Malaysia Oversight

Ulasan Samsung Galaxy Z Fold7 – Nipis dan Bergaya Tapi Bateri Tak Tahan Lama

By Amanz in July 24, 2025 – Reading time 11 minute
Ulasan Samsung Galaxy Z Fold7 – Nipis dan Bergaya Tapi Bateri Tak Tahan Lama


Samsung Galaxy Z Fold7 dilancarkan beberapa minggu lau dan saya sudah menggunakan peranti lipat ini selama seminggu. Apakah yang menarik kali ini dan adakah yang ditawarkan Samsung mampu memberikan persaingan kepada apa yang ditawarkan oleh Oppo, Honor, Huawei, Tecno, dan Xiaomi? Ini pandang pertama saya.

Samsung Galaxy Z Fold7 Hero

Spesifikasi

Samsung Galaxy Z Fold7
Skrin Luar – 6.5″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz Dalam – 8″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz HDR10+
Pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Elite for Galaxy (3nm)
Cip 2X 4.47 GHz Oryon V2 Phoenix L  6X 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M
Cip Grafik Adreno 830
RAM 12/16GB LPDDR5X 12GB RAM Plus
Muatan Dalaman 256/512/1000 GB UFS 4.0
Kamera Utama 200MP f/1.7 OIS, (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 10MP, f/2.4, OIS 3x Zum Optikal (Telefoto)
Kamera Swafoto 10MP f/2.2 (Luar) 10MP f/2.2 (Dalam)
Bateri 4400 mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 15W Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/Telefoni 2 Nano, 1 eSIM 5G
NFC Ya
Bicu Audio Tiada
Kalis Air IP48
Sistem Imbasan Pengimbas cap jari sisi
Harga Jualan RM 7,799 (12/256 GB) RM 8,399 (12/512 GB) RM 9,899 (16/1000 GB)

SKRIN dan REKAAN

Dalam lima iterasi sebelum ini, Samsung secara perlahan-lahan memberikan skrin yang semakin lebar selepas menerima komen mengenai skrin luaran yang terlalu tirus. Pada Fold7 ia mencapai bentuk akhirnya seperti Frieza dengan ia kini sama lebar seperti Oppo Find N5 dan Magic V3. Proses menaip pada skrin luar kini lebih selesa berbanding Fold6.

Samsung Galaxy Z Fold7 D

Sungguhpun begitu ia masih belum sepenuhnya sama dengan nisbah skrin pada S245 Ultra misalnya. Skrin luar kini 6.5″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz berbanding 6.3″ pada model Fold6 dengan ia menyokong kadar segar semula 120Hz. Kaca tahan lasak Corning Gorilla Glass Ceramic 2 digunakan pada skrin luar ini.

Skrin dalam membesar ke 8″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz berbanding 7.6″ tahun lalu membuatkan skrin dalam kelihatan lebih berkotak. Tahun tiada lagi sistem kamera bawah skrin 4MP dengan lubang kamera dikembalikan dilengkapi kamera 10MP. Bukan kamera UDC sahaja lesap, sokongan S-Pen juga akhirnya pupus dengan wakil Samsung mengatakan ini kerana ia ciri yang tidak digunakan majoriti pengguna Fold.

Samsung Galaxy Z Fold7 C 1

Garisan lipatan semakin sukar dilihat dengan Samsung mengatakan rekaan engsel Armor Flex Hinge dan struktur bawah skrin diubah bagi mendapatkan skrin paling tegang dihasilkan. Masih ada garisan tetapi ia tidak lagi ketara. Lapisan UTG tahun ini juga 50% lebih nipis.

Samsung Galaxy Z Fold7 J skrin Lipat

Z Fold7 turut melepasi piawaian IP48 bagi memberikan kemampuan kalis air serta debu. Tahun ini Samsung kalah kepada Honor yang menawarkan Magic V5 dengan kemampuan kalis air serta debu IP59.

Estetik tubuh berkotak tahun lalu dikekalkan sekali lagi. Dua minggu lalu saya sempat ke Bangkok dan telah menggunakan Galaxy S25 Edge. Perasaan nipis dan ringan tetapi masih terasa premium S25 Edge dapat dirasakan pada tubuh Z Fold7. Ia seakan dua S25 Edge diletakkan bersebelahan. Proses membuka skrin juga mudah kerana sisi rata yang digunakan. Tidak ada keperluan untuk mengupil dua “sayap” skrin seperti yang berlaku apabila menggunakan Honor Magic V3 tahun lalu.

