Ulasan Majdomo Moda – Ringkas Dan Mesra Pengguna
Amy Maizuraa
Sebaik sahaja membaca tajuk, saya yakin masih ramai yang belum kenal jenama ini. Secara jujur, saya sendiri agak keliru bila menerima jam tangan ini dan diminta buat ulasan. Maklumlah kali terakhir saya membuat ulasan jam tangan adalah pada tahun 2024 untuk model Huawei Watch Fit3.

Namun selepas saya buat sedikit rujukan, rupa-rupanya jenama ini tidaklah begitu asing cuma mungkin baru mula masuk ke pasaran Malaysia. Jam tangan yang saya terima juga nampak berkualiti dalam kelasnya. Jadi inilah sebab kenapa saya rasa begitu.
Spesifikasi
MAJDOMO Moda | ||
---|---|---|
Jenis | Jam Tangan Pintar Asas | |
Paparan | 1.32-inci AMOLED | 466 x 466 piksel |
Pemproses | ATS3805S4 | |
RAM | – | |
Muatan Dalaman | – | |
Bateri | 360mAh | |
SIM / Telefoni | Panggilan menerusi Bluetooth | |
Sensor | ||
NFC | Tiada | |
Infra Merah | Tiada | |
Tahap Ketahanan | 5ATM | |
Diameter | 43.6mm (diameter) | 12.9mm (ketebalan) |
Warna | Hitam dan putih | |
Harga Jualan | RM598 |
Pengalaman Penggunaan
Inilah MAJDOMO Moda. Rekaannya memadai dan mengingatkan saya kepada jam tangan dari jenama CMF. Bukan saya sahaja yang rasa begitu malah ramai juga yang menyangka ia model baharu daripada CMF. Pernah sekali, semasa menghadiri acara, ada yang bertanya ‘Eh, CMF baharu ke?!‘. Situasi itu memang berlaku. Tapi selepas diteliti walaupun rekaannya hampir sama tetapi jam ini sebenarnya bukan dari jenama tersebut.

Bahagian hadapan jam ini menggunakan skrin bulat, rekaan yang biasa untuk jam tangan pintar. Secara fizikal, ia kelihatan agak tebal terutama di bahagian bezel. Bingkai kelabu menonjolkan lagi ketebalan itu dan menjadikannya lebih jelas secara visual. Dalam situasi begini, saya biasanya pilih latar belakang hitam untuk kurangkan kesan tersebut pada skrin.
Namun dengan bingkai kelabu, latar belakang hitam kurang berkesan untuk menutup ketebalan reka bentuk jam. Walaupun begitu, saya secara peribadi tiada masalah dengan reka bentuk ini. Cuma bagi mereka yang bertangan kecil terutamanya wanita, saiz ini mungkin kelihatan besar bila dipakai.

Saya rasa jam ini ringan yang lebih kurang 340 gram. Bila dipakai, rasanya macam pakai jam tangan biasa. Sebab itu saya selesa memakainya dalam tempoh lama termasuk waktu tidur. Kemasan pusam (matte) pada kerangkanya juga membantu mengurangkan kesan kotoran seperti cap jari.
Dengan itu, jam ini nampak bersih walaupun dipakai sepanjang hari. Cuma saya perasan, permukaan jenis ini agak mudah tercalar kalau tidak dijaga betul-betul. Saya juga perasan jam ini yang mempunyai tepi agak tajam yang menjadikannya lebih mudah terdedah kepada calar terutamanya jika berlaku geseran atau hentakan. Justeru itu, anda perlu lebih berhati-hati ketika memakainya dalam situasi harian.

Contohnya, saya pernah alami insiden kecil apabila jam ini terlanggar pintu rumah semasa hendak keluar bekerja. Kesan calar yang muncul menunjukkan jam ini agak sensitif terhadap hentakan ringan. Nasib baik calarnya tidak terlalu dalam dan masih boleh dibersihkan, jadi jam nampak seperti biasa semula. Tapi saya terfikir juga kalau calarnya lebih dalam tentu akan menjejaskan rupa keseluruhan jam. Jangan risau, saya tak berniat nak uji secara ekstrem sebab ini cuma unit pinjaman.

