Ulasan Xiaomi TV S Pro QD-Mini LED 75 2026 – Besar Dan Cantik Pada Harga Mampu Milik
Nazrin
Televisyen pintar bersaiz besar secara lazimnya sering dijual dengan harga mahal, lagi-lagi jika ia menggunakan panel seperti OLED ataupun Mini-LED. Pada saiz 65 inci dan keatas, tidak mengejutkan untuk melihat sebuah televisyen pintar tersebut hadir dengan tanda harga melangkaui RM10 ribu.
Xiaomi, jenama teknologi terkemuka dari China baru-baru ini telah memperkenalkan siri televisyen pintar Xiaomi TV S Pro Mini LED 2026 yang baru sahaja memasuki pasaran tempatan. Kami telah berpeluang untuk mengulas televisyen pintar ini, dan ini adalah pendapat kami mengenainya.
Rekaan Dan Spesifikasi
| Xiaomi TV S Pro QD-Mini LED 2026 | |
|---|---|
| Saiz Skrin | 75-inci |
| Resolusi | 7,680 x 4,320 pixel (100Hz) |
| Panel | Neo QLED |
| Pemproses | Quad Cortex A73 |
| GPU | Mali-G52 (2EE) MC1 |
| RAM | 3GB RAM |
| Storan | 32GB |
| Sistem Operasi | Google TV |
| HDR | HDR10+ |
| Keterangan Maksimum | 1700 nits |
| Audio | 15W, 4.2.2 Dolby Atmos, Harman AudioEFX |
| I/O | 3x HDMI 2.1, 3x USB-A 2.0, 1x USB-C,RF, Optical Audio |
| DTTV | Ya/DVB-T2 |
| Pembantu Maya | Google Assistant |
| Internet | LAN/ WiFi 6E |
| Bluetooth | BT 5.2 |
| Chromecast | Ya |
| AirPlay 2 | Ya |
| Saiz | 1667 × 351 × 1030mm (dengan tapak) |
| Berat | 26.2 kg (dengan tapak) |
| Harga Jualan | RM 4,999 |
Televisyen pintar Xiaomi TV S Pro QD-Mini LED 75 menggunakan panel paparan QD Mini LED dengan resolusi 4K yang menggabungkan kemampuan pencahayaan latar 704 zon yang lebih baik berbanding panel QLED, dan jauh lebih cerah berbanding OLED tetapi masih menjanjikan olahan warna yang sejitu mungkin.

Nilai kecerahan setinggi 1700 nit juga membantu paparan ini digunakan dalam pelbagai jenis situasi pencahayaan, sama ada dalam bilik sinema persendirian yang gelap ataupun ruang tamu yang mempunyai banyak sumber cahaya semula jadi. Panel yang digunakan ini juga hadir dengan ciri fizikal yang membantu mengurangkan isu pantulan silau pada permukaan skrin.

Jika anda seorang gamer, televisyen ini juga hadir dengan kadar segar semula 144Hz yang memperlihatkan kadar bingkai yang lancar apabila anda memainkan permainan-permainan kegemaran anda tidak kira dengan konsol permainan ataupun komputer gaming anda.
Dari segi audio pula, televisyen ini merumahkan dua buah pembesar suara 15W yang hadir dengan sokongan teknologi Dolby Atmos dan ditala dengan teknologi audio Harman AudioEFX untuk pengalaman pendengaran audio berkualiti tinggi.

Televisyen ini juga merumahkan sistem operasi Google TV, dan dalam pengalaman kami menggunakan televisyen ini, akan memuat-turun beberapa aplikasi terpilih seperti YouTube, Netflix dan beberapa aplikasi penstriman lain apabila anda mula menyambungkan televisyen ini ke rangkaian internet.
Dari segi sokongan palam pula, ia hadir dengan pilihan palam yang agak banyak, termasuklah tiga palam HDMI 2.1, dimana palam pertama dan kedua menyokong resolusi 4K 144Hz dan palam kedua boleh digunakan untuk menyambungkan televisyen ini kepada pembesar suara yang menyokong sambungan HDMI eArc untuk kualiti audio yang lebih baik lagi.

Palam-palam lain yang hadir termasuklah sambungan audio optikal (S-PDIF), palam audio 3.5mm, palam Ethernet untuk sambungan internet berkabel dan palam untuk siaran televisyen terrestrial.
Pengalaman Pengguna
Bermula dengan proses nyahkotak dan pemasangan, televisyen Xiaomi TV S Pro QD-Mini LED 75 mempunyai saiz yang agak besar, tetapi masih mudah untuk dipasang sendiri ataupun dengan bantuan seorang teman.
Setup awal televisyen ini juga agak mudah. Apabila ia dipasang, anda hanya perlu memyambungkannya kepada sambungan internet, dan sistem operasi Google TV akan memuat-turun semua kemaskini yang diperlukan secara automatik.

Satu perkara aneh yang saya perasan ialah Google TV akan bertanya jika anda mahu memuat-turun aplikasi-aplikasi tertentu, tetapi tidak kira apa pun pilihan anda, ia nampaknya akan memuat-turun semua aplikasi-aplikasi yang ditawarkan secara lalai, dan anda akan perlu menunggu sedikit untuk menggunakan televisyen tersebut.

