Ubat Melawan Obesiti Wegovy Kini Ditawarkan Dalam Bentuk Pil
Effi Saharudin
Ozempic dan Wegovy adalah dua ubat melawan obesiti yang terbukti berkesan mengurangkan berat badan penggunanya. Walaupun ubat berasaskan GLP-1 ini pada asalnya dibangunkan untuk pesakit diabetes, ia turut memberikan impak positif mengurangkan nafsu makan, mengurangkan rasa lapar dan boleh digunakan untuk melawan ketagihan.
Selepas bertahun menawarkan Wegovy dalam bentuk suntikan, Novo Nordisk mengumumkan mereka menerima kebenaran FDA untuk menawarkannya dalam bentuk pil di Amerika Syarikat bermula 2026. Pil dengan dos 1.5 mg ini perlu diambil sekali sehari.

Dalam ujian klinikal yang disertai 300 peserta, pengambil pil secara purata berjaya menghilangkan 16.6% berat badan dalam tempoh 6 minggu. Keberkesanannya sama dengan Wegovy dengan dos 2.4 mg dalam bentuk suntikan. Kesan sampingan versi pil masih lagi sama seperti versi suntikan iaitu rasa loya, cirit birit, muntah dan sembelit.
Kelebihan Wegovy versi pil ialah ia tidak memerlukan suntikan dan boleh disimpan tanpa perlu disejuk beku. Di Amerika Syarikat, bekalan Wegovy dalam bentuk pil dijual pada harga $149 (~RM 604) untuk bekalan selama sebulan.






