Oppo Find X kini memasuki siri kesembilan dengan generasi baharu yang hadir dengan reka bentuk moden dan teknologi lebih canggih. Menurut Oppo, kerjasama berterusan dengan Hasselblad turut meningkatkan pengalaman fotografi dan menghasilkan gambar yang lebih memuaskan. Berikut ialah ulasan penuh saya untuk Oppo Find X9 Pro.

Spesifikasi
| Oppo Find X9 Pro | ||||||
|---|---|---|---|---|---|---|
| Skrin | 6.78-inci AMOLED 120Hz 20:9 | 2772 x 1272 piksel 3600nits | 10-bit Color Depth | 2160Hz PWM Dimming | Dolby Vision, HDR10+, HDR Vivid | |
| Pemproses | Mediatek Dimensity 9500 (3 nm) | |||||
| Cip | 1 x 4.21 GHz C1-Ultra | 3 x 3.5 GHz C1-Premium | 4 x 2.7 GHz C1-Pro | |||
| Cip Grafik | Arm G1-Ultra | |||||
| RAM | 16GB LPDDR5X | |||||
| Muatan Dalaman | 512GB UFS 4.1 | |||||
| Kamera Utama | 50MP Sony LYT-82 | 1/1.28′ OIS (Lebar) | 50MP Samsung 5KJN | 1/2.75′ (Ultra Lebar) | 200MP Samsung S5KHP | 1/1.56′ OIS (Telefoto) |
| Kamera Swafoto | Samsung 5KJN5 | 50MP 1/2.75′ | ||||
| Bateri | 7500 mAh (typ) | Pengecasan berwayar 80W | Pengecasan nirwayar 50W | Pengecasan berbalik 10W | ||
| SIM/Telefoni | Nano/eSIM | |||||
| NFC | Ya | |||||
| Bicu Audio | Tiada | |||||
| Kalis Air | IP68/IP69 | |||||
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari | Imbasan wajah | ||||
| Harga Jualan | RM5099 |
Pengalaman Penggunaan
Pertama kali saya memegang Find X9 Pro, perbezaannya berbanding generasi terdahulu jelas terasa. Ini kerana reka bentuk rata yang diketengahkan kali ini memberikan pengalaman penggunaan lebih segar bersama pendekatan yang kontemporari. Ia secara langsung membezakan model terkini daripada rekaan yang pernah digunakan dalam siri Pro sebelum ini.

Walaupun ada yang berpendapat bahawa Oppo telah menggunakan rekaan rata sejak Find X8 namun versi Pro terdahulu sebenarnya masih sejenis melengkung pada tubuh dan skrin. Konsep ini menjadi identiti utama siri Pro sebelum Oppo memilih untuk melakukan perubahan lebih ketara pada generasi baharu ini.

Sebagai seseorang yang mengikuti perkembangan siri ini sejak kemunculan pertamanya, saya mendapati generasi baharu ini menawarkan pengalaman yang berbeza. Mungkin ada yang perasan bahawa Find X6 dan Find X7 tidak pernah dilancarkan secara global. Benar, namun saya berpeluang mencuba Find X6 sewaktu berada di Bali pada tahun 2023 dan memegang Find X7 milik salah seorang staff Oppo dari China ketika pelancaran Reno 11 di Johor Bahru.

Berbalik kepada Find X9 Pro, saya mendapati pengalaman memegangnya mirip seperti menggunakan iPhone moden berikutan reka bentuk tubuhnya yang rata sepenuhnya. Sementara itu, ketua kandungan saya iaitu Effi pula menyamakan rekaannya dengan Google Pixel keluaran terkini. Apa pun yang dirasakan ingin saya tekankan bahawa peranti ini selesa di tangan.

Find X9 Pro juga memperlihatkan perubahan reka bentuk yang praktikal selari dengan arah aliran semasa industri telefon pintar. Selain itu, peranti ini terasa seimbang dari setiap sudut dan tidak memberi tekanan pada mana-mana bahagian ketika digenggam sekali gus selesa digunakan untuk tempoh yang lama.

