TikTok Perkenalkan Cara Baharu Untuk Berkongsi Kandungan Bersama Kenalan
Amy Maizuraa
TikTok memperkenalkan cara baharu untuk pengguna berkongsi kandungan bersama kenalan.

Melalui Shared Collection, pengguna boleh menyusun serta menyimpan kandungan TikTok dalam satu tempat bersama kenalan. Selain itu, mereka boleh menukar nama koleksi dan menambah kandungan pilihan. Seterusnya, ia boleh ditetapkan sama ada kekal peribadi atau dikongsi dengan komuniti TikTok.
Syaratnya mudah iaitu kedua-dua pihak perlu saling mengikuti. Selepas itu, seseorang boleh memulakan koleksi bersama, menukar nama koleksi serta menambah kandungan pilihan. Ciri ini kini tersedia secara global untuk akaun berusia 16 tahun ke atas.

Selain itu, TikTok turut memperkenalkan Shared Feed yang membolehkan pengguna menikmati kandungan bersama kenalan melalui suapan minat yang dikongsi dalam mesej peribadi. Setiap hari, pengguna akan menerima 15 video yang dipilih khas berdasarkan minat mereka.
Video tersebut boleh ditonton, dikomen dan disukai