Malaysia Oversight

Ulasan Samsung Soundbar Q990F – Yang Sedia Terbaik Diperhalusi Lagi

By Amanz in August 25, 2025 – Reading time 7 minute
Ulasan Samsung Soundbar Q990F – Yang Sedia Terbaik Diperhalusi Lagi


Jika anda bertanya kepada penggemar sistem soundbar di rumah, majoriti akan menyarankan soundbar Q-Series Samsung kerana sejak lima tahun kebelakangan ini mereka menawarkan pakej audio yang cukup mantap pada harga yang berpatutan. Berpatutan di sini tidak bermakna mampu milik tetapi anda mendapat apa yang anda bayar dengan beberapa lagi bonus jika dibandingkan dengan sistem yang lebih mewah.

Tahun ini Q-series Soundbar HW-Q990F  telah dilancarkan di Malaysia pada bulan Mei dan sekali lagi Samsung memperhalusi model tahun lalu untuk menjadikannya semakin berbaloi untuk dimiliki.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Samsung Soundbar Q990F
Jenis Soundbar
Pemandu 23 speaker, 1 sub (11.1.4)
Port I/O 1x HMDI eARC 2x HDMI 2.0 1x Optikal
Sokongan Audio ATMOS Music ATMOS Dolby 5.1ch Dolby Digital Plus Dolby True HD Eclipsa Audio
Codec MP3,AAC,OGG,FLAC,WAV,ALAC,AIFF
Ekosistem Disokong Samsung SmartThings Samsung Q-Symphony Google Chromecast AirPlay Spotify Connect
Sokongan pembantu maya Tiada
Butang Fizikal Ya
Bluetooth Bluetooth 5.3
Bicu Audio AUX Tiada
NFC Tiada
Harga Jualan  RM 5899

Samsung Soundbar Q990F yang menyokong audio saluran 11.1.4. Ia terdiri daripada satu soundbar sepanjang 1123.2 x 7.08 x 13.8 cm, dua speaker satelit untuk saluran audio belakang dan satu subwoofer. Soundbar utama mempunyai rekaan berkotak dengan tubuh diperbuat daripada logam. Pada model tahun ini perubahan dilakukan pada panel atas yang kini mempunyai panel dengan alur panjang dan bukan lagi ribuan lubang kekisi audio seperti di bahagian hadapan.

Samsung Q990F F

Keseluruhan bahagian hadapan mempunyai ribuan lubang untuk audio daripada pemandu ditembak ke semua arah. Dengan kekisi logam ini, isu habuk terkumpul tidak akan berlaku berbanding tubuh fabrik. Ia juga lebih mudah dibersihkan.

Dua speaker satelit mempunyai rekaan logam yang sama dengan pemandu audio yang ditembak ke atas untuk menyokong sistem Dolby Atmos. Akhir sekali subwoofer 48W yang bersaiz kecil jika dibandingkan dengan Q990D dan Q9900C yang pernah saya ulas sebelum ini.

Samsung Q990F C

Walaupun 50% lebih kecil, subwoofer Q990D dilengkapi dua pemandu 8″ berbanding hanya satu sahaja sebelum ini. Kerana saiznya yang kecil, lebih mudah mencari ruang meletakkannya. Di rumah saya boleh masukkan subwoofer ke dalam meja TV IKEA Kallax menjadikan ruang tamu nampak lebih kemas serta tersusun.

Dengan dimensi 123.2 x 7.08 x 13.8 cm, saya rasakan Q990F lebih serasi apabila dipadankan kepada TV dengan saiz skrin 65″ dan ke atas sahaja. Nampak canggung sungguh apabila soundbar lebih panjang daripada TV.

Samsung Q990F J

Dengan ketinggian 7.08cm cm ia juga agak tinggi bagi sebuah soundbar. Ia tidak mudah diselitkan di bawah beberapa TV yang kami miliki di makmal Amanz. Pastikan meja TV mempunyai ruang mencukupi ataupun TV digantung pada dinding bagi mengelakkan ketiadaan ruang.

Pada bahagian atas terdapat beberapa butang fizikal untuk mengawal tahap audio, butang kuasa dan butang membisukan mikrofon. Buang-butang ini diperbuat daripada getah. Sebuah skrin dot matrix diletakkan di hadapan kanan memaparkan status audio dan input yang sedang digunakan.

Samsung Q990F A

Ia terlalu kecil untuk memaparkan maklumat yang diperlukan. Jadi aplikasi SmartThings kami sarankan dipasang pada telefon pintar bagi memudahkan tetapan Q990F diubah dan melihat dengan lebih jelas pelbagai mod yang boleh diubah oleh pemilik.

