Tahun ini ialah tahun kedua siri Google Pixel dipasarkan di Malaysia dengan ia menerima cabaran besar daripada Apple serta pengeluar peranti Android yang lain. Tahun lalu saya katakan Pixel 9 Pro XL kurang kompetitif untuk pasaran Malaysia kerana kekurangan kuasa dan set ciri yang tidak cukup unik. Menerusi Pixel 10 Pro XL, saya merasakan saya akhirnya tahun apakah keunikan sebenar Pixel.

Ianya bukan kuasa menawarkan grafik permainan 100FPS, bukan sokongan ekosistem Apple dan bukan kuasa pengecasan terpantas. Sebaliknya ia adalah peranti kecerdasan buatan (AI) sebenar bagi mereka yang mencari peranti dengan integrasi AI terbaik.
Spesifikasi
| Google Pixel 10 Pro XL | |||||
|---|---|---|---|---|---|
| Skrin | 6.8″ LTPO OLED, 120Hz | Super Actua Display, HDR10+ | |||
| Pemproses | Google Tensor G5 (3nm) | ||||
| Cip | 1 X 3.78 GHz Cortex X4 | 5 X 3.05 GHz Cortex A725 | 4 X 2.25 GHz Cortex A520 | ||
| Cip Grafik | PowerVR DXT-48-1536 | ||||
| RAM | 16GB LPDDR5X | ||||
| Muatan Dalaman | 256/512/1000 GB UFS 4.0 | ||||
| Kamera Utama | 50MP f/1.7, OIS (Utama) | 48MP f/1.7 (Ultra Lebar) | 48MP f/2.8, OIS (Telefoto) | ||
| Kamera Swafoto | 42MP f/2.2 | ||||
| Bateri | 5200 mAh | Pengecasan berwayar 45W | Pengecasan nirwayar 25W Pixel Stand | Pengecasan nirwayar 25W Qi | Pengecasan berbalik |
| SIM/Telefoni | 1 Nano, 1 eSIM | 5G Sub 6 | |||
| NFC | Ya | ||||
| Bicu Audio | Tiada | ||||
| Kalis Air | IP68 | ||||
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari ultrasonik | Imbasan wajah | |||
| Harga Jualan | RM 5999 (16/256GB) RM 6599 (16/512GB) RM 7799 (16/1000GB) |
Skrin
Pixel 10 Pro XL dilengkapi skrin 6.8″ LTPO OLED 120Hz dari jenis Actua Display yang terasa lancar apabila digunakan dan menyokong HDR10+. Dolby Vision masih tiada meletakkan Google sama rendah kerana enggan menyokong format HDR yang lebih popular ini. Sokongan HDR10+ boleh dinikmati dalam aplikasi Netflix, Prime Video dan YouTube.

Skrin dari jenis rata maka tidak timbul isu kandungan melimpah ke sisi. Sudut pandangan juga baik dan setiap sentuhan dikesan dengan baik. Walaupun di bawah matahari yang terik, kandungan dapat dilihat jelas. Ada yang mengatakan bezel Pixel 10 Pro XL terlalu tebal berbanding pesaing tetapi secara peribadi saya tidak mempunyai isu dengannya.
Biometri
Sistem biometri adalah dari jenis pengimbas jari bawah skrin ultrasonik yang pantas serta imbasan wajah. Lokasi pengimbas cap jari adalah cukup tinggi memudahkan nyahkunci dilakukan. Sistem imbasan wajah juga tidak kurang pantas asalnya dalam situasi terdapat pencahayaan yang mencukupi.

Rekaan
Pixel 10 Pro XL mempunyai tubuh yang terasa tegap dan premium di dalam tangan. Bingkai logam yang berkilat memberikan kemasan yang nampak serta terasa mewah. Bukan sahaja skrin sama dengan tahun lalu, tubuh peranti juga dikitar semula. Ini bukan perkara negatif kerana tubuh peranti terasa seimbang walaupun dengan bonggol kamera yang besar di bahagian belakang.

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Susunannya ialah butang kuasa di atas dan butang laras audio pula di bawah yang terbalik berbanding pada peranti Android lain di pasaran. Ianya kelainan tetapi selepas 3 minggu digunakan, saya masih belum mampu membiasakan diri dengannya.
Di bawah terdapat port pengecasan USB-C dengan ia dihimpit dua alur kekisi audio di sebelah kiri dan kanan. Bergerak ke atas terdapat lubang mikrofon dan talam SIM fizikal. Talam SIM hanya menyokong satu SIM fizikal dengan sokongan SIM kedua adalah dalam bentuk eSIM sahaja. Tingkap untuk rangkaian 5G mmWave yang disertakan pada Pixel 9 Pro XL tidak lagi disertakan.

