WhatsApp Membangunkan Ciri ‘Cover Photo’ Seakan Facebook Untuk Peranti iOS
Amy Maizuraa
Bagi mereka yang sudah biasa dengan fungsi ‘cover photo’ di Facebook pastinya memahami apa yang cuba ditawarkan oleh WhatsApp. Dalam kemas kini mendatang, WhatsApp akan membenarkan pengguna menambah gambar yang sesuai sebagai latar belakang untuk akaun masing-masing di mana konsepnya adalah sama seperti fungsi pada akaun Facebook.

Seperti yang diperlihatkan, susun atur menunjukkan bahawa imej tersebut akan ditempatkan di bahagian atas profil sedia ada. Pendekatan ini adalah selari dengan reka bentuk yang telah digunakan untuk profil akaun perniagaan (WhatsApp Business) dan kelak ditawarkan pula bagi kegunaan akaun peribadi.
Proses pemilihan imej dijangka akan menjadi lebih mudah kerana ia terus diintegrasikan ke dalam menu suntingan profil. Pengguna boleh memilih imej daripada pustaka foto (gallery) sama seperti di WhatsApp Business dan seterusnya boleh mengubah kedudukan atau menukar imej pada bila-bila masa. Imej juga akan terus kekal dipaparkan sama ada ketika melihat profil kenalan atau akses tetapan akaun peribadi.
Ciri ini masih berada dalam fasa pembangunan dan kelak apabila dilancarkan, ia akan membolehkan semua pengguna mencuba fungsi ini tanpa mengira jenis akaun yang digunakan.