Ini tidak dibantu oleh alat kawalan jauh dengan butang yang kurang jelas apakah yang diubah. Jika anda menggunakan SmartThing, mengubah tetapan granular treble, bass, keseimbangan audio, EQ dan banyak lagi boleh dilakukan lebih pantas tanpa memeningkan kepala.

Samsung Q990F H 1

Dari segi I/O pula terdapat 1x HMDI eARc, 2x HDMI 2.0, dan 1x input optikal. Sambungan HDMI 2.1 membolehkan isyarat 4K 120Hz dipindahkan daripada peranti ke soundbar kemudian ke TV. Untuk sambungan audio secara nirwayar terdapat sistem Spotify Connect, Google Chromecast Audio dan Air Play 2. Jika anda memiliki peranti Samsung, ciri Tap Sound untuk memindahkan audio dari telefon ke Q990F juga boleh dilakukan.

Samsung Q990F K

PENGGUNAAN

Proses sambungan kepada TV adalah mudah tetapi tidak senang. Ini kerana saiz dan berat komponen yang perlu diangkat. Berat soundbar sahaja sudah 7.3 kg sementara speaker satelit seberat 3.4 kg dan subwoofer pula seberat 8.3 kg. Subwoofer Q990F masih lebih ringan berbanding lebh 11 kg pada model tahun lalu. Proses pemasangan dan tambahan kesemua sistem secara bluetooth juga mudah begitu juga proses memasukkan soundbar ke dalam sistem SmartThings.

Samsung Q990F D

Apabila diaktifkan, keempat-empat komponen Q990F akan berhubungan antara satu sama lain secara automatik. Sambungan kepada TV pula dilakukan dengan satu kabel HDMI menerusi port HDMI eARC. Kami mengulas Q990F dengan sebuah Samsung Neo QLED 8K QN990F dan Prism+ Q65 Ultra. Tiada isu menggunakan Q990F dengan TV daripada pengeluar selain Samsung.

Tetapi dengan QN990F sistem Q-Symphony dapat digunakan. Menerusinya speaker daripada TV dan Soundbar digabungkan untuk menawarkan audio yang lebih menyeluruh. Pada Prism+ atau ekosistem lain speaker TV akan dimatikan apabila soundbar dipasang. Selain itu sistem Dolby Atmos secara nirwayar di Q990F hanya boleh dinikmati apabila dipadankan dengan TV keluaran Samsung.

Samsung Q990F E

Dua tahun lalu saya ada mengkritik SmartThings yang tidak berfungsi dengan baik. Isu sama tidak berulang dengan Q900F dikesan secara automatik apabila dihidupkan dan bersambung kepada sistem WiFi. Proses memainkan audio daripada telefon pintar Android dan iOS mudah dilakukan menggunakan SmartThing, bluetooth, AirPlay dan Spotify Connect.

Isu menggunakan Chromecast Audio masih berlaku dimana masa pendam kawalan yang dilakukan di telefon dan soundbar adalah sangat teruk (3-5 saat). Ini isu wujud pada Q990C dan juga Music Frame. Aneh sekali AirPlay berfungsi selicin belut tetapi Chromecast Audio bermasalah sehingga sekarang.

Samsung Q990F H

ALAT KAWALAN JAUH

Alat kawalan jauh diperbuat daripada plastik sementara butang diperbuat daripada bahan getah. Ia masih memerlukan dua bateri AAA untuk berfungsi dan bukan jenis solar yang diberikan dengan TV pintar Samsung. Pada alat kawalan jauh ini terdapat butang menukar input, memulakan proses tambatan BT, mengubah mod bunyi dan mengubah tetapan treble/bass. Sudah empat tahun alat kawalan jauh ini digunakan pada soundbar Q-Series.

Samsung Q990F G

Tetapi seperti kami katakan di atas tadi, skrin LCD di hadapan soundbar terlalu kecil untuk kami melakukan penetapan dengan mudah. Maka alat kawalan jauh ini hanya saya gunakan sebelum Q990F didaftarkan ke dalam akaun SmartThings.

KUALITI AUDIO

Kali terakhir saya mengulas soundbar Q-Series ialah Q990C dua tahun lalu yang digunakan di rumah. Maka saya cuku kenal profil audio Q990C. Harus saya kata tiada perbezaan yang besar antara Q990C dan Q990F. Sistem Dolby Atmos yang memenuhi segenap ruang dan dapat dirasakan dari mana arah bunyi datang lengkap dengan kesan ketinggian. Q990C sudahpun saya rasakan sempurna dan penambahbaikan saya hanya sedari pada sistem subwoofer.