Sisi tubuh yang rata membuatkan peranti kelihatan sedikit tebal tetapi saya bukan jenis pengguna yang mengeluh peranti sedikit tebal. Ianya bukan isu yang besar. Badan yang tebal ini kerana kapasiti bateri 5200 mAh yang disertakan. Ia adalah lebih besar berbanding 5060 mAh pada Pixel 9 Pro XL.
Ini menyebabkan peranti ini terasa berat di dalam tangan. Berat di sini tidak hadir dengan konotasi negatif sebaliknya membuatkan peranti terasa lebih mewah. Sebelum ini Pixel yang pernah saya gunakan terasa murahan kerana kemasan plastik dan polikarbonat.

Panel belakang diperbuat daripada kaca yang tidak berkilat dan tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Ia juga membolehkan peranti menyokong pengecasan nirwayar Qi2 dan pengecasan nirwayar berbalik. Bonggol kamera berbentuk bujur mendominasi rekaan belakang. Ianya adalah agak besar dan tebal membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja.
Ia menempatkan lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 48MP dan lensa telefoto 48MP yang boleh melakukan zum optikal sehingga 5X. Tiada perubahan pada sensor dilakukan. Mungkin Google sama seperti Samsung percaya mengitar semula adalah baik untuk alam sekitar dan tidak menyebabkan pembeli tawar hati.Akhir sekali tubuh ketiga-tiga model melepasi piawaian kalis air dan debu IP68.
Perisian – Google Android Paling Asli

Perisian ialah sebab mengapa ramai ingin menggunakan Pixel. Ia adalah versi Android 16 yang paling suci murni tanpa aplikasi gendut dan pelancar pihak ketiga yang tidak begitu menarik. Perisian ini berjalan dengan cukup lancar dengan ia dipadankan kepada cip Google Tensor G5, memori 16GB RAM dan storan sehingga 1TB. Google tidak menawarkan ciri tambahan RAM maya seperti pengeluar lain dan saya sendiri merasakan 16GB yang disertakan adalah lebih daripada mencukupi.
Ia adalah peranti pertama menggunakan Material 3 Expressive yang jauh lebih mudah digunakan dengan elemen yang juga ceria. Saya kurang suka dengan Android 15 tahun lalu yang terasa agak kosong. Tahun ini elemen antaramuka terasa lebih selari dengan keperluan dunia moden.
Selain perisian yang paling ringan, ia hadir dengan ciri-ciri eksklusif Pixel serta menerima sokongan kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti. Bagi yang mencari telefon yang digunakan untuk jangka masa lama, Pixel 10 Pro XL ialah pilihan yang baik.

Ciri menarik lain ialah Gemini Nano dijalankan terus pada peranti untuk pelbagai tugasan AI seperti ciri Reimagine dan Pixel Studio. Pixel Studio menjana imej menggunakan AI generatif terus dari peranti tanpa memerlukan internet. Oleh itu imej boleh dijana dalam masa sekitar 10 saat.

Reimagine pula mengubahsuai gambar dengan memasukkan prom dalam Google Photos. Sebagai contoh anda mungkin ingin mengubah langit biru menjadi langit merah seperti matahari terbenam. Menukar jalan menjadi sungai yang mengalir deras. Gambar juga boleh diubah komposisinya dengan bahagian yang tiada dijana oleh Gemini.

Terdapat juga ciri Screenshot baharu yang menyimpan semua tangkapan layar dalam aplikasi khas. AI kemudian membaca semua maklumat dalam tangkapan layar seperti nombor telefon, kata laluan WiFi, nombor tempahan kapal terbang dan alamat venue acara. Dari dalam aplikasi pengguna hanya perlu bertanya soalan yang ingin diketahui jawapannya dan Screenshot akan memberikannya berdasarkan maklumat yang telah dikumpul.

Yang lebih berguna pada hemat saya ialah Recorder yang boleh menjana transkrip audio temubual secara automatik. Sepanjang lebih 4 minggu digunakan, ini ciri yang mengurangkan masa bekerja untuk menulis artikel. NotebookLM juga terpasang pada Pixel 10 Pro XL memudahkan dokumen diproses, dicerna dan kemudiannya diubah menjadi podsiar secara automatik.
Fungsi terbaik masih lagi Google Circle to Search, Gemini dan Gemini Voice yang kini akhirnya semakin pintar. Tetapi tiga ciri ini tidak eksklusif pada peranti Pixel sahaja. Google memberikan langganan Google AI Pro selama 12 bulan secara percuma yang memberikan akses janaan imej, Notebook LM, dan Google Gemini yang lebih menyeluruh berbanding penggunaan akaun percuma.