Jika anda jenis yang gemar melontar kandungan daripada peranti pintar anda kepada paparan televisyen, Xiaomi TV S Pro QD-Mini LED menyokong sejumlah ciri lontaran kandungan, termasuklah Google Cast, Miracast dan Apple AirPlay yang bermakna tidak kira platform peranti yang anda gunakan, ia akan disokong televisyen ini tanpa masalah.

Dari sudut penggunaan televisyen, saya boleh katakan bahawa kualiti olahan video pada televisyen ini adalah cukup baik untuk digunakan dalam pelbagai jenis pencahayaan, samada dalam gelap ataupun didalam bilik yang disinari oleh cahaya lampu. Berterima kasih kepada fungsi Xiaomi Visual Engine Pro, televisyen ini cukup pintar untuk mengubahsuai tahap output pencahayaan skrin untuk kualiti gambar yang baik.

Ciri anti-silau pada televisyen ini juga pada pendapat saya agak baik, tetapi kadang-kala pantulan cahaya masih dapat diperlihatkan, khususnya pantulan cahaya daripada mentol lampu, ataupun apabila kandungan ditonton dalam bilik yang cerah. Tetapi selain daripada itu, pengalaman tontonan saya tidak begitu terkesan dengan isu silauan.

Kualiti tontonan dan gaming pada televisyen ini juga bagi saya adalah baik sekali. Kemampuan mengolah 94 peratus gamut warna DCI-P3 dilihat membantu dalam olahan video dan permainan video dengan penggunaan panel PD Mini-LED ini membolehkan kandungan ditonton dari sudut yang cukup besar di hadapan televisyen.
Walaupun begitu, saya juga masih mempunyai sedikit aduan mengenai televisyen ini. Terdapat beberapa kali saya perasan bahawa isu ghosting menjadi masalah pada babak-babak yang mempunyai banyak aksi dan pergerakan.

Bukan itu sahaja, apabila babak bertukar dari adegan gelap ke cerah dengan cepat, pencahayaan latar dinamik televisyen ini akan kadang-kala “keliru” dan menyebabkan paparan untuk menjadi terlalu cerah sebelum ia diperbaiki dengan sendiri.
Selain daripada itu, mod Dolby Vision (Bright, Dark dan Filmmaker) juga dilihat hanya mengubahsuai nilai kecerahan paparan sahaja, dan tidak banyak perbezaan lain dari segi suhu warna. Ini sejujurnya bukanlah satu isu yang besar, tetapi jika anda menjangkakan perbezaan besar diantara mod-mod ini, anda mungkin akan rasa kecewa.
Tetapi saya juga akan mengatakan bahawa “kepintaran” televisyen ini turut hadir melalui perubahan pilihan mod gambar yang akan berubah bergantung kepada kandungan. Aplikasi Netflix misalnya akan memperlihatkan mod Dolby Vision, manakala jika anda memainkan permainan pada konsol, menu tetapan akan berubah kepada mod HDR yang sesuai untuk digunakan.

Kualiti audio dua pembesar suara 15W terbina pada televisyen ini juga pada pendapat saya adalah cukup lantang dan mendalam, tetapi jika anda mahu memuatkan sistem audio surround sound pada televisyen ini, seperti yang saya katakan sebelum ini, televisyen ini juga menyokong sambungan HDMI eArc untuk sistem suara yang jauh lebih berkuasa.

Alat kawalan jauh televisyen ini juga hadir dengan butang pintasan untuk aplikasi-aplikasi penstriman popular seperti YouTube, Prime, Netflix dan Xiaomi TV+. Salah satu butang pintasan ini juga boleh ditetapkan untuk dijadikan pintasan satu lagi aplikasi kegemaran anda.

Sama seperti banyak alat kawalan televisyen moden lain, alat kawalan ini juga mempunyai ciri carian suara terbina, yang membolehkan anda untuk mengakses pelbagai aplikasi dan fungsi televisyen lain dengan cepat dan mudah.

Penutup
Pada harga RM4999, tidak banyak televisyen yang menawarkan pakej televisyen pintar selengkap Xiaomi TV S Pro QD-Mini LED 75 ini. Untuk harga tersebut, anda bukan sahaja mendapat paparan bersaiz 75 inci, resolusi 4K, kadar segar semula 144Hz dan ciri-ciri lain seperti HDR10+, pencahayaan latar dinamik dan sokongan untuk banyak teknologi televisyen lain yang memberi anda kualiti tontonan kelas premium sebegini.

Pro:
- Paparan, resolusi dan kadar segar semula tinggi
- Kualiti olahan warna cantik
- Teknologi televisyen moden kelas premium
- Alat kawalan yang penuh dengan pintasan dan ciri-ciri menarik
Kontra:
- Isu ghosting yang kadang-kala tiba dalam babak penuh aksi ataupun laju
- Mod Dolby Vision yang dilihat hanya menukar kecerahan paparan
- Pertukaran pencahayaan latar yang kadang-kala terlalu mendadak






