Malaysia Oversight

WordCamp Malaysia 2025 Akan Berlangsung Di Sunway University – Jualan Tiket Kini Dibuka

By Amanz in November 21, 2025 – Reading time 2 minute
WordCamp Malaysia 2025 Akan Berlangsung Di Sunway University – Jualan Tiket Kini Dibuka


WordCamp Malaysia 2025 akan berlangsung pada 6 hingga 7 Disember di Sunway University, Kuala Lumpur. WordCamp Kuala Lumpur (WCKL) ialah acara komuniti tahunan yang menghimpunkan pembangun web terbuka bersama komuniti WordPress di Malaysia.

WordCamp Malaysia 2025 01

Untuk edisi kali ini, peserta berpeluang menghadiri ceramah informatif dan bengkel menarik bagi mereka yang berminat dengan reka bentuk laman web, SEO serta perkembangan digital. Selain itu, acara ini turut menjadi ruang untuk berkongsi idea dan menjalin kerjasama dalam kalangan komuniti teknologi.

Edisi kali ini hadir dengan tema ‘Better Than Ever’ yang menampilkan topik-topik semasa seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Automasi. Acara ini turut menampilkan nama-nama berpengalaman dalam bidang masing-masing.

WordCamp Malaysia 2025 02

Antaranya seperti Hariz Halim akan membincangkan cara membina laman web berfungsi untuk menukar pelawat menjadi pelanggan. Seterusnya, James Hunt akan mengupas strategi SEO dalam era AI, manakala Iskandar Sulaili pula berkongsi pandangan tentang bagaimana penggunaan AI dapat bantu menjadikan pelawat sebagai pelanggan setia.

Acara selama dua hari ini dibahagikan kepada Contributor Day pada 6 Disember dan Main Conference Day pada 7 Disember. Tiket berharga RM100 untuk peserta biasa manakala tiket Micro-Sponsor berharga RM300 yang bukan sahaja memberikan akses penuh tetapi juga menyokong penganjuran acara komuniti ini.

WordCamp Malaysia 2025 07

Pendaftaran bagi Main Conference Day akan bermula pada 7 Disember 2025 jam 8:00 pagi manakala acara dijadualkan berakhir pada jam 6:00 petang. Peserta yang hadir lebih awal turut berpeluang mendapatkan T-shirt edisi khas bergantung kepada ketersediaan saiz. Sementara itu, bagi peserta luar negara yang memerlukan visa, pihak penganjur menyediakan surat rasmi sokongan bagi memudahkan proses permohonan.

WordCamp Malaysia 2025 03

Dari segi tajaan, WordCamp Malaysia 2025 menerima sokongan daripada pelbagai syarikat teknologi dengan Sunway University sebagai penaja lokasi, diikuti oleh Bluehost, Fluntcart, Hosting.com, FlyWP, WordPress serta beberapa syarikat lain.

Maklumat lanjut – WordCamp Malaysia 2025



Source link