Ciri Magic Cue, dan Call Screening tidak berfungsi langsung sepanjang tempoh ulasan. Saya rasakan ciri ini masih tidak diaktifkan di Malaysia. Sama seperti ciri menyunting Photos menggunakan arahan suara juga terhad kepada pengguna di Amerika Syarikat.
PENANDA ARAS
Berikut ialah markah penanda aras Antutu 3D, Geekbench 6 dan 3D Mark Wildlife Extreme. Saya bandingkan cip Tensor G5 yang digunakan Pixel 10 Pro XL dengan cip-cip mercu di bawah.
- Apple A19 Pro – Apple iPhone 17 Pro
- Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy Z Fold7
- Exynos 2500 – Samsung Galaxy Z Flip7
- Snapdragon 8 Elite – Honor Magic V5
- Snapdragon 8 Elite (7 Teras) – Oppp Find N5
- Snapdragon 8 Elite – Xiaomi 15 Ultra
- Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
- MediaTek Dimensity 9400 – Oppo Find X8 Pro
- Apple A18 Pro – Apple iPhone 16 Pro Max
AnTuTu 3D
| Cip | Skor |
| Google Pixel 10 Pro XL | 1,214,735 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |
| Samsung Galaxy Z Flip7 | 1,542,966 |
| Oppo Find N5 | 2,157,718 |
| Xiaomi 15 Ultra | 2,341,598 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 1,946,864 |
| Oppo Find X8 Pro | 2,629,017 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 1,720,751 |
| Google Pixel 9 Pro XL | 1,016,712 |

Geekbench 6
| Cip | Satu Teras | Multi Teras |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2303 | 6134 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |
| Samsung Galaxy Z Flip7 | 2236 | 7627 |
| Oppo Find N5 | 2866 | 7987 |
| Xiaomi 15 Ultra | 2918 | 8917 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 2957 | 9435 |
| Oppo Find X8 Pro | 2663 | 8959 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 3359 | 8129 |
| Google Pixel 9 Pro XL | 1916 | 4644 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Google Pixel 10 Pro XL | 3266 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |
| Samsung Galaxy Z Flip7 | 5201 |
| Oppo Find N5 | 5507 |
| Xiaomi 15 Ultra | N/A |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 6135 |
| Oppo Find X8 Pro | 6251 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 4560 |
| Google Pixel 9 Pro XL | 2567 |

Dalam semua ujian Tensor G5 mencatatkan markah yang lebih rendah berbanding Snapdragon 8 Elite, Apple A19 Pro, Apple A18 Pro dan Dimensity 9400. Ia hanya mampu mengalahkan Tensor G4 yang tahun lalu merupakan cip mercu paling lemah di pasaran.
Prestasi menggunakan peranti adalah memuaskan dengan semuanya berjalan lancar. Aplikasi lazim dilancarkan dengan pantas tanpa sebarang isu. Tetapi apabila permua dan kamera dilancarkan barulah isu muncul. Peranti menjadi hangat dengan pantas sehingga menjadi sangat menjengkelkan. Ambil 10 gambar dan peranti terus suam. Ambil tangkapan layar dan lakukan suntingan dalam Photos. Peranti sekali lagi menjadi suam. Permua seperti COD Mobile membuat suhu naik. Prestasi tidak terjejas tetapi apabila peranti hangat dalam tangan ia menjadi sangat tidak selesa.

Saya sudahpun kecewa dengan prestasi Tensor G5 yang tidak setanding Snapdragon 8 Elite yang dilancarkan tahun lalu. Ia pastinya akan lagi ketinggalan di belakang apabila peranti Snapdragon 8 Elite Gen 5, Exynos 2600 dan Dimensity 9500 mula memasuki pasaran Malaysia. Sekali lagi peranti Pixel tidak boleh disarankan sebagai sebuah peranti gaming. Sekali lagi prestasi cip adalah lebih layak diletakkan dalam kelas pertengahan.
KAMERA
Kamera ialah kekuatan Pixel sejak daripada iterasi pertama lagi. Teknologi fotografi perkomputeran Pixel dipertingkatkan lagi tahun ini dengan bantuan kecerdasan buatan (AI). Hasilnya ialah gambar cantik diambil secara konsisten tidak kira di bawah mentari terik dengan UV tinggi di Kuala Lumpur, di syurga duniawi Hawaii atau dalam keadaan cuaca sendu di Belfast. Lihat sendiri sampel gambar yang sempat saya ambil di ketiga-tiga lokasi ini sepanjang tempoh ulasan.