Jam tangan ini dilengkapi dengan satu butang fizikal di sebelah kanan yang saya dapati sangat berguna untuk membuka menu utama dan kembali ke skrin asal dengan cepat. Apabila ditekan lama, butang ini akan memaparkan beberapa pilihan seperti Slide to Power Off, Slide to Restart dan Slide to Call SOS.
Butang ini turut boleh diputar, tetapi berdasarkan pengalaman saya, putarannya tidak memberikan sebarang fungsi tambahan. Ia lebih kepada elemen rekaan semata-mata dan saya rasa ia menambah sedikit sentuhan yang menarik pada jam.

Permukaan butang jam ini ada logo segi tiga berwarna merah, simbol khas jenama Majdomo. Di sebelah kiri jam pula, tiada butang atau komponen fizikal hanya penjenamaan yang direka untuk menonjolkan identiti produk dari segi rupa. Saya juga rasa fungsi navigasi skrin pada Majdomo Moda adalah mesra pengguna. Gerakan sentuhan yang disediakan membolehkan saya akses pelbagai fungsi dengan cepat dan mudah tanpa rasa keliru.

Apabila saya leret ke atas dari skrin utama, pelbagai widget akan dipaparkan seperti rekod aktiviti harian, kadar denyutan jantung, tahap oksigen dalam darah (SpO₂), tekanan, tidur, serta maklumat tambahan seperti jumlah langkah, tarikh dan pemain audio. Semua elemen ini disusun dengan kemas sekali gus menjadikan pengalaman penggunaan lebih selesa dan efisien.
Leret ke bawah pada skrin jam membuka akses kepada tetapan pantas seperti sambungan Bluetooth untuk panggilan, kawalan pembesar suara, status bateri, pelaras kecerahan, serta maklumat asas tentang jam. Fungsi ini sangat berguna terutamanya apabila saya perlukan akses segera tanpa perlu masuk ke menu utama.

Leret ke kanan membolehkan saya membaca notifikasi daripada aplikasi yang disokong seperti WhatsApp dan Instagram. Walaupun jam ini tidak menyokong fungsi membalas mesej secara langsung, saya tetap dapat mengetahui mesej yang masuk dengan cepat dan mudah tanpa perlu membuka telefon.
Namun, satu perkara yang sedikit mengganggu saya ialah gegaran jam ketika menerima notifikasi. Kadangkala gegarannya terasa terlalu kuat atau kerap sehingga mengganggu keselesaan, terutamanya apabila saya sedang fokus atau berehat.

Sementara itu, leret ke kiri pada skrin jam memaparkan senarai aplikasi yang saya kerap gunakan atau telah ditetapkan sebagai kegemaran. Antara yang boleh diakses termasuklah kenalan, sejarah panggilan, papan kekunci untuk membuat panggilan serta pelbagai mod senaman. Ciri ini memudahkan saya dalam penggunaan harian kerana boleh terus membuka aplikasi diperlukan tanpa perlu mencari satu per satu.
Namun, pada awalnya saya sedikit kekok kerana jarang menggunakan jam ini untuk aktiviti sukan. Sebaliknya, saya lebih kerap memanfaatkannya untuk tujuan harian seperti memantau kadar denyutan jantung, waktu tidur dan cuaca. Lama-kelamaan, saya mula membiasakan diri dan mendapati fungsi-fungsi yang ditawarkan sangat membantu dalam rutin harian saya.

Susun atur antara muka Majdomo Moda sangat teratur, dengan ikon berwarna-warni yang bukan sahaja sedap mata memandang, tetapi juga memudahkan saya untuk bergerak dari satu fungsi ke fungsi lain. Selain itu, saya boleh pilih sehingga tujuh jenis tema susun atur ikon mengikut keselesaan yang saya suka.
Antara pilihan yang tersedia termasuk susun atur berbentuk bulat seperti dalam HarmonyOS (jam tangan Huawei), senarai biasa, bulatan bersilang, Honeycomb seperti Huawei, serta beberapa gaya lain seperti Turbulence, Halo, Whirling, dan Waterfall.

