Volkswagen Mengembalikan Semula Butang Fizikal Dalam EV Mereka
Effi Saharudin
Trend semasa ialah menggantikan pelbagai butang dalam kereta elektrik (EV) dengan skrin sesentuh gergasi. Ini adalah kerana ia dilihat sebagai ciri futuristik yang membezakannya dengan kereta ICE sedia ada. Tetapi eksperimen ini gagal kerana ramai pengguna merungut menggunakan skrin sesentuh bagi mengubah sistem penyaman udara ketika memandu adalah tidak intuitif. Kajian pula mendapati ia sama bahaya seperti memandu ketika mabuk.

Volkswagen hujung minggu lalu memperlihatkan rekaan kokpit baharu untuk EV keluaran mereka dengan semua butang fizikal dikembalikan. Menurut VW, keputusan mengembalikan butang diambil selepas mengambil kira pendapat pelanggan mereka. Butang fizikal dipadankan dengan perisian baharu serta sistem ADAS Travel Assist generasi ketiga.
Skrin LCD masih digunakan dengan satu untuk paparan maklumat pemanduan sebesar 10.25 inci di belakang stereng dan skrin sekunder 13 inci untuk konsol tengah sistem infohibur. Semua sistem kenderaan kini menggunakan butang fizikal termasuk mengubah laluan udara penyaman udara, lampu kecemasan, sistem pemanas, tangkai menukar gear, tangkai isyarat kenderaan dan banyak lagi.
Kenderaan pertama yang akan menggunakan kokpit baharu ini ialah Volkswagen ID. Polo 02 yang akan dilancarkan kelak.