Gambar zum sehingga 100x masih nampak tajam kerana menggunakan AI generatif untuk meningkat kualiti. Untuk kualiti terbaik pastikan subjek ialah bangunan atau pemandangan semula jadi. Bila ada wajah manusia atau kenderaan, ilusi zum 100x yang mantap ini akan musnah.




Persoalan saya kepada anda ialah adakah anda peduli gambar diambil Pixel 10 Pro XL adalah janaan AI atau yang lebih penting ialah gambar sentiasa nampak sempurna? Jika anda mengambil pilihan kedua, kamera Pixel 10 Pro XL ialah yang teragung pernah saya ulas tahun ini.
Saya perlu mengujinya dengan Oppo Find X9 Pro yang sedang diuji Maya, Vivo X300 Pro yang sedang diuji Amzari dan Xiaomi 17 Pro Max yang belum dilancarkan di Malaysia untuk melihat peranti manakah adalah juara kamera 2025.
BATERI
Bateri 5200 mAh yang digunakan tahun ini adalah lebih baik berbanding 5060 mAh tahun lalu. Tiada masalah untuk Pixel 10 Pro XL untuk bertahan sepanjang hari menggunakan hanya rangkaian 5G. Cuma seperti yang saya sebutkan di atas, apabila menjalankan permua atau menggunakan kamera peranti menjadi panas sehingga prestasi bateri menjunam ke sekitar 10-12 jam sahaja. Ini ialah situasi yang kurang ideal kerana peranti lain dengan Snapdragon 8 Elite tidak mempunyai isu yang sama.

Pengecasan semula mengambil masa 80 minit secara berwayar menggunakan kepada pengecas 45W. Pengecasan ke 50% mengambil masa sekitar 30 minit. Ini adalah kekurangan pada Pixel 10 Pro XL berbanding peranti mercu Vivo, Oppo dan Xiaomi yang boleh mengecas lebih pantas serta kapasiti bateri lebih besar.
AUDIO
Dua speaker stereo yang digunakan adalah sekadar memuaskan sahaja. Kamera Pixel mungkin mantap tapi prestasi speaker adalah sama sahaja dengan Pixel 9 Pro XL. Tidak begitu jelas apabila pada kelantangan maksimum dan audio tidak begitu seimbang. Untuk pengalaman audio terbaik anda masih perlu memadankan telefon dengan fon telinga.

DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Google Pixel 10 Pro XL
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

Kesimpulan
Google Pixel 10 Pro XL ialah telefon dengan sistem operasi Android 16 yang paling asli dengan pelbagai ciri AI yang menarik. Kemasan peranti adalah sangat premium dengan ia sangatlah selesa serta seimbang dalam tangan. Semua aplikasi lazim dapat dilancarkan dengan pantas dan tanpa isu. Prestasi kamera juga sangatlah baik dalam tangkapan gambar dan rakaman video. Jika Pixel 10 Pro XL diadili di dalam vakum, ia adalah peranti yang sangat baik untuk dibeli.

Tetapi seperti tahun lalu tidak boleh dinafikan Tensor G5 ialah pemproses kelas pertengahan untuk sebuah peranti mercu. Prestasinya adalah lebih rendah berbanding Snapdragon 8 Elite. Isu pemanasan juga berterusan sehingga menggunakan kamera dan menjalankan permua menjadikan peranti kurang selesa dipegang. Satu lagi isu ialah tidak semua ciri AI untuk Pixel tidak disokong di Malaysia.
Pada harga jualan bermula RM5999, ia setanding harga iPhone 17 Pro Max. Kelebihan Pixel hanyalah kamera dan beberapa ciri AI Android yang tiada pada iPhone. Pada ketika ini sukar untuk menyarankan Pixel 10 Pro XL kerana Oppo Find X9 Pro, Vivio X300 Pro, iQOO 15, Realme GT8 Pro, Redmi K90 Pro Max dan Xiaomi 17 Pro Max akan dilancarkan di Malaysia dengan cip lebih berkuasa dan harga yang pasti lebih kompetitif.
Pro
- Rekaan premium sangat selesa dalam genggaman.
- Perisian Android 16 paling asli.
- Kemampuan kamera Pixel bukan gimik.
- Sokongan perisian selama 7 tahun.
- Kalis air dan debu IP68.
- Ciri AI menarik tiada pada peranti lain setakat ini.
Kontra
- Harga agak mahal.
- Tensor G5 di tidak setanding cip mercu lain.
- Pengecasan hanya 45W yang adalah perlahan untuk peranti moden.
- Peranti mudah menjadi panas.






