Trump Mengatakan Telah Menemui Pembeli Sesuai Untuk TikTok – Memerlukan Kelulusan China
June 30, 2025
•
Aman
Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat melalui sebuah temuramah hari ini, mengatakan telah menemui pembeli yang sesuai untuk aplikasi TikTok. Walaupun tidak nyatakan siapa, Donald Trump mengatakan ia adalah sekumpulan “orang kaya”, dan dijangka diumumkan dalam dua minggu lagi.
Walaubagaimanapun, perkara ini masih memerlukan kelulusan pihak China.
Sebelum ini, Amerika Syarikat telah memaksa TikTok menjual operasi mereka di negara berkenaan, kerana bimbang data peribadi pengguna disalah guna. Walaupun Bytedance dan TikTok telah berkali mengatakan pelayan adalah diluar China, dan ia beroperasi bebas tanpa campur tangan China, pihak Amerika Syarikat masih menekan untuk menjualnya.
Sebuah perundangan khas turut diluluskan di negara tersebut yang memaksa TikTok menjual operasi atau berhenti beroperasi di negara tersebut. Namun, Donald Trump telah menangguhkan penguat-kuasannya sebanyak tiga kali, dengan tarikh terbaru yang ditetapkan untuk semua urusan diselesaikan adalah menjelang 17 September 2025.
Sehingga kini, pihak ByteDance mahupun kerajaan China tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan hal ini. Ia tidak diketahui lagi sama ada China akan bersetuju untuk menjual operasi TikTok di Amerika Syarikat.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.