Diantara semua pilihan susun atur yang ada, saya paling suka guna Honeycomb dan Whirling. Kedua-duanya nampak menarik dan senang digunakan. Ia juga memudahkan saya cari aplikasi dengan cepat tanpa perlu tercari-cari satu per satu.
Saya juga perasan bahawa di bahagian bawah jam ini terdapat sensor terbina yang berfungsi untuk pemantauan kesihatan dan kecergasan. Biasanya, lampu hijau akan menyala apabila sensor berfungsi dengan baik manakala lampu merah memberi petunjuk bahawa mungkin ada gangguan atau isu dalam bacaan.

Jam ini dilengkapi dengan sepasang pembesar suara dan tiga lubang kecil untuk mikrofon terbina dalam. Berdasarkan pengalaman saya, kualiti audio yang dihasilkan kedengaran baik dan jelas di kedua-dua pihak. Sepanjang penggunaan, tiada gangguan atau kelewatan dari segi audio dan saya memang puji keupayaannya.
Untuk pengecasan, jam ini guna dua pin khas yang mengingatkan saya kepada sistem pengecasan jenama seperti Amazfit dan Honor Band. Ia mudah disambungkan, tapi pin perlu diposisikan dengan tepat supaya pengecasan stabil. Sedikit pergerakan boleh ganggu sambungan, jadi pengguna perlu pastikan jam diletakkan dengan betul semasa mengecas.

Tali jam ini diperbuat daripada getah lembut yang selesa dipakai sepanjang hari. Walaupun kualitinya mungkin tidak begitu premium, ia tetap berfungsi dengan baik dan tidak menyebabkan iritasi pada kulit. Menariknya, tali ini direka dengan deretan lubang yang memudahkan penguahsuaian saiz. Ia boleh dilaras dan dibuka menggunakan pin khas makanya proses membuka dan memasang semula tali menjadi mudah.
Cangkuk tali jam ini diperbuat daripada plastik biasa. Dari segi ketahanan, ia mungkin berisiko pecah atau patah jika digunakan secara kasar atau terdedah kepada tekanan berlebihan. Namun begitu, cangkuk ini mempunyai cengkaman yang baik dan tidak mudah tercabut berbanding sesetengah cangkuk besi yang kadangkala terasa licin dalam situasi tertentu.

Saya akui paparan AMOLED pada Majdomo Moda memang menarik. Dengan saiz 1.32 inci dan resolusi 466 x 466 piksel, skrin ini kelihatan tajam dan terang. Walaupun jenama ini tidak sepopular Samsung, Huawei atau Apple, paparan jam ini tetap memuaskan terutama bila digunakan di luar. Skrinnya masih jelas walaupun di bawah cahaya matahari.
Secara peribadi, saya memang suka dengan kualiti visualnya. Warna nampak hidup, teks mudah dibaca, dan keseluruhan pengalaman paparan terasa premium. Cuma satu kelemahan kecil ialah tiada fungsi pelarasan kecerahan automatik mengikut keadaan sekeliling. Biasanya ciri ini boleh membantu skrin menyesuaikan pencahayaan secara sendiri.