QSamsung 990F Eclipsa Audio

Subwoofer lebih kecil dan dengan dua pemandu menghasilkan bass yang lebih padu tetapi seimbang dan lebih panting sekali mengelakkan masalah getaran pada resolusi rendah. Dentuman bass lebih diperhalusi dengan ia bukan sekadar getaran menumbuk data. Ia sama seperti pengalaman saya berpindah daripada Sony XM5 ke Sony XM6, bass Q990F bukan yang paling berdentum kuat tetapi ia yang paling tepat.

Samsung Q990F Smarthings

Mulakan dengan filem Dune: Part Two. Dalam babak Paul menunggang cacing pasir di Arrakis, dentuman alat Thumper bermula perlahan sebelum memenuhi seluruh ruang makmal audio. Kemudian apabila cacing pasir muncul, setiap pergerakan jutaan butir pasir menghujani skrin dapat didengari. Dengan dialog enhancer, suara teriakan Paul dan watak-watak lain kedengaran jelas di tengah-tengah. Berbeza sekali jika speaker TV digunakan kerana bahagian ini sering ditenggelami audio lain yang lantang.

Kemudian apabila diuji dengan filem Batman The Dark Knight dan Tenet, sekali lagi dialog enhancer amat membantu kerana filem Christopher Nolan mempunyai epidemik pelakon bercakap tidak jelas. Kandungan konsert muzik Music juga dapat didengari pada tetapan yang betul menerusi sokongan Dolby Atmos. Suara nyanyian Layne Staley mendayu dalam Alice in Chain Unplugged dengan ketukan drum Sean Kinney terasa seperti benar-benar di depan muka.

QSamsung 990F Dune

Dalam permainan video pula, sistem audio 360 PlayStation 5 juga disokong dengan baik. Dapat didengari derapan kaki musuh dari belakang dalam Assassin’s Creed Shadow, bunyi tangisan BT alam Death Stranding 2 dan tembakan musuh dalam Call of Duty. Audio yang dilontar Q990C adalah serasi dengan semua jenis genre dan kandungan menjadikannya cukup versatil berbanding Sonos Arc Ultra yang lebih serasi dengan kandungan muzik.

Samsung Q990F speaker

DALAM KOTAK

Dalam setiap pembelian, anda akan menerima seperti berikut.

  • 1x Soundbar Q990F
  • 1x Subwoofer Q990F
  • 2x Speaker satelit Q990F
  • 1x Kabel HDMI 1.5m.
  • 4x Kabel kuasa 3 Pin
  • 1x Manual.

KESIMPULAN

Saya harus berterus terang dengan anda. Q990F tidak banyak bezanya dengan Q990C yang diulas beberapa tahun yang lalu. Kedua-dua mencapai puncak audio untuk sistem soundbar rumah dengan tidak banyak yang boleh ditambah baik. Ianya masih mantap dengan sistem bass yang lebih diperhalusi.

Samsung Q990F L

Terdapat sokongan Eclipsa Audio yang jarang sekali ditawarkan pada jenama lain menjadi Q990F kalis format masa depan. Perisian SmartThings juga lebih baik. Bagi yang duduk di rumah dengan ruang terhad, subwoofer 50% lebih kecil amatlah dihargai tanpa kehilangan prestasi audio.

Di Malaysia satu set Samsung Q-series Soundbar HW-Q990F dijual pada harga RM5899 yang nampak mahal tetapi dalam pakej yang lebih versatil dan lengkap berbanding beberapa pesaing lain di pasaran.

Pro

  • Sistem audio 11.1.4 yang lengkap dan mantap.
  • Sokongan Dolby Atmos dan Eclipsa Audio.
  • Sesuai untuk pelbagai jenis kandungan.
  • Subwoofer lebih kecil menjimatkan ruang.
  • Sokongan ekosistem SmartThings, Chromecast Audio, Air Play 2 dan Spotify Connect.
  • Aplikasi SmartThings kini lebih berguna.

Kontra

  • Chromecast Audio masih bermasalah.
  • Alat kawalan jauh mengelirukan.
  • Wireless Dolby Atmos hanya pada TV keluaran Samsung.
  • Kurang serasi dipadankan dengan TV bawah 65″.
Skor Samsung Soundbar Q990F



Source link