Malaysia Oversight

Ulasan iPhone 17 – iPhone Asas Paling Lengkap

By Amanz in November 6, 2025 – Reading time 8 minute
Ulasan iPhone 17 – iPhone Asas Paling Lengkap


Pada siri 17 kali ini, saya perhatikan yang model Air mendapat banyak perhatian dan diikuti dengan model Pro. 17 yang model asas ini seperti dianak tirikan oleh kebanyakan orang. Saya rasakan model asas ini mendapat penambahbaikan yang agak baik berbanding model terdahulu. Sebagai seorang pengguna Android setelah beberapa tahun, saya berpeluang untuk mencuba iPhone 17 dan adakah peranti iOS mampu membuatkan saya bertukar angin?

DSC07605
iPhone 17
Skrin 6.3 inci LTPO Super Retina XDR OLED, 120Hz, HDR10, Dolby Vision, 1000 nits, 1600 nits (HBM) 3000 nits (puncak)
Pemproses A19 (3 nm)
Cip 2 x 4.26 GHz 4 x X.X GHz
Cip Grafik GPU (grafik 6 teras)
RAM 12GB RAM,
Muatan Dalaman 256GB/512GB
Kamera Utama 48 MP, f/1.8 (lebar) OIS 48 MP, f/2.2 (ultrawide)
Kamera Swafoto 18 MP (ultrawide) PDAF SL 3D (sensor kedalaman/biometrik)
Bateri 3,998 mAh 25W Wireless MagSafe/Qi2 4.5W Reverse wired
SIM/Telefoni Nano/5G
NFC Ya
Bicu Audio Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Pengimbas wajah Face ID
Harga Jualan (256 GB) – RM3999
(512 GB) – RM4999

Rekaan

Pada model Pro, ia menggunakan rekaan yang agak baru namun untuk model asas ini tiada apa-apa rekaan baharu dan saya boleh katakan yang rekaannya serupa sahaja dengan iPhone 16 dahulu. Saya sendiri sudah jangkakan yang Apple akan menggunakan rekaan yang sama sahaja pada model ini namun walaupun gunakan rekaan yang sama ia bukanlah satu perkara yang teruk.

iPhone 17 Series Edited 2 1

Rekaan iPhone 17 ini masih lagi nampak minimal dan kemas. Pada bahagian belakang dan skrin hadapan ini ia sudah pun menggunakan kaca jenis Ceramic Shield 2 yang baharu dan lebih tahan lasak. Kaca pada panel belakang ini menggunakan tekstur kusam yang kurang memerangkap cap jari. iPhone 17 ini juga agak sedap digenggam dalam tangan, ia memberikan pengalaman yang sama seperti Pixel 10 kerana menggunakan saiz yang sama. Dari segi ketahanan, ia masih lagi mempunyai pensijilan IP68.

DSC07590

Bingkai menggunakan bahan jenis aluminium yang menempatkan butang aras suara, Action Button dan slot SIM pada sisi kiri manakala butang kuasa dan butang Camera Control terletak pada sisi kanan. Port pengecasan USB-C dan pembesar suara terletak di bahagian bawah. Secara keseluruhannya, rekaan pada iPhone 17 ini masih lagi kelihatan baik untuk saya dan tiada apa-apa isu kosmetik lagi sepanjang tempoh ulasan ini. 

DSC07584

Skrin

Skrin pada iPhone 17 ini mendapat penambaikan yang sangat-sangat baik pada saya. Ia menggunakan skrin Super Retina XDR bersaiz 6.3” yang lebih besar berbanding iPhone 16 dengan panel OLED yang menyokong HDR10 serta Dolby Vision. Tahap kecerahan juga semakin meningkat kepada 3000nits. Perkara yang membuatkan saya teruja sedikit adalah kali ini Apple sudah memberi ProMotion 120Hz pada model asas setelah sekian lama pengguna memintanya. 

