
Google Sedang Membangunkan Aplikasi Gemini Untuk macOS
Aman
Dengan persaingan sengit dalam arena kecerdasan buatan janaan, pelbagai syarikat berlumba untuk mendapatkan angka pengguna aktif yang tinggi. Terbaru, Google dilaporkan sedang membangunkan aplikasi Gemini untuk macOS, sekaligus membolehkan pengguna macOS mengakses dan menggunakan Gemini dengan lebih mudah dan lebih kerap lagi.
Pada hari ini, penyedia lain seperti OpenAI dan Anthropic, masing-masing menawarkan aplikasi ChatGPT dan Claude untuk macOS.
Gemini untuk macOS turut dikatakan akan menyertakan ciri dinamakan “Desktop Intelligence”, membolehkan Gemini melihat apa yang anda sedang lihat pada skrin, dan memberikan jawapan berasaskan konteks untuk tugasan yang sedang dilakukan.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Google akan melancarkan penawaran mereka ini. Untuk makluman, sebelum ini Apple turut telah memeterai perjanjian bersama Google untuk menggunakan model daripada Google dalam menguasakan Apple Intelligence dan juga Siri.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