Saya turut mendapati perubahan paling ketara pada peranti terletak pada rekaan bonggol kameranya yang kini lebih menyerupai siri Reno. Jika sebelum ini Oppo menggunakan bonggol kamera bulat sejak Find X6 namun kali ini mereka memilih empat segi sama yang lebih menonjol. Ketebalannya turut terasa ketika memegang bahagian belakang peranti khususnya di sekitar bonggol tersebut.

Meskipun perubahan ini mungkin menerima pelbagai pendapat, saya masih melihatnya sebagai usaha Oppo dalam menyesuaikan rekaan dengan konsep terkini. Bonggol kamera yang sepenuhnya daripada plastik ini masih menunjukkan pendekatan bijak apabila semua lensa digabungkan dalam satu tempat. Setiap lensa turut dilindungi dalam bonggol yang sama sekali gus memberikan penampilan yang lebih kemas.

Bingkai logam digunakan pula menempatkan butang dan port dalam susun atur yang standard. Bahagian kanan terdapatnya butang kuasa, laras audio dan butang kamera. Bahagian sisi kiri pula terdapatnya ciri baharu yang dinamakan Snap Key iaitu butang serba guna yang membolehkan akses pantas kepada pelbagai fungsi seperti kamera, tangkapan layar, Mind Space dan lain-lain.

Antara semua fungsi tersebut, Mind Space merupakan ciri paling menonjol dan akan dihuraikan dalam bahagian perisian dalaman. Bahagian atas menempatkan pemancar inframerah manakala bahagian bawah dilengkapi dengan kekisi pembesar suara, port USB-C dan slot kad SIM yang menyokong dwi nano SIM.
Pembesar suara peranti adalah jenis stereo dengan satu lagi kekisi terletak di bahagian gagang telefon. Walaupun bunyinya tidak seimbang sepenuhnya, ia bukanlah kosong sebaliknya cukup sesuai untuk kegunaan harian. Oppo turut menyertakan teknologi Holo Audio bersama tetapan kesan bunyi boleh diakses apabila disambungkan kepada peranti tambahan seperti pembesar suara atau fon telinga.

Melalui sistem OReality, terdapat empat profil bunyi yang boleh dipilih iaitu Smart, Movie, Gaming dan Music bergantung kepada keperluan dan suasana penggunaan. Find X9 Pro turut melepasi penarafan kalis air IP68 dan IP69 yang menjadikannya tahan lasak untuk kegunaan harian. Pengimbas cap jari pula berfungsi dengan tepat serta responsif.
Dari segi skrin, tiada perubahan besar kecuali reka bentuknya yang kini rata sepenuhnya. Peranti ini masih mengekalkan spesifikasi seperti skrin AMOLED bersaiz 6.78 inci, kadar segar semula 120Hz dan resolusi FHD Plus, sama seperti beberapa model Find X sebelum ini.

Bezel juga sedikit lebih nipis berbanding Find X8 Pro, walaupun perbezaan ini mungkin sukar dikesan oleh pengguna biasa. Namun secara teknikal, Oppo menyatakan ia lebih nipis dan kemas. Prestasi skrin berada pada tahap yang sepatutnya untuk sebuah peranti mercu. Paparan dilihat terang, jelas dan memuaskan. Ia turut menyokong Netflix dengan persijilan Widevine L1 untuk tontonan kandungan HD.
Perkakasan Dalaman – Cip MediaTek Dimensity 9500

Jika diikutkan, peranti merupakan yang pertama di Malaysia yang menggunakan cip Mediatek Dimensity 9500. Cip ini merupakan yang paling berkuasa daripada Mediatek setakat ini dan direka untuk menyaingi prestasi Snapdragon 8 Gen 5 Elite. Dengan gabungan memori 16GB RAM serta storan dalaman 512GB, ia menawarkan pengalaman penggunaan yang lancar.
Peranti ini turut menyokong RAM maya sehingga 12GB yang boleh diubah secara manual kepada 4GB atau 8GB mengikut keperluan. Meskipun memori fizikal 16GB RAM mencukupi untuk kebanyakan tugas harian, kehadiran RAM maya sebenarnya memberi nilai tambahan menarik dalam pengurusan memori. Sekali gus mampu meningkatkan kemampuan multi-tugas serta memastikan kestabilan sistem ketika menjalankan pelbagai aplikasi secara serentak.
AnTuTu 3D
| Cip | Skor |
| Oppo Find X9 Pro | 3,472,342 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 1,747,012 |
| Honor Magic V5 | 1,732,200 |
| Oppo Find N5 | 2,157,718 |
| Xiaomi 15 Ultra | 2,341,598 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 1,946,864 |
| Oppo Find X8 Pro | 2,629,017 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 1,720,751 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 1,214,735 |

