Valve Akan Membenarkan Pengeluar Lain Menghasilkan Steam Machine Sendiri
Effi Saharudin
Steam Machine kembali daripada liang lahad pagi ini selepas dikebumikan pada tahun 2018 kerana kurangnya sambutan. Dengan pelancaran Steam Machine baharu pagi ini, Valve ingin kembali ke arena konsol. Ia hanya akan mula dijual tahun depan tetapi Valve sudahpun mengesahkan mereka akan membenarkan pihak ketiga menawarkan Steam Machine mereka sendiri di masa hadapan.

Langkah ini tidak mengejutkan kerana Valve turut membenarkan perkara yang sama selepas Steam Machine asal dilancarkan pada tahun 2015. Ini pastinya tidak mengejutkan kerana tahun ini SteamOS juga disokong pada perkakasan selain Steam Deck. Beberapa bulan lalu Lenovo Legion Go S menjadi konsol pihak ketiga pertama ditawarkan dengan SteamOS selepas sekian lama hanya menyokong Windows 11.
Walaupun SteamOS adalah berasaskan Linux, sistem Proton yang digunakan membolehkan permainan Windows dijalankan tanpa isu besar dan tidak memerlukan pembangun melakukan proses pemindahan sendiri. Pengumuman Valve pagi ini dilihat akan mendatangkan impak kepada masa depan Xbox.
Microsoft seakan sudah mengesahkan Xbox seterusnya adalah sebuah PC dengan lapisan antaramuka Xbox Fullscreen Experience. Steam Machine dengan SteamOS berpotensi memberikan persaingan kepada Xbox kerana menawarkan prestasi yang lebih lancar jika dibandingkan dengan Windows 11.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