Samsung Galaxy Z Fold7 G

Samsung mengatakan ia nipis. Tetapi nipis macam mana? Ia setebal 4.2mm dalam keadaan terbuka dan 8.9mm dalam keadaan dilipat. Ini meletakkannya hanya 0.1mm lebih tebal berbanding Magic V5. Walaupun ia peranti boleh lipat, Z Fold7 hanya seberat 215 gram yang lebih ringan berbanding S25 Ultra yang seberat 218 gram. Satu kejayaan kejuruteraan yang harus diberikan pujian kerana sejak sekian lama peranti Fold dikritik berat dan tebal berbanding peranti jenis candybar,

Samsung Galaxy Z Fold7 F

Kemasan panel belakang Gorilla Glass Victus 2  dan sisi peranti adalah kusam yang membuatkan ia tidak memerangkap kotoran dengan mudah dan juga kurang licin. Butang kuasa dan laras suara masih lagi diletakkan pada “pintu” kanan dengan butang kuasa juga merangkap pengimbas cap jari. Walaupun tubuh semakin nipis, tapak tangan dan jari tidak terasa sakit memegang peranti atau menggunakan butang. Cuma saya agak terkini pengimbas cap jari masih di butang kuasa sedangkan Vivo sudah menawarkan dua pengimbas jari bawah skrin pada siri X Fold.

Samsung Galaxy Z Fold7 G 1

Pada bahagian atas pintu kiri terdapat kekisi audio dengan rekaan alur nipis. Elemen dari siri S25 Edge digunakan semula pada Z Fold7. Di bahagian bawah pintu kiri diletakkan sebuah lagi alur untuk kekisi audio. Ini adalah bagi memastikan audio stereo yang seimbang dapat dihasilkan. Pada bahagian bawah pintu kanan pula terdapat port pengecasan USB-C. Tubuh Z Fold7 amat nipis, ia hanya sedikit sahaja lebih besar berbanding lubang pengecas.

Samsung Galaxy Z Fold7 J

Tiga kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP OIS, 12MP ultra sudut lebar dan 10MP telefoto sehingga 3X optikal. Pada skrin dalam terdapat kamera swafoto 10MP dan di skrin luar pula kamera swafoto 10MP dalam lubang skrin. Perubahan hanya dilakukan pada kamera utama 200MP dan kamera swafoto 10MP yang kini bukan lagi 4MP UDC.

Samsung Galaxy Z Fold7 C

Bonggol kamera adalah amat tinggi dan saya rasakan lebih tinggi berbanding ketebalan tubuh. Akibatnya peranti tidak boleh diletakkan rata di atas permukaan meja. Pembelian kerangka kini menjadi semakin wajib. Sungguhpun besar, bonggol tidak menyebabkan peranti “berat kepala” sehingga tidak seimbang apabila dipegang. Tubuh model tahun ini mengekalkan kemampuan kalis air serta debu IP48. Sedikit lebih rendah berbanding Magic V5 yang melepasi IP59.

PERISIAN DAN PENGALAMAN PENGGUNAAN

Z Fold7 adalah antara peranti terawal dilancarkan dengan Android 16 menerusi pelancar One UI 8. Ia membawakan beberapa ciri sekuriti tambahan dan beberapa ikon yang direka semula. Perbezaan dari segi ciri serta antaramuka Android 16 dan Android 15 adalah tidak begitu ketara pada Z Fold7. Perubahan besar hanya dapat dilihat pada siri Pixel 10 nanti yang diberikan antaramuka Material 3 Expressive serta mod desktop. Z Fold7 masih menggunakan mod desktop DeX dan bukannya yang digunakan pada Pixel 10.

Samsung Galaxy Z Fold7 One UI 8 Android 16

One UI 8 masih antara antaramuka yang mempunyai ciri tambahan menarik dan rekaan yang tidak menyakitkan mata. Kerana ini ialah versi ke-7 Fold, Samsung semakin mahir dalam menyertakan ciri yang serasi dengan peranti lipat.