Geekbench 6
| Cip | Satu Teras | Multi Teras |
| Oppo Find X9 Pro | 3158 | 9298 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 2745 | 9060 |
| Honor Magic V5 | 1286 | 4926 |
| Oppo Find N5 | 2866 | 7987 |
| Xiaomi 15 Ultra | 2918 | 8917 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 2957 | 9435 |
| Oppo Find X8 Pro | 2663 | 8959 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 3359 | 8129 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2303 | 6134 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Oppo Find X9 Pro | 6127 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 5633 |
| Honor Magic V5 | 6025 |
| Oppo Find N5 | 5507 |
| Xiaomi 15 Ultra | N/A |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 6135 |
| Oppo Find X8 Pro | 6251 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 4560 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 3266 |

Prestasi peranti juga dapat dilihat dengan jelas melalui pengalaman penggunaan harian saya yang sangat lancar dan pantas. Skrin berfungsi dengan baik, aplikasi dibuka dengan cepat, proses muat-turun berjalan dan tiada masalah sistem tergendala setakat ini. Selain itu, pergerakan animasi juga kelihatan lancar dan stabil tanpa sebarang lengah masa yang ketara.
Saya telah menerima dua kemas kini perisian dan berjalan dengan lancar. Skrin juga dapat mengesan cap jari saya dengan tepat dan pantas. Ia tidak mengejutkan malah kebanyakan peranti masa kini yang dilengkapi cip baharu khususnya dalam kategori mercu sememangnya mampu menawarkan prestasi memuaskan seperti yang sering saya tekankan dalam setiap ulasan saya.
Namun begitu, haba masih dapat dirasai. Walaupun tidak terlalu panas, peranti masih terasa suam terutamanya apabila digunakan untuk menjalankan ujian penanda aras.

Seperti biasa, permua yang sering saya uji ialah Honor of Kings. Permainan ini boleh dimainkan dengan sangat lancar pada kadar bingkai mencapai 120FPS menggunakan tetapan MAX dan Ultra. Penurunan kadar hanya berlaku sedikit sekitar 115-118FPS namun secara keseluruhan ia kekal stabil pada 120FPS walaupun ketika pertempuran melibatkan ramai pemain. Grafik juga cantik dengan animasi yang lancar sekali gus menyumbang kepada pengalaman permainan yang memuaskan.

Selain itu, peranti ini menyokong ciri Bypass Charging yang semakin menjadi kebiasaan dalam peranti masa kini. Ciri ini membolehkan kuasa disalurkan terus ke sistem tanpa melalui bateri, sekali gus membolehkan pengguna bermain permua sebaiknya walaupun peranti sedang dicas. Ini bukan sahaja membantu mengurangkan penghasilan haba, malah dapat memelihara jangka hayat bateri dalam penggunaan jangka panjang.
Perisian Dalaman – ColorOS 16
Find X9 Pro menggunakan perisan baharu ColorOS 16 (berasaskan Android 16) dan pengalaman penggunaannya sangat lancar. Warna ikon masih ceria serta disusun dengan kemas dan teratur. Animasi peralihan antara aplikasi kelihatan lancar lalu memberikan keselesaan semasa navigasi. Beberapa ciri masih dikekalkan daripada versi sebelumnya tetapi terdapat juga perubahan yang menyerupai iOS. Contohnya seperti ruang carian kini berada di bahagian bawah skrin seperti dalam iOS 26.

ColorOS 16 memperkenalkan ciri yang dinamakan Flux Themes dan membolehkan saya menyesuaikan ikon dengan pelbagai cara seperti bentuk, saiz, warna, sudut serta animasi. Tema ini juga membenarkan gambar latar diubah mengikut gaya contohnya Narrow untuk paparan yang lebih peribadi.

Saya boleh membesarkan gambar latar dan menambah widget, menyesuaikan jam serta warna malah memilih susun atur di sebelah kiri atau kanan seperti pada peranti iPhone. Kedalaman paparan imej latar juga boleh diubah mengikut cita rasa masing-masing.

