Malaysia Oversight

Ulasan Apple Watch Series 11 – Mantap Namun Ada Kompromi

By Amanz in December 28, 2025 – Reading time 9 minute
Ulasan Apple Watch Series 11 – Mantap Namun Ada Kompromi


Saya bukanlah seorang pengguna yang setia kepada jenama sebaliknya saya mampu membiasakan diri dengan pelbagai peranti daripada beberapa pengeluar yang semakin mendapat perhatian setiap tahun. Antara jenama kegemaran saya bagi peranti boleh pakai ialah Huawei kerana saya tidak perlu kerap mengecas jam tangan mereka. Bagaimanapun, peluang untuk mengulas jam tangan pintar terkini iaitu Watch Series 11 telah menimbulkan minat saya untuk mencubanya sendiri.

AW11 13

Ini kerana ramai pengguna sebelum ini menyatakan rasa kurang senang terhadap ketahanan baterinya yang didakwa perlu dicas dengan kerap. Justeru, saya tertarik untuk menilai sendiri sama ada perkara tersebut benar ataupun sebaliknya. Oleh itu, ulasan penuh saya mengenai Watch Series 11 akan merangkumi pengalaman penggunaan dari aspek rekaan, prestasi serta ketahanan bateri sepanjang tempoh pemakaian.


SPESIFIKASI

Skrin 1.96″ LTPO3 OLED sudut-lebar 416 x 496 (2000 nits) Muka jam mod malam Always-On Retina
Pemproses S10 SiP 64‑bit dwi-teras 4-teras Enjin Neural
Memori/Storan 164GB Storan
Sistem Operasi WatchOS 26
Perlindungan Tahan air sehingga 50m Perlindungan debu IP6X
Sensor Sensor elektrik jantung Sensor jantung optik gen-3 Sensor suhu Sensor oksigen darah Altimeter sentiasa-aktif Giroskop julat dinamik tinggi Sensor cahaya ambien Sensor suhu air
Lain-Lain L1 GPS, GLONASS, Galileo, QZSS, BeiDou LTE & UMTS Wi-Fi 4 (802.11n) Bluetooth 5.3
Keselamatan SOS Kecemasan Pengesan kemalangan Pengesan jatuh Pemantauan hingar Jejak balik
Bateri Pengecasan pantas 80% cas – 30 minit
Bahan Binaan Aluminium & Logam
Harga Bermula RM1,799

Pengalaman Penggunaan

Pengalaman saya menggunakan Apple Watch Series 11 memberikan kesan positif khususnya dari segi rekaan. Walaupun ada yang berpendapat tiada perubahan besar berbanding generasi sebelum, jam tangan pintar ini tetap mengekalkan aura premium dalam kelasnya. Rekaannya yang ringkas menjadi kelebihan kepada pengguna yang menggemari konsep minimalis manakala binaannya yang kukuh pula menjadikan penawarannya seimbang serta menarik untuk dipakai dalam pelbagai keadaan.

AW11 1

Apple Watch Series 11 secara keseluruhannya masih mengekalkan rekaan yang hampir sama dengan Series 10, termasuk dimensi dan berat yang serupa. Hal ini menunjukkan bahawa Apple memilih untuk mengekalkan identiti reka bentuk sedia ada yang sudah dikenali tanpa melakukan perubahan besar dari segi fizikal.

Siri sebelumnya telah memperkenalkan perubahan ketara dari segi rekaan, iaitu bentuk yang lebih nipis serta paparan yang lebih luas. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa perubahan sebegitu mungkin tidak akan berlaku lagi dalam masa terdekat kerana Apple kini lebih cenderung mengekalkan konsistensi reka bentuk berbanding melakukan rombakan besar.

AW11 2

Bahagian kerangka jam tangan ini hadir dengan bentuk segi empat tepat yang sedikit membulat pada setiap sudut, manakala kemasan logam di sekeliling bingkai memberikan kontra menarik dengan skrin berkilat yang besar. Apple Watch Series 11 hanya mempunyai dua kawalan fizikal iaitu Digital Crown dan sebuah butang kecil yang terletak di bahagian kanan.

AW11 3

Keseluruhan rekaannya kelihatan kemas serta minimalis, sekali gus menjadikannya mudah digunakan dan sedap dipandang. Hakikatnya, reka bentuk ini tidak banyak berubah sejak tahun lalu, malah sejak model pertama diperkenalkan pada tahun 2015. Bagaimanapun, hal tersebut tidak menjadi isu besar kecuali bagi pengguna yang benar-benar menginginkan kelainan drastik sebagai aksesori fesyen baharu.

