Ubisoft Distruktur Semula – Enam Permainan Termasuk PoP The Sands of Time Remake Dibatalkan
Effi Saharudin
Ubisoft kini menjalankan proses penstrukturan semula yang melihat dua studio ditutup, permainan dibahagikan kepada kumpulan tertentu, tujuh permainan ditangguh dan enam permainan yang sedang dibangunkan dibatalkan secara serta merta. Penstrukturan ini diumumkan semasa laporan kewangan syarikat dilakukan awal pagi tadi.
Pertama sekali Ubisoft Stockholm yang terlibat dengan pembangunan Avatar: Frontiers of Pandora, ditutup bersama dengan Ubisoft Halifax yang terlibat dengan pembangunan permua. Pengurangan tenaga kerja pula dilakukan di Ubisoft Abu Dhabi, Ubisoft RedLynx dan Massive yang membangunkan siri permainan The Division.

Enam permainan dibatalkan dengan hanya Prince of Persia The Sands of Time Remake sahaja telah disahkan setakat ini. Bagi lima lagi permainan terdiri daripada IP baharu dan satu permua. Pembatalan dilakukan selepas semua projek dilihat semula hujung tahun lalu. Tumpuan Ubisoft selepas ini ialah membangunkan permainan dunia terbuka seperti Assassin’ Creed dan permainan perkhidmatan langsung seperti The Division.
Tujuh permainan ditangguhkan pelancarannya bagi memastikan ia melepasi piawaian kualiti dan memaksimumkan pendapatan jangkan panjang syarikat. Walaupun nama permainan tidak diumumkan, salah satu daripadanya mungkin Assassin’s Creed IV: Black Flag Resync yang kewujudannya telah tertiris sejak tahun lalu.
Akhir sekali studio-studio di bawah Ubisoft dibahagikan kepada lima kumpulan Creative House (CH) baharu dengan masing-masing akan mengeluarkan permainan dalam genre tertentu sahaja. Creative House baharu adalah seperti di bawah.
- CH1 (Vantage Studios) – Memegang IP Ubisoft yang terbesar dan menguntungkan seperti Assassin’s Creed, Far Cry dan Rainbow Six.
- CH2 – Permainan tembak menembak kompetitif The Division, Ghost Recon dan Splinter Cell
- CH3 – Permainan langsung seperti For Honor, The Crew, Riders Republic, Brawlhalla dan Skull & Bones
- CH4 – Permainan dunia fantasi dan naratif seperti Anno, Might & Magic, Rayman, Prince of Persia, dan Beyond Good & Evil.
- CH5 – Permainan kasual yang memfokuskan keluarga seperti Just Dance, Idle Miner Tycoon, Ketchapp, Hungry Shark, Invincible: Guarding the Globe, Uno dan Hasbro