Misalnya ia masih satu-satunya pengeluar yang membenarkan skrin luar dibuka sehingga sekitar 60 darjah untuk menonton video. Pada peranti Honor dan Oppo, skrin dalam akan terus diaktifkan dan skrin luar dimatikan selepas dibuka sekitar 15 darjah. Jadi jika anda ingin menonton video pada skrin luar dengan skrin dibuka separa, ia hanya disokong pada peranti Samsung.

Samsung Galaxy Z Fold7 E 1

Mereka juga menyertakan ciri taskbar besar di bahagian bawah skrin yang memudahkan proses multi tugas dilakukan tanpa perlu memasuki skrin aplikasi yang sudah dibuka. Jumlah peranti lipat yang saya ulas adalah terhad dan setahu saya hanya Samsung dan Oppo menawarkan taskbar di bawah skrin.

Samsung One UI 8 Android 16

Sebanyak tiga aplikasi boleh dibuka serentak dalam mod multiwindow. Dua kecil dan satu besar. Implementasi sistem ini kurang serasi pada skrin dalam yang hanya sebesar 8″. Saya hanya boleh sarankan mod ini digunakan pada tablet Samsung dengan skrin lebih besar. Samsung tidak meminjam ciri tiga aplikasi dibuka dalam tiga tingkap yang disusun seperti Boundless View di Oppo Find N5 dan Magic V5.

Samsung One UI 8 Android 16 01

Satu lagi ciri yang tidak dipinjam ialah sokongan ekosistem . Tiada sambungan kepada MacBook seperti Find N5, pemindahan fail rentas platform seperti di Magic V5 atau sokongan Watch pada Vivo X Fold5. Hanya ekosistem SmartThings menerima sokongan menyeluruh dengan ciri melontar kandungan ke TV, mengawal peranti berhubung di rumah dan pelbagai lagi produk dengan piawaian Matter.

Samsung One UI 8 Android 16 02

Ciri AI yang diperkenalkan ialah Now Brief, Now Bar, Gemini Live, Audio Eraser dan banyak lagi. Pendek kata semua ciri pada siri Galaxy S25 kini diberikan kepada Z Fold7 serta Z Flip7. Ciri tahun lalu seperti Call Assist, Note Assist dan Call Translate masih diteruskan.

Samsung mengesahkan ciri Galaxy AI yang menggunakan model AI Samsung akan dapat terus digunakan tanpa bayaran tambahan. Circle to Search juga kembali bersama dengan Gemini yang boleh diseru menggunakan butang kuasa. Tahun ini secara rasminya Bixby tidak menerima ciri baharu seakan-akan telah dilupakan oleh Samsung dengan tumpuan lebih kepada Gemini.

Samsung menawarkan kemas kini 7 versi Android dan tampalan sekuriti selama 7 tahun pada Galaxy Z Fold7 maka pembeli tidak perlu risau mengenai sokongan perisian sepanjang tempoh ini.

PENANDA ARAS

Z Fold7 ialah peranti kedua jenis Fold dilancarkan di Malaysia dengan Snapdragon 8 Elite lapan teras CPU. Magic V5 ialah yang pertama sementara Find N5 dilengkapi Snapdragon 8 Elite dengan 7 teras CPU sahaja. Perbezaan ialah Z Fold7 hadir dengan cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy dengan CPU yang beroperasi pada kelajuan lebih tinggi. Di bawah ialah senarai peranti pesaing dengan cip yang digunakan.

  • Exynos 2500 – Samsung Galaxy Z Flip7
  • Snapdragon 8 Elite – Honor Magic V5
  • Snapdragon 8 Elite ( 7 Teras) – Oppp Find N5
  • Snapdragon 8 Elite – Xiaomi 15 Ultra
  • Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
  • Dimensity 9400 – Oppo Find X8 Pro
  • A18 Pro – Apple 16 Pro Max
  • Tensor G4 – Google Pixel 9 Pro XL
Samsung Galaxy Z Fold7 Bench