Dari aspek ketahanan, Apple Watch Series 11 menggunakan skrin OLED LTPO dengan kaca pelindung yang menurut Apple dua kali lebih tahan calar berbanding generasi sebelumnya. Saya menyambut baik penawaran ini kerana ia memberikan keyakinan tambahan ketika digunakan setiap hari. Selain itu, Series 11 turut menerima penarafan WR 50M bagi ketahanan terhadap air dan debu sekali gus menjadikannya lebih praktikal untuk kegunaan harian.

AW11 4

Walaupun begitu, saya tetap berhati-hati ketika menggunakannya kerana pengalaman seorang kenalan yang mendapati skrin jamnya tercalar akibat terlanggar dinding secara tidak sengaja telah menimbulkan rasa waspada. Lebih-lebih lagi, unit yang saya gunakan hanyalah pinjaman untuk tujuan ulasan, maka saya perlu menjaga penggunaannya dengan lebih teliti.

AW11 15

Saiz 46mm yang saya gunakan terasa cukup sesuai pada pergelangan tangan kerana tidak terlalu kecil dan tidak pula terlalu besar. Sepanjang tempoh ulasan ini, saya memilih tali silikon yang bukan sahaja selesa dipakai malah langsung tidak menyebabkan kegatalan pada kulit. Namun begitu, timbul sedikit kebimbangan sama ada tali ini mampu bertahan untuk jangka masa panjang termasuk dari segi ketahanan warna yang mungkin pudar akibat kekotoran yang melekat. Selain itu, pilihan ‘sport band’ turut disediakan namun saya tidak mempertimbangkannya kerana ia mudah menyebabkan peluh terkumpul dan berisiko menimbulkan bau yang kurang menyenangkan.

AW11 11

Walaupun reka bentuk keseluruhan tidak banyak berubah, pengalaman saya menggunakan Apple Watch Series 11 jelas memperlihatkan kelebihan paparan yang menonjol. Skrinnya hadir dengan kecerahan sehingga 2000 nits sekali gus menjadikannya mudah dilihat dalam pelbagai keadaan cuaca, sama ada di bawah cahaya matahari terik mahupun dalam persekitaran yang lebih gelap. Sudut skrin yang dibulatkan pula memudahkan penyesuaian dengan kerangka jam serta memanfaatkan ruang yang ada dengan lebih baik. Bagi saya, paparan ini bukan sahaja menarik malah menjadi elemen paling dominan dalam keseluruhan rekaan.

AW11 14

Tambahan pula, fungsi Always-on display benar-benar memberi nilai tambah kepada pengalaman harian saya. Ia membolehkan saya melihat masa dan maklumat penting tanpa perlu mengaktifkan skrin secara manual, sesuatu yang amat berguna ketika bersenam khususnya sewaktu berlari di atas treadmill ataupun ketika berjalan santai di taman. Selain itu, setiap muka jam turut direka dengan versi paparan malap yang menggunakan elemen animasi minimum. Meskipun begitu, saya mendapati ada sesetengah muka jam yang lebih berjaya mencapai keseimbangan ini berbanding yang lain sekali gus menjadikan pilihan muka jam satu aspek yang menarik untuk dicuba.


Prestasi Dan Perisian – WatchOS26

Dikuasakan oleh cip S10 yang sama seperti pendahulunya, Apple Watch Series 11 mampu memberikan prestasi yang konsisten serta lancar. Hal ini digabungkan dengan perisian WatchOS 26 yang menjadikan pengalaman penggunaan lebih pintar dan menyeluruh. WatchOS 26 turut memperkenalkan ciri Apple Intelligence yang membawa keupayaan baharu ke pergelangan tangan termasuk jurulatih kecergasan berasaskan AI, terjemahan masa nyata, genmoji serta pengendalian panggilan yang lebih bijak.

AW11 6

Pengalaman saya menggunakannya terasa seakan menggunakan khususnya dengan rekaan Liquid Glass yang diperbaharui. Antara ciri yang paling menarik perhatian saya ialah aplikasi Messages yang kini tampil lebih pintar hasil daripada pembelajaran mesin pada peranti. Ia berupaya mencadangkan tindakan berdasarkan konteks mesej termasuk menyediakan beberapa cadangan teks sekali gus memudahkan komunikasi harian.