DSC07592

Kualiti skrin pada iPhone 17 ini juga baik sahaja tanpa sebarang isu walaupun hanya menggunakan resolusi FHD+. Bezel pada skrin yang semakin nipis ini juga memberikan pengalaman menonton kandungan lebih mengasyikkan ditambah dengan penghasilan warna yang baik dan disebabkan bezel yang lebih nipis ini ia terasa lebih mahal berbanding skrin yang ada pada Pixel 10 yang saya ulas sebelum ini.

DSC07595

Prestasi

iPhone 17 ini juga menggunakan cip terbaru dari Apple iaitu A19. Cip ini juga digabungkan dengan penggunaan 8GB RAM dengan pilihan storan dalaman 256GB atau 512GB jenis NVMe. Sebelum saya menggunakan peranti ini, saya memang ada jangkaan tentang bagaimana prestasinya. Walaupun tidak menggunakan nama Pro ia masih lagi dapat berikan prestasi yang sangat baik.

Benchmark iP17

Sebagai perbandingan, iPhone 17 dibandingkan dengan peranti di bawah.

  • Dimensity 9500 – Oppo Find X9 Pro
  • Apple A19 Pro – Apple iPhone 17 Pro
  • Snapdragon 8 Elite (7 Teras) – Oppp Find N5
  • Snapdragon 8 Elite – Xiaomi 15 Ultra
  • Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
  • Apple A18 Pro – Apple iPhone 16 Pro Max
  • Tensor G5 – Google Pixel 10 Pro XL

AnTuTu 3D

Cip Skor
Apple iPhone 17 2,163,048
Oppo Find X9 Pro 3,472,342
Apple iPhone 17 Pro 2,634,345
Oppo Find N5 2,157,718
Xiaomi 15 Ultra 2,341,598
Samsung Galaxy S25 Ultra 1,946,864
Apple iPhone 16 Pro Max 1,720,751
Google Pixel 10 Pro XL 1,214,735
Apple iPhone 17 Antutu 3D

Geekbench 6

Cip Satu Teras Multi Teras
Apple iPhone 17 3544 8987
Oppo Find X9 Pro 3158 9298
Apple iPhone 17 Pro 3560 8835
Oppo Find N5 2866 7987
Xiaomi 15 Ultra 2918 8917
Samsung Galaxy S25 Ultra 2957 9435
Apple iPhone 16 Pro Max 3359 8129
Google Pixel 10 Pro XL 2303 6134
Apple iPhone 17 Geekbench 6

3DMark Wildlife Extreme

Cip Skor
Apple iPhone 17 4856
Oppo Find X9 Pro 6127
Apple iPhone 17 Pro 5873
Oppo Find N5 5507
Xiaomi 15 Ultra N/A
Samsung Galaxy S25 Ultra 6135
Apple iPhone 16 Pro Max 4560
Google Pixel 10 Pro XL 3266
Apple iPhone 17 3dmark

Prestasi peranti juga dapat dilihat dengan jelas melalui pengalaman penggunaan harian saya yang sangat lancar dan pantas. Skrin berfungsi dengan baik, aplikasi dibuka dengan cepat, proses muat-turun berjalan dan tiada masalah sistem tergendala setakat ini. Selain itu, pergerakan animasi juga kelihatan lancar dan stabil tanpa sebarang lengah masa yang ketara.

Dalam ujian penanda aras, cip A19 ini mampu mencatatkan skor yang agak baik dengan pesaingnya kecuali Pixel 10. Ini menunjukkan kemampuan cip ini dalam mengendalikan tugasan yang berat dengan sangat baik. Untuk penggunaan harian, ia terasa sangat-sangat lancar tanpa sebarang masalah malah saya amat kagum dengan pengurusan memori pada peranti ini walaupun menggunakan 8GB RAM sahaja.

DSC07612

Untuk tugasan yang berat dan menggunakan kuasa grafik yang agak tinggi, cip ini akan terasa suam dan mungkin akan lebih panas jika menggunakan tetapan grafik yang tinggi. Dalam permainan CarX Street dengan tetapan tertinggi, panel belakang terasa agak panas namun ia tidak menjejaskan prestasi permainan. Permua yang biasa seperti Mobile Legends boleh dijalankan dengan sangat lancar.