AnTuTu 3D

Cip Skor
Samsung Galaxy Z Fold7 1,747,012
Samsung Galaxy Z Flip7 1,542,966
Honor Magic V5 1,732,200
Oppo Find N5 2,157,718
Xiaomi 15 Ultra 2,341,598
Samsung Galaxy S25 Ultra 1,946,864
Oppo Find X8 Pro 2,629,017
Apple 16 Pro Max 1,720,751
Google Pixel 9 Pro XL 1,016,712
Z Fold7 score Antutu 3d

Geekbench 6

Cip Satu Teras Multi Teras
Samsung Galaxy Z Fold7 2745 9060
Samsung Galaxy Z Flip7 2236 7627
Honor Magic V5 1286 4926
Oppo Find N5 2866 7987
Xiaomi 15 Ultra 2918 8917
Samsung Galaxy S25 Ultra 2957 9435
Oppo Fin X8 Pro 2663 8959
Apple 16 Pro Max 3359 8129
Google Pixel 9 Pro XL 1916 4644
Z Fold7 score Geekbench

3DMark Wildlife Extreme

Cip Skor
Samsung Galaxy Z Fold7 5633
Samsung Galaxy Z Flip7 5201
Honor Magic V5 6025
Oppo Find N5 5507
Xiaomi 15 Ultra Tidak boleh dilakukan
Samsung Galaxy S25 Ultra 6135
Oppo Find X8 Pro 6251
Apple iPhone 16 Pro Max 4560
Google Pixel 9 Pro XL 2567
Z Fold7 score 3d Mark

Skor yang dicatatkan dalam ujian Antutu 3D, Geekbench 6 dan 3D Mark adalah konsisten dengan peranti lipat lain dengan 8 Elite di pasaran Malaysia. Tetapi ia tidak setinggi cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy pada Galaxy S25 Ultra. Besar kemungkinan peranti menjadi lebih panas semasa ujian menyebabkan skor sedikit sahaja lebih rendah.

Samsung Galaxy Z Fold7 Hero B

Pelbagai aplikasi boleh dijalankan tanpa sebarang isu kerana terdapat RAM yang besar serta storan UFS 4.0 yang pantas. Malahan jika 12GB pada peranti yang saya uji ini tidak cukup, sebanyak 12GB lagi boleh ditambah secara maya dengan RAM Plus. Tak ada isu langsung menjalankan aplikasi lazim atau permua mercu. Semuanya pantas, lancar dan pada tetapan paling tinggi. Isu pemanasan juga sekadar sederhana sama seperti pengalaman menggunakan Magic V5 dan Find N5. Apabila tubuh nipis haba dapat dirasakan lebih ketara berbanding pada peranti jenis candybar.

Bagaimana pula jika dibandingkan dengan Exynos 2500 yang digunakan pada Z Flip7? Jawapaannya Snapdragon 8 Elite for Galaxy lebih berkuasa tetapi perbezaan prestasi dunia sebenar skor ujian sintetik adalah tidak begitu besar.

KAMERA

Seperti yang telah disentuh di atas, kamera utama terdiri daripada 200+12+10 MP dan kedua-dua kamera swafoto pula sekadar 10MP. Di atas kertas spesifikasi kamera Z Fold7 lebih baik daripada Z Fold6 tetapi tidak setinggi Magic V5 atau Fond N5. Sensor 200MP yang digunakan ialah sama dengan yang digunakan pada Galaxy S25 Edge dan Galaxy S25 Ultra. Hasilnya adalah seperti di bawah.

Samsung Galaxy Z Fold7 I 1

Kualiti gambar yang diambil adalah baik dalam situasi pencahayaan yang baik dan menggunakan lensa sudut lebar utama. Sensor 200MP membolehkan lebih banyak cahaya ditangkap menghasilkan imej yang jelas serta tajam. Mod makro juga tidak mengecewakan saya rasakan setanding dengan Galaxy S25 Ultra.

Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250710 190721
Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250712 1017340
Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250712 1018210
Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250712 101945

Dalam tempat tertutup warna kurang menyerlah dan kekuningan. Algoritma Samsung membuatkan imej dihasilkan tajam tetapi tidak sama dengan situasi sebesar. Gambar menggunakan lensa ultra lebar pula walaupun jelas nampak tidak setajam lensa kamera utama. Sensor 12MP yang digunakan sudah perlu ditukar ke yang lebih terkini dan besar. Kelemahan kamera Z Fold dalam mod ultra lebar berterusan lagi tahun ini.

Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250712 105954
Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250712 091459
Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250721 142323

Ini pula hasil tangkapan kamera telefoto dengan sensor 10MP dalam mod zum 1x, 2x, 3X, 10X, 20x, dan 30x .Hasil tangkapan adalah agak baik baik sehingga 3X sahaja itupun imej mula hilang ketajaman. Pada tetapan 10x, 20x dan 30x kualiti jatuh mendadak. Sistem AI yang digunakan tidak berjaya menjadikan imej kelihatan elok tetapi ditajamkan berlebihan sehingga nampak aneh.

Berbeza sekali dengan kamera Magic V5 dab Find N5 yang masih lagi memuaskan pada tetapan 10X. Saiz sensor telefoto sekadar 10MP jelas tidak lagi kompetitif jika dibandingkan dengan 50MP (Find N5) dan 64MP (Magic V5). Samsung perlu serius tahun depan kerana untuk dua tahun berturut-turut sistem kamera pada telefon lipat mereka tidak sebaik pesaing.

Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250724 162224
Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250724 162228
Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250724 162230
Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250724 162233
Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250724 162237
Samsung Galaxy Z Fold7 Samples 20250724 162241

BATERI

Dengan bateri hanya sebesar 4400 mAh, ia meletakkan Z Fold7 di kedudukan yang goyah berbanding Magic V5 dan Find N5 masing-masing dengan bateri 5820 mAh dan 5600 mAh. Hayat bateri dalam penggunaan biasa tidak tahan seharian. Saya hanya dapat menggunakan Z Fold7 sekitar 17 jam sebelum ia perlu dicas. Ini dicapai dengan hanya menggunakan skrin luar dalam 90% situasi. SOT terbaik adalah hampir 8 jam sahaja.

Jika skrin dibuka, ia menjunam ke sekitar 3 jam sahaja. Ujian ini saya lakukan dengan memberikan Z Fold7 kepada anak untuk bermain Roblox. Pada Magic V5, SOT boleh mencapai 4.5 jam jika bermain Roblox. Jelas terdapat perbezaan prestasi bateri di sini walaupun Magic V5 dan Z Fold7 mempunyai kenipisan tubuh yang sama.

Samsung Galaxy Z Fold7 H

Pengecasan pula masih sekadar 25W berwayar yang mengambil masa 70 minit untuk dicas daripada 0-100%. Terdapat pengecasan nirwayar 15W yang perlahan tetapi berguna apabila telefon dimasukkan ke dalam dermaga dalam kereta. Bateri Z Fold7 lebih tahan lama berbanding Z Fold6 tetapi tidak mampu bersaing dengan yang ditawarkan Honor dan Oppo pada tahun 2025.

AUDIO

Audio seimbang daripada kedua-dua speaker fizikal. Lokasinya yang menembak ke sisi dan diletakkan pada “pintu” skrin yang sama memberikan pengalaman audio lebih baik jika dibandingkan dengan Magic V5. Tetapi kerana tubuh Z Fold7 yang nipis, saya rasakan kualiti audio tidak sebaik Z Fold6 apatah lagi S25 Ultra. Kebuk speaker yang kecil membuatkan audio tidak sebaik pada peranti yang lebih tebal. Ianya memuaskan untuk panggilan telefon atau video tetapi bila menonton YouTube atau Netflix misalnya, terasa sedikit kosong.

Samsung Galaxy Z Fold7 B

Bass langsung tidak menyerlah. Samsung perlu menggunakan kepakaran Harman, Bowers & Wilkins, Denon, Polk dan Marantz  yang kini milik mereka untuk memberikan pengalaman audio lebih baik pada peranti nipis tahun depan. Sepanjang tempoh ulasan saya lebih selesa mendengar audio menggunakan aksesori bluetooth kerana speaker Z Fold7 sedikit mengecewakan.