Selain itu, Smart Stack turut belajar daripada rutin harian saya. Misalnya, jika saya biasanya berjalan kaki menuju ke pejabat selepas memandu, kad berkaitan akan dipaparkan secara automatik sebaik sahaja saya tiba. Dalam satu situasi apabila saya sedang mendengar Spotify di komputer riba, ia akan memaparkan kad Shazam untuk membantu saya mengenal pasti lagu semasa. Smart Stack ini juga berfungsi seakan kerana turut memberikan cadangan imej serta kandungan yang relevan mengikut keperluan semasa sekali gus menjadikan pengalaman penggunaan lebih praktikal.

AW11 5

Saya juga mendapati fungsi Wrist Flick amat berguna kerana membolehkan saya menghentikan atau menutup sebarang ciri dengan pantas, sama ada panggilan, notifikasi dan sebagainya hanya dengan satu gerakan tangan. Selain itu, fungsi tap Fingers Two turut membantu saya memeriksa butiran atau menggunakannya untuk beberapa tujuan tanpa perlu menyentuh skrin secara langsung. Sistem bunyi untuk panggilan masuk, notifikasi dan siri pula akan dilaraskan secara automatik mengikut tahap bunyi persekitaran sekali gus menjadikan pengalaman penggunaan lebih selesa dalam pelbagai situasi.

Selain itu, hasil pemerhatian saya terhadap Apple Watch Series 11 mendapati ia masih mengekalkan ciri pemantauan kesihatan dan kecergasan yang menyeluruh daripada model tahun lalu namun dengan beberapa penambahan penting yang menjadikannya lebih lengkap. Saya tidak menggunakan jam ini untuk aktiviti mencabar seperti larian, berbasikal atau berenang. Sebaliknya, ia digunakan sepenuhnya bagi memantau sebahagian besar aktiviti harian biasa seperti kiraan langkah, degupan jantung dan pola waktu tidur. Hasilnya, sensor yang disertakan berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah dalam menjejak data malah sering menghantar peringatan untuk kekal aktif sepanjang hari.

AW11 12

Ciri yang paling saya gemari setakat ini ialah Sleep Score kerana membolehkan saya menilai kualiti tidur harian serta memahami corak tidur untuk tujuan penambahbaikan. Malah, baru-baru ini saya berjaya mencapai skor tidur sehingga 100% di mana sesuatu yang memberikan kepuasan tersendiri dan sekali gus menjadi motivasi untuk mengekalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Saya turut memuji kebolehan jam tangan ini dalam memantau kesihatan dan kecergasan sepanjang hari. Sebahagian besar aktiviti harian biasa, termasuk kiraan langkah berjalan, berfungsi dengan baik dengan bacaan data yang hampir tepat serta hanya menunjukkan perbezaan kecil berbanding kiraan sebenar. Boleh dikatakan hampir tepat, fungsi GPS juga beroperasi dengan baik kerana tidak seperti beberapa jam tangan lain yang pernah saya cuba, ia tidak mengambil masa terlalu lama untuk mengunci isyarat.

Selain itu, saya turut menguji fungsi pengesanan elektrokardiogram (ECG) pada jam tangan ini. Fungsi tersebut boleh diaktifkan melalui butang di sebelah kanan dengan meletakkan jari selama 30 saat untuk mendapatkan bacaan. Selepas itu, data berkenaan dapat disemak melalui aplikasi yang turut memaparkan graf bacaan bagi tujuan menganalisis perubahan aktiviti elektrik pada jantung.

AW11 8

Pengalaman mencuba fungsi ECG ini juga mudah tanpa menimbulkan sebarang kesulitan, dan bacaan yang diperoleh kebanyakannya menunjukkan sinus rhythm iaitu keadaan apabila ruang atas dan bawah jantung berdegup secara seiring. Menurut Apple, bacaan purata saya berada dalam lingkungan 72–79 BPM sekali gus menunjukkan corak degupan jantung yang konsisten.

Namun begitu, bacaan SpO₂ didapati kurang konsisten kerana saya sering menghadapi kesukaran mendapatkan hasil walaupun kedudukan tali jam telah dibetulkan. Masalah ini kerap berlaku dan menimbulkan sedikit ralat kerana bacaan oksigen dalam darah sepatutnya menjadi ciri penting dalam pemantauan kesihatan. Selain itu, terdapat juga fungsi balasan mesej melalui aplikasi WhatsApp. Dengan adanya papan kekunci terbina, saya boleh membalas mesej seolah-olah menggunakan telefon pintar sekali gus menjadikan pengalaman komunikasi lebih mudah.