Walaupun tiada pelarasan kecerahan automatik, saya masih boleh ubah kecerahan secara manual melalui beberapa pilihan tetapan. Bagi saya, kekurangan ini tidak terlalu ketara dan tidak menjejaskan pengalaman penggunaan. Paparannya tetap terang dan selesa dilihat dalam pelbagai keadaan cahaya, termasuk di luar bangunan.
Jam juga menyokong fungsi Always-On Display yang boleh diaktifkan melalui tetapan. Ia membolehkan saya lihat masa dan tarikh tanpa perlu tekan apa-apa. Terdapat pelbagai muka jam yang boleh dipilih, dan saya boleh simpan sehingga 12 pilihan serentak.
Kalau nak lebih banyak, saya cuma perlu muat turun dan uruskan melalui aplikasi sambungan. Dari segi kualiti, paparan jam ini terang dan jelas dalam kebanyakan keadaan cahaya. Resolusinya baik, warna nampak hidup, dan teks mudah dibaca.
Aplikasi Sambungan
Sebelum digunakan, jam ini perlu disambungkan ke telefon pintar melalui Bluetooth. Aplikasi yang diperlukan ialah Gloryfit Pro dan boleh dimuat turun secara percuma dari App Store atau Google Play. Untuk mula menggunakannya, pengguna perlu mendaftar terlebih dahulu. Proses pendaftaran sangat mudah dan boleh dilakukan menggunakan akaun Gmail.

Ulasan ini adalah berdasarkan pengalaman menggunakan peranti iOS kerana saya hanya mengujinya melalui platform tersebut. Sebaik sahaja saya membuka aplikasi, perkara pertama yang saya perasan ialah antaramuka (UI) yang sangat mirip dengan aplikasi Huawei Health.
Saya tidak bersendirian malah rakan sekerja saya pun berpendapat sama. Disebabkan itu, saya langsung tidak kekok untuk menggunakannya. Namun, saya faham mungkin ada pengguna baharu yang rasa sedikit keliru pada awalnya. Tapi jangan risau tetapi percayalah, aplikasi ini sangat mudah digunakan. Serius, semudah ABC.

Antaramuka aplikasi ini cerah dan segar dengan warna ikon serta latar belakang yang mudah dikenali. Ia dibahagikan kepada empat bahagian utama: Home, Sport, Device dan Profile. Di bahagian Home, saya boleh lihat data kesihatan penting seperti jumlah langkah, waktu tidur, kadar jantung, tahap oksigen dalam darah dan beberapa maklumat lain.
Bahagian Sport memaparkan aktiviti harian dan lakaran ringkas setiap aktiviti yang dilakukan. Memandangkan saya jarang berlari, saya lebih kerap gunakan bahagian ini untuk pantau tahap oksigen, stres dan kecergasan harian. Menariknya, ia turut menunjukkan kadar degupan jantung secara langsung.

Bahagian Device memaparkan maklumat tentang peranti yang disambungkan seperti tahap bateri, jenis sambungan, muka jam, SMS, alarm, panggilan dan aplikasi aktif. Saya juga boleh tetapkan butiran penting seperti buku alamat, senarai kenalan dan jam dunia. Selain itu, saya boleh buat tetapan semula peranti atau semak kemas kini firmware dengan mudah.
Bahagian Profile memaparkan statistik senaman mingguan saya. Di sini, saya boleh tetapkan sasaran harian dan ubah pelbagai tetapan berkaitan akaun serta penggunaan aplikasi. Semuanya jelas dan mudah digunakan. Jam ini juga boleh disambungkan dengan beberapa aplikasi pihak ketiga seperti Atrava dan Apple Health.

Jam ini boleh membaca kadar denyutan jantung, tetapi saya dapati bacaan tersebut kurang konsisten. Ada hari saya langsung tidak memakainya, namun ia tetap mencatatkan seolah-olah saya memakainya selama 57 minit. Sedangkan pada hari itu, saya bercuti dan tidak melakukan sebarang aktiviti.
Sebaliknya, bacaan oksigen dalam darah lebih tepat. Jika tiada pengukuran dibuat, ia akan menunjukkan 0% sebagai tanda tiada aktiviti. Ini berbeza dengan bacaan nadi yang kadang-kadang tetap muncul walaupun saya tidak memakai jam.
Bacaan tekanan darah dan waktu tidur juga berfungsi dengan baik. Untuk pemantauan tekanan, jam ini boleh mengesan hampir setiap masa dan kebanyakan bacaan berada dalam tahap yang boleh diterima. Fungsi peringatan untuk berdiri sangat membantu.

