WhatsApp Menguji Ciri ‘Username’ Sebagai Identiti Utama Pengguna
Amy Maizuraa
Fungsi nama pengguna (username) pada aplikasi WhatsApp sudah kedengaran sejak tahun lalu namun apa yang menjadikannya lebih menarik pada tahun ini ialah perancangannya untuk digunakan sebagai maklumat utama dalam profil pengguna.
Dengan ini, nombor telefon tidak lagi menjadi pengenalan utama sebaliknya digantikan dengan nama pengguna. Konsep tersebut sama seperti digunakan pada Telegram di mana pengguna boleh mencari serta menghubungi orang lain dengan lebih mudah menggunakan nama pengguna.

Seperti yang diperlihatkan dalam tangkap layar di atas, WhatsApp sedang menguji cara baharu yang membolehkan pengguna memulakan dan mengurus perbualan menggunakan nama pengguna tanpa perlu mendedahkan nombor telefon.
Sebaik sahaja akaun berasaskan nama pengguna ini ditemui melalui bar carian, pengguna boleh terus memulakan perbualan di mana nombor telefon tidak akan kelihatan kepada mana-mana pihak kecuali jika kedua-duanya menyimpan nombor masing-masing dalam buku alamat.
Pendekatan ini memberikan perlindungan tambahan terhadap maklumat peribadi yang sensitif kerana nombor telefon sering dikaitkan dengan identiti serta sumber data di luar WhatsApp. Pun begitu, ciri ini masih dalam pembangunan dan setakat ini belum ada tarikh rasmi pelancaran.