Cuma saiz papan kekunci agak kecil dan kurang sesuai untuk jari saya yang besar. Pun begitu, mesej yang diterima masuk tanpa sebarang kelengahan, berfungsi dengan baik serta memberi pengalaman yang mantap. Tambahan pula, fungsi haptik yang disertakan terasa berkualiti dan tidak seperti jam tangan pintar lain yang kadangkala menimbulkan rasa murahan.

Secara keseluruhannya, saya boleh memuji kebolehan jam tangan ini dari aspek prestasi dan rekaan. Namun begitu, terdapat satu perkara yang perlu dikompromi. Teruskan ke perenggan seterusnya untuk mengetahui lebih lanjut.


Bateri Dan Pengecasan

Prestasi bateri Apple Watch Series 11 merupakan aspek yang memerlukan sedikit kompromi. Apple mendakwa jam tangan ini mampu bertahan sehingga 24 jam dengan sekali cas penuh, dan pengalaman saya sendiri membuktikan bahawa dakwaan tersebut benar kerana ia sememangnya boleh digunakan sepanjang hari. Namun begitu, saya tetap perlu mengecasnya dengan kerap, dan bagi pengguna seperti saya yang kurang rajin untuk mengecas setiap hari, keadaan ini boleh menimbulkan sedikit rasa kurang selesa.

AW11 10

Ada kalanya saya membiarkan jam tangan ini kehabisan bateri selama beberapa hari kerana tidak sempat mengecas walaupun masih mahu menggunakannya. Situasi ini berbeza dengan pengalaman saya menggunakan beberapa jam tangan pintar daripada jenama lain yang mampu bertahan lebih lama tanpa perlu dicas setiap hari. Saya faham bahawa perbezaan ini mungkin berpunca daripada sokongan aplikasi yang boleh dimuat turun pada Apple Watch sedangkan kebanyakan jam tangan pintar jenama lain tidak menawarkan fungsi tersebut.

Justeru walaupun ketahanan baterinya tidak begitu lama, ia merupakan kompromi yang perlu diterima kerana Apple Watch Series 11 menawarkan ekosistem aplikasi yang lebih meluas serta pengalaman penggunaan yang lebih menyeluruh.


Dalam Kotak

Berikut ialah kandungan dalam kotak dengan setiap pembelian Apple Watch Series 11.

  1. Satu set Apple Watch Series 11.
  2. Satu set tali jam.
  3. Pengecas nirwayar Apple Watch 1 meter kepala USB-C.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Apple Watch Series 11 boleh dianggap sebagai peningkatan sederhana berbanding Series 10 kerana ia mengekalkan banyak ciri yang sama dengan hanya beberapa penambahbaikan kecil.

Apple Watch Series 11 All

Justeru bagi pengguna yang sudah memiliki Series 10, peningkatan ini mungkin tidak begitu diperlukan memandangkan perbezaannya tidak terlalu ketara. Namun begitu, bagi mereka yang baru pertama kali ingin mencuba Apple Watch seperti saya atau pengguna yang datang daripada model lebih lama, Series 11 merupakan pilihan yang tepat kerana ia menawarkan prestasi yang konsisten serta sokongan aplikasi yang menyeluruh.

Secara keseluruhannya, jam tangan ini lebih sesuai untuk pengguna baharu atau mereka yang mahukan pengalaman ekosistem Apple yang lengkap. Manakala bagi pemilik Series 10, peningkatan ini boleh dipertimbangkan sama ada benar-benar berbaloi untuk memenuhi keperluan harian mereka.

Apple Watch Series 11 42mm dijual pada harga bermula RM 1799 di Malaysia dan Apple Watch Series 11 46mm pula bermula RM 1949.


Kelebihan

  • Rekaan premium.
  • Prestasi konsisten untuk fungsi harian.
  • Ekosistem aplikasi yang luas.
  • Ciri kesihatan lengkap (ECG, SpO₂, langkah, jantung, tidur).
  • Smart Stack pintar dengan cadangan relevan.
  • Balasan mesej WhatsApp melalui papan kekunci terbina.

Kekurangan

  • Bateri sederhana hanya sekitar 24 jam.
  • Peningkatan sederhana yang hampir sama dengan Series 10.
Skor Apple Watch Series 11



Source link