok perlu dipadam kerana memuji Nazi dan mengaku dirinya Hitler.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