DSC07619

Secara ringkasnya, iPhone 17 dengan cip A19 ini sangat berkuasa untuk penggunaan biasa malah ia juga mampu mengendalikan tugasan yang berat. Untuk kebanyakan pengguna, saya rasakan cip ini sudah pun cukup berkuasa untuk tugasan seharian. 

Kamera

Sistem kamera pada iPhone 17 ini juga mendapat beberapa penambahbaikan seperti lensa ultra-lebar kali ini sudah menggunakan 48MP. Lensa utamanya masih lagi sama dan tiada apa-apa perubahan. Seperti prestasinya juga, walaupun tidak menggunakan nama Pro ia masih lagi dapat memberikan hasil gambar yang baik-baik sahaja. 

iPhone 17 Series Edited 3

Lensa utama ini dapat menghasilkan gambar dengan kualiti yang baik pada waktu siang atau dengan pencahayaan yang cukup. Warnanya kelihatan natural dan tidak terlalu pekat menunjukan identiti iPhone sejak beberapa generasi yang lepas. Lensa utama ini juga mempunyai zum optikal 2X untuk mengambil gambar dengan komposisi yang ketat sedikit dan ia masih lagi dapat memberikan keperincian yang baik.

IMG 0014
IMG 0004
IMG 0621 scaled e1761556393129
IMG 0037
IMG 0167

Lensa ultra-lebar juga tiada sebarang isu besar. Hasil gambar kelihatan seperti lensa utama dengan keperincian yang tinggi disebabkan penggunaan 48MP. Warna masih lagi kelihatan natural dan semula jadi. Jika anda ingin hasil gambar kelihatan sedikit berbeza saya sarankan untuk guna ciri Camera Styles.

IMG 0013
IMG 0176 scaled e1761556377625

Perkara yang menarik pada siri iPhone 17 kali ini adalah ia menggunakan sensor baharu pada lensa swafoto. Dengan sensor ini, siri iPhone 17 kini mempunyai ciri Center Stage yang ada pada peranti Apple yang lain seperti Macbook. Sejujurnya saya bukanlah orang yang kerap menggunakan kamera swafoto ini namun hasil gambar kamera swafoto ini sangat menarik ditambah dengan ciri Center Stage ini. 

IMG 0667 1
IMG 0668 1

Kebolehan video sememangnya kekuatan iPhone yang paling menyerlah ini disebabkan penghasilan videonya sangat-sangat stabil dan konsisten dari segi visual mahupun audio. Meskipun ini model asas yang tiada apa-apa ciri tambahan, saya sudah cukup berpuas hati dengan penghasilan videonya.

Mungkin satu perkara yang saya kurang suka pada kamera iPhone 17 ini adalah ketiadaan lensa telefoto. Ini adalah sekadar pendapat peribadi sahaja kerana saya memang sukakan gambar dengan komposisi ketat jadi mungkin untuk orang lain ketiadaan lensa telefoto ini tidak terlalu penting.

Perisian – iOS26

iPhone 17 ini menggunakan sistem operasi terbaru dari Apple iaitu iOS 26 sebaik sahaja keluar dari kotak. Kini ia kelihatan lebih kemas, moden dan segar dengan menggunakan antaramuka Liquid Glass. Banyak juga perkara boleh diubah mengikut citarasa pengguna pada iOS 26 ini namun saya rasakan ia masih lagi lebih kurang  sama seperti iOS 18 yang lepas. 

DSC07594

Konsep rekaan antaramuka yang 3D kini kembali semula selepas menggunakan rekaan yang rata dalam beberapa tahun yang lepas. Pada awalnya, ia memang nampak lebih segar kerana mata saya sendiri sudah terbiasa dengan rekaan ikon yang rata namun lama kelamaan ia terasa seperti biasa sahaja walaupun ini kali pertama saya menggunakan sistem operasi dari Apple ini.

iOS26 Collage

Dari segi pengalaman penggunaan, sudah semestinya iOS 26 ini terasa sangat lancar dan tiada isu yang besar sepanjang penggunaan. Tetapi, terdapat beberapa tetapan aneh yang saya rasa agak pelik contohnya ketika mengambil tangkap layar yang kini memerlukan langkah tambahan untuk menyimpan dalam galeri.