ColorOS 16 juga memudahkan pemindahan data antara peranti iOS dan menjadikan prosesnya cepat lalu membenarkan saya berkongsi foto, video dan dokumen tanpa masalah. Ini berguna bagi pengguna yang kerap bertukar antara Android dengan Apple. Kamera turut ditambah baik dengan ciri AI Highlight yang membantu menghasilkan gambar potret lebih cantik serta pencahayaan yang lebih baik.

Skrin utama dan skrin kunci juga dikemas kini. Ciri AOD kini boleh diubah mengikut citarasa pengguna. Panel pemberitahuan pula mempunyai dua tambahan iaitu satu untuk memilih mod bunyi seperti dering, getar atau senyap, dan satu lagi untuk mengawal data mudah alih. Semua ini boleh disesuaikan mengikut keperluan masing-masing.



ColorOS 16 turut hadir dengan beberapa ciri AI yang memudahkan urusan harian pengguna seperti:
- AI Mind Space membolehkan saya simpan nota dan maklumat penting secara automatik. Maklumat yang diberi agak relevan dan ciri ini berfungsi dengan baik, walaupun mungkin tidak semua pengguna akan memanfaatkannya sepenuhnya.
- Snap to Mind Space membolehkan saya ambil tangkapan skrin dengan cepat melalui Snap Key dan simpan dalam koleksi seperti Travel Collections. Namun, butang Snap Key agak sensitif dan mudah tertekan secara tidak sengaja.
- AI Suggest memberi cadangan pintar berdasarkan aktiviti semasa seperti kerja, hiburan dan pembelajaran. Ia berjaya mengesan corak penggunaan saya dengan baik, contohnya mencadangkan nota semasa saya buka aplikasi kerja.
- AI Assistant for Notes membantu susun dan ringkaskan nota supaya lebih kemas dan mudah dirujuk. Ia sangat berguna untuk nota ringkas.
- AI Recording menjana ringkasan daripada rakaman suara seperti mesyuarat atau temu bual. Ia berfungsi, tetapi kadang-kadang ada maklumat tertinggal jika perbualan terlalu kompleks.
- AI Voice Transcribe menukar suara kepada teks secara automatik. Saya telah mencubanya, tetapi ketepatannya masih kurang, terutamanya semasa panggilan video seperti di Telegram.


Kamera Dan Kualiti Gambar
Dari segi prestasi, kamera utama Find X9 Pro menghasilkan warna yang tepu namun kawalan ‘highlight’ masih stabil terutamanya ketika merakam dalam situasi kontras tinggi seperti langit cerah. Bagi pengguna yang pernah menggunakan sistem kamera Hasselblad pada peranti Oppo sebelum ini, warna dihasilkan dirasakan serupa kerana tiada perubahan ketara dari segi profil warna yang digunakan.









Selain itu, sistem auto fokus diluhat berfungsi dengan pantas sekali gus membolehkan pengesanan subjek dilakukan secara tepat walaupun dalam keadaan bergerak. Prestasi zum turut menunjukkan keupayaan yang baik kerana ketajaman imej masih terpelihara sehingga tahap maksimum 120X hasil sokongan daripada pemprosesan AI.







Bagi rakaman makro, mod ini boleh diaktifkan secara automatik apabila kamera mengesan subjek pada jarak dekat. Namun begitu, bagi pengguna yang mahukan kawalan tambahan, terdapat dua pilihan mod manual iaitu Fully Clarity dan Natural Blur, yang masing-masing mampu menghasilkan kualiti imej yang baik mengikut keperluan.




Walaupun sistem ini kadangkala mengambil masa untuk mengunci fokus pada subjek makro, hasil akhir tetap tajam sebaik sahaja fokus berjaya dicapai. Namun begitu, dalam keadaan pencahayaan rendah atau tidak menentu, warna mungkin kelihatan sedikit tidak konsisten apabila beralih daripada zum 0.6x ke 6x. Pun begitu, gambar malam masih kelihatan cantik dan menyerlah dari segi warna.
Rakaman ultra lebar tidak menunjukkan kesan lengkungan yang melampau sekali gus menghasilkan sudut pandang yang lebih semula jadi dan menyerupai pandangan mata manusia.




Ciri ini lebih ketara apabila menggunakan mod Hasselblad 50MP yang direka untuk mengekalkan ketepatan sudut serta kualiti imej. Berbanding tetapan biasa yang kadangkala menghasilkan sedikit herotan, mod Hasselblad tadi memberikan pemprosesan imej yang lebih tepat dengan hasil yang konsisten dari segi ketajaman dan warna.

Sensor 200MP menghasilkan tona warna yang sedikit berbeza berbanding kamera utama, namun tetap mengekalkan tahap ketajaman imej yang tinggi. Ia juga sesuai digunakan untuk merakam subjek yang jauh atau bersaiz kecil dengan lebih jelas. Walaupun proses pasca-rakaman mengambil sedikit masa, pengguna tidak perlu mengekalkan posisi peranti secara statik selepas menekan butang rakam. Zum maksimum yang disokong adalah sehingga 3x zum optikal.




Dalam mod potret, sistem kamera berjaya memisahkan subjek daripada latar belakang dengan kemas, termasuk objek kecil seperti cermin mata dan anting-anting. Selain itu, rona kulit kelihatan semula jadi tanpa sebarang kecacatan, dan terdapat juga pilihan untuk menambah kesan kecantikan bagi mereka yang menginginkannya.



Jika dibandingkan dengan model X8 Pro sebelum ini, pemisahan latar belakang didapati lebih tepat walaupun masih belum sempurna untuk rambut lelaki yang berketinting. Sebagai tambahan, Oppo menyertakan fungsi untuk melaraskan aperture secara manual, sama ada sebelum atau selepas imej dirakam, bagi memberikan kawalan yang lebih bebas terhadap kesan kabur latar belakang.



Satu perkara yang boleh saya sentuh ialah dakwaan Oppo bahawa kamera peranti mampu menghasilkan imej seperti apa yang dilihat secara langsung. Berdasarkan pengalaman, dakwaan tersebut sukar untuk dinafikan kerana kebanyakan gambar diambil menggunakan Hasselblad Mode sama ada pada resolusi 50MP atau 200MP menunjukkan tahap kestabilan kualiti yang baik.

Menariknya, dalam pelbagai julat rakaman seperti ultra lebar, zum 1x dan 3x resolusi imej yang dihasilkan masih konsisten dengan spesifikasi sensor yang digunakan. Sebagai contoh, rakaman daripada sensor 50MP akan direkodkan sebagai 50MP manakala sensor 200MP turut memaparkan resolusi sebenar.
Pun begitu, aspek ini lebih bersifat teknikal dan mungkin tidak memberi impak besar kepada pengguna biasa. Secara umumnya, mereka hanya mengutamakan hasil gambar yang jelas dan menarik tanpa meneliti butiran resolusi secara mendalam.







Untuk rakaman video, kualiti dihasilkan adalah sangat tajam terutamanya apabila menggunakan resolusi 4K120FPS. Warna kelihatan lebih menarik apabila mod HDR Video (Dolby Vision) diaktifkan kerana ia memberikan paparan yang lebih terang bersama kontras seimbang.

Sebaliknya, jika dimatikan dilihat berlaku sedikit perubahan pada tona warna walaupun perbezaannya tidak begitu ketara. Sistem penstabilan video berfungsi dengan baik serta lancar walaupun peranti berada dalam keadaan banyak pergerakan. Sementara itu, prestasi autofokus pula didapati memuaskan dengan tindak balas yang pantas dan tepat sepanjang rakaman.

Dalam mod LOG video, warna yang dihasilkan kelihatan rata dan sesuai untuk proses penyuntingan. Pengguna turut diberikan pilihan untuk menggunakan LUT seperti Rec709 dan HLG, bersama tetapan tambahan seperti ISO, focus peaking dan histogram. Oleh itu, mod ini lebih sesuai untuk mereka yang ingin menghasilkan rakaman dengan pendekatan profesional.