PESAING

Samsung Galaxy Z Fold6 Oppo Find N5 Honor Magic V5
Luar – 6.5″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz
Dalam – 8″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz
HDR10+ Luar – 6.62″ OLED, 120Hz
Dalam – 8.12″ OLED 120Hz, HDR10+, Dolby Vision
Luar – 6.43″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.95″ AMOLED, 120Hz, HDR10+, Dolby Vision
Snapdragon 8 Elite (3nm)
2X 4.47 GHz Oryon V2 Phoenix L 
6X 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M Snapdragon 8 Elite (3nm)
2x Oryon V2 Phoenix L 4.32 GHz
5x Oryon V2 Phoenix M 3.53 GHz Snapdragon 8 Elite (3nm)
2x Oryon V2 Phoenix L 4.32 GHz
6x Oryon V2 Phoenix M 3.53 GHz
Adreno 830 Adreno 830 Adreno 830
12/16 GB LPDRR5X 16 GB LPDRR5X 16 GB LPDRR5X
256/512/1000 GB UFS 4.0 512 GB UFS 4.0 512 GB UFS 4.1
Kamera Utama 200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 10MP f/2.4, OIS (Telefoto) Kamera Utama 50MP f/1.89, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 50MP f/2.7, OIS (Telefoto) Kamera Utama 50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.0 (Ultra Sudut Lebar) 64MP f/2.5, OIS (Telefoto)
Kamera Swafoto 10-MP f/2.2 10-MP f/2.2 Kamera Swafoto 8-MP f/2.4 8-MP f/2.4 Kamera Swafoto 20-MP f/2.2 20-MP f/2.2
IP48 IPX9 IP59
Tiada bicu audio Tiada bicu audio Tiada bicu audio
Audio Stereo Audio Stereo Audio Stereo
4400 mAh Berwayar 25W Nirwayar 15W berbalik 4.5W 5600 mAh Berwayar 80W Nirwayar 50W Berbalik 4.5W 5820 mAh Berwayar 66W Nirwayar 50W Berbalik 5W
RM 7,799 (12/256 GB) RM 8,399 (12/512 GB) RM 9,899 (16/1000 GB) RM 7999 (16/512 GB) Harga RM 6999 (16/512 GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Samsung Galaxy Z Fold7
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C
  • 1x Manual
  • 1x Pin SIM
Samsung Galaxy Z Fold7 Box

KESIMPULAN

Samsung Galaxy Z Fold7 ialah peranti lipat terbaik pernah dihasilkan Samsung setakat ini. Skrin lebih besar, lebih lebar di luar untuk menaip, sangat nipis, ringan dan mempunyai sistem kamera yang dipertingkatkan. Jika tiada peranti lain di pasaran, Z Fold7 ialah peranti lipat yang saya sarankan kepada anda.

Tetapi tahun ini saya sudah mengulas Honor Magic V5 dan Oppo Find N5. Kedua-dua peranti ini mempunyai bateri lebih besar, pengecasan lebih pantas, kamera lebih baik dan harga yang lebih kompetitif.

Samsung Galaxy Z Fold7 A

Kekuatan Z Fold7 pada hemat saya ialah rekaannya yang lebih menarik dan sokongan perisian yang jauh lebih panjang. Pada waktu yang sama ia sudah menggunakan Android 16 serta hadir dengan langganan Google AI Pro bernilai hampir RM600.

Jika dipaksa membuat pilihan saya akan membeli Z Fold7 kerana saya lebih sukakan ekosistem Samsung, ianya lebih hensem dan perisiannya yang lebih serasi dengan jiwa. Tetapi jika anda mahukan peranti yang lebih baik secara keseluruhan, saya sarankan Oppo Find N5. Samsung Galaxy Z Fold7 dijual pada harga bermula RM7799 di Malaysia.

Pro

  • Tubuh nipis yang selesa di tangan serta ringan.
  • Spesifikasi tinggi Snapdragon 8 Elite, memori sehingga 16GB RAM dan storan 1TB.
  • Prestasi kamera yang memuaskan.
  • Kalis air serta debu IP48
  • Menggunakan Android 16.
  • Sokongan 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti.

Kontra

  • Bateri kecil tidak bertahan sepanjang hari.
  • Pengecasan hanya 25W.
  • Sukar dibuka kerana sisi terlalu nipis.
  • Audio speaker tidak begitu memberangsangkan.
  • Tiada sistem kamera telefoto periskop seperti pesaing.
Samsung Galaxy Z Fold7 Skor



Source link