Apple Intelligence Collage
DSC07596 1

Selain itu, saya turut teruja untuk mencuba Apple Intelligence buat pertama kalinya namun agak mengecewakan kerana walaupun sudah berkolaborasi dengan ChatGPT ia tidak secekap yang saya sangkakan malah ciri Clean Up juga masih sangat lemah berbanding peranti Android. Ia masih mempunyai ciri Genmoji yang boleh membuat emoji berdasarkan gambar dan Writing Tools yang dikemaskini lebih baik. Mungkin juga saya sendiri sudah lebih selesa menggunakan Gemini pada peranti-peranti Android yang lebih efisien berbanding Apple Intelligence ini.

Bateri

Walaupun ini adalah model yang paling asas untuk keluarga iPhone 17, prestasi baterinya agak mengagumkan dengan kapasiti bateri yang dimuatkan adalah sebesar 3692 mAh. Ya, mungkin para pengguna Android memandang rendah kapasiti bateri ini kerana saya juga begitu tapi iPhone 17 ini mampu bertahan sehingga 8 jam SoT. 

DSC07601

Pada awal penggunaan, ketahanan bateri pada iPhone 17 ini sangatlah kurang memuaskan dimana ia hanya bertahan setengah hari sahaja dengan penggunaan sederhana. Namun selepas peranti ini telah mencapai tahap yang paling optimum dengan iOS26 barulah ia memberikan ketahanan bateri yang impresif.

DSC07602

Dari segi pengecasan, akhirnya Apple memberikan juga peningkatan untuk kelajuan pengecasannya iaitu 40W. Sekali lagi, mungkin pengguna Android mungkin akan tersenyum sahaja melihat nombor itu tapi ia sudah cukup laju untuk mengecas bateri yang dengan kapasiti sebegitu. Ia turut menyokong pengecasan nirwayar Qi2 25W bersama dengan Magsafe. 

Audio

Anda tidak perlu risau kerana iPhone 17 ini masih lagi menggunakan pembesar suara stereo. Dari segi kualiti, ia bukanlah yang paling terbaik kerana tiada apa-apa perubahan yang dibuat dari segi perkakasan namun ia juga bukanlah yang paling teruk. Setakat penggunaan biasa seperti menonton kandungan di Youtube atau TikTok ia masih lagi dapat berikan pengalaman yang baik. 

Kesimpulan

iPhone 17 Series Edited

iPhone 17 ini menjadi model asas yang agak berbaloi untuk dimiliki pada pandangan saya walaupun ia masih menggunakan rekaan yang sama seperti dahulu tapi penambahbaikan pada skrin yang kini menggunakan kadar segar semula 120Hz, penggunaan cip yang masih lagi berkuasa dan prestasi kamera yang baik untuk penggunaan seharian menjadikan peranti ini sangat baik untuk dimiliki.

iPhone 17 ini telah mendapat banyak peningkatan dan saya akui sebagai pengguna Android yang saya agak suka dengan iPhone 17 ini kerana ia memberikan pengalaman yang agak baik ketika menggunakannya dan saya tidak hadapi banyak isu besar. Harganya juga masuk akal dimana varian paling rendah dijual pada RM3999, bagi saya inilah model yang paling berbaloi jika anda sedang mencari iPhone yang terbaru sebagai pengguna kasual yang tidak mementingkan ciri professional.

Pro

  • Kualiti skrin yang baik dengan kadar segar semula 120Hz
  • Cip A19 cukup berkuasa untuk kegunaan seharian.
  • Lensa utama dan ultra-lebar kini menggunakan 48MP.
  • Kamera swafoto dengan ciri Center Stage yang baru.
  • Ketahanan bateri yang baik.
  • iPhone yang agak berbaloi untuk tahun 2025

Kontra

  • Rekaan masih lagi sama dengan dahulu.
  • Tiada lensa telephoto.
  • Ciri kamera yang asas.
  • Tiada peningkatan ciri AI yang ketara berbanding siri iPhone 16.
Skor apple iphone 17



Source link