Butang kamera Find X9 Pro memberikan maklum balas haptic yang memuaskan ketika ditekan, namun tidak disertakan dengan rasa klik fizikal yang ketara. Dari segi prestasi rakaman, proses pasca-rakam kadangkala mengambil sedikit masa untuk disiapkan sepenuhnya, terutamanya apabila melibatkan resolusi tinggi atau tetapan video yang kompleks.
OPPO turut menyediakan kit fotografi tambahan yang merangkumi beberapa aksesori termasuk teleconverter. Aksesori ini perlu dipasang pada kerang khas yang disertakan bersama mod Hasselblad melalui tetapan ‘More’. Setelah dipasang, sistem ini akan mengaktifkan zum 3.8X secara lalai, dan hasil rakaman menunjukkan tahap kejelasan yang lebih tinggi berbanding zum digital biasa. Kit ini bagaimanapun dijual secara berasingan.
Bateri Dan Pengecasan Pantas
Bateri yang digunakan berkapasiti 7500mAh dan menggunakan teknologi anod silikon. Berdasarkan pengalaman saya menggunakan peranti ini, prestasi baterinya sangat memuaskan dan mampu menyokong penggunaan aktif sepanjang hari.

Dalam sesi pertama, saya mencapai Screen on Time (SOT) hampir 11 jam 50 minit dengan baki bateri tinggal 2% menunjukkan penggunaan yang berat. Pada sesi kedua, SOT ialah 7 jam 5 minit dan bateri masih berbaki 62% menandakan penggunaan yang lebih ringan. Sesi ketiga pula mencatat SOT selama 6 jam 14 minit dan bateri kekal stabil. Ini menunjukkan bateri ini berprestasi baik dan mampu bertahan lebih daripada sehari bergantung pada cara penggunaan.

Melalui ColorOS 16, saya dapati paparan bateri juga berubah dengan penambahan beberapa elemen baharu. Antaranya termasuk anggaran masa ketahanan bateri serta pilihan mod penggunaan seperti Balanced Mode, Power Saving Mode, dan High Performance Mode, lengkap dengan cadangan tempoh ketahanan bagi setiap mod.

Apabila menggunakan Superpower Saving Mode, bateri boleh bertahan lebih lama selepas mencapai tahap tertentu. Paparan penggunaan bateri juga kini ditunjukkan dalam bentuk graf bar, berbanding graf garis pada ColorOS 15. Selain itu, reka bentuk warna lebih ceria dan terdapat paparan peratusan penggunaan bateri mengikut aplikasi, yang memudahkan saya melihat berapa lama setiap aplikasi digunakan.

Peranti ini menyokong pengecasan pantas 80W yang membolehkan bateri dicas penuh dalam masa kurang daripada satu jam. Kepala pengecas dan kabel jgua masih disertakan dalam kotak pembelian. Selain itu, peranti ini juga menyokong pengecasan tanpa wayar. Namun, saya tidak mencubanya kerana tiada keperluan untuk menggunakan fungsi tersebut buat masa ini. Selain itu, peranti ini turut menyokong bypass charging.
Kesimpulan
Find X9 Pro ialah peranti mercu yang menampilkan reka bentuk premium serta spesifikasi tinggi. Walaupun tiada peningkatan ketara pada spesifikasi skrin berbanding model terdahulu, ia masih menawarkan paparan AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz yang lancar. Selain itu, peranti ini dikuasai oleh cip berprestasi tinggi yang menyokong penggunaan pelbagai aplikasi secara serentak dan tugasan grafik berat dengan prestasi yang stabil.

Di samping itu, sistem kamera utama yang dibangunkan melalui kerjasama dengan Hasselblad memberikan keupayaan fotografi yang lebih baik, termasuk pemprosesan gambar yang lebih terperinci serta mod potret yang dipertingkatkan. Gabungan semua ciri ini menjadikan Find X9 Pro pilihan yang sesuai untuk pengguna yang mengutamakan prestasi, paparan berkualiti dan kecekapan dalam satu peranti serba boleh.
Pro
- Reka bentuk moden dan premium.
- Cip pemprosesan berkuasa tinggi.
- Kamera berkualiti tinggi dengan Hasselblad.
- Pengecasan pantas 80W yang efisien.
- Pengecasan nirwayar dan bypass charging.
- Ciri AI membantu urusan harian.
- Kit fotografi memberi nilai menarik.
Kontra
- Butang Snap Key mudah tertekan.
- Ciri AI tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
- AI Transcribe dan Recording kurang tepat.
- Kurang sesuai untuk tangan kecil.