Ia akan beri amaran setiap tiga hingga empat jam, dan bagi saya yang bekerja menghadap komputer selama 8 jam tanpa banyak bergerak, ciri ini memang berguna. Saya bukan jenis yang suka bangun dari kerusi, jadi notifikasi ini sekurang-kurangnya beri kesedaran tentang keadaan tubuh saya.
Untuk pemantauan tidur, jam ini berfungsi dengan baik secara keseluruhan. Namun, saya perasan satu kelemahan, ia tidak dapat mengesan waktu tidur singkat atau ‘nap’. Pernah sekali saya berjaga pada pukul 3 pagi untuk menyiapkan tugasan, kemudian tidur semula sekitar jam 5 pagi.

Tetapi jam ini tetap mencatatkan saya tidur dari jam 11 malam hingga 6.30 pagi, tanpa mengesan waktu saya berjaga. Jadi, bacaan itu tidak begitu tepat. Seperti yang saya katakan, jam ini memang boleh berfungsi dan mengesan dengan baik, cuma ada masanya bacaan tidak begitu konsisten untuk beberapa fungsi.
Prestasi GPS agak perlahan untuk mengunci lokasi, tetapi saya masih boleh memulakan aktiviti secara manual dengan menekan butang yang disediakan. Ini sangat memudahkan terutamanya apabila saya ingin terus bergerak tanpa perlu menunggu lokasi dikunci sepenuhnya.

Sambungan Bluetooth pula sangat stabil sepanjang penggunaan. Tiada masalah terputus sambungan kecuali apabila saya sendiri mematikan fungsi Bluetooth di telefon pintar. Notifikasi boleh diterima dengan baik tanpa sebarang kelewatan atau tertinggal. Semua pemberitahuan yang masuk boleh dibaca dengan jelas dan tepat pada waktunya. Panggilan masuk juga boleh dijawab terus dari jam dengan pilihan untuk menjawab atau menolak panggilan.

Cuma satu kekurangan yang saya perasan ialah jam ini tidak boleh digunakan untuk membalas mesej, walaupun mesej ringkas. Ini mungkin menyusahkan bagi pengguna yang mahu berbalas mesej terus dari jam tangan.
Apa yang saya suka tentang jam ini ialah baterinya boleh dicas semula dengan mudah apabila habis. Selepas mula dicas, antara muka utama muncul dengan cepat tanpa perlu menunggu lama. Berbeza dengan jam lain yang pernah saya guna di mana kebanyakannya akan paparkan logo jenama terlebih dahulu sebelum menunjukkan status pengecasan.
Ketahanan Bateri
Bateri jam tangan ini mampu bertahan sehingga 8 hari, bergantung kepada corak penggunaan. Saya mula menggunakannya pada tahap 93% dan selepas lapan hari baki tinggal 18%. Proses pengecasan pula memadai dan tidak mengambil masa lama untuk penuh.
Saya biasanya mengecas jam ketika sedang bersiap ke pejabat, jadi tidak sempat mengira tempoh pengecasan secara tepat. Namun, berdasarkan pengalaman, dalam kurang satu jam bateri sudah boleh mencapai sekitar 60% sebelum saya keluar. Jam ini dicas menggunakan pin khas yang disediakan.
Sambungannya kukuh dan tidak mudah tercabut. Walaupun reka bentuk pengecas berfungsi dengan baik, sesetengah pengguna mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan cara pemasangannya.
Kesimpulan
Jam tangan ini memang praktikal, berguna dan mesra pengguna untuk kegunaan harian. Bateri yang tahan lama boleh digunakan sehingga lapan hari tanpa perlu dicas selalu. Bila mahu dicas juga prosesnya cepat dan mudah. Reka bentuknya pula selesa dipakai sesuai untuk aktiviti harian.

Ia juga ada banyak fungsi pintar seperti notifikasi mesej dan panggilan serta ciri kesihatan seperti kiraan langkah, kadar jantung, dan pemantauan tidur. Secara keseluruhan, jam tangan ini bukan hanya aksesori tetapi alat yang bantu saya untuk kekal sihat dan teratur setiap hari.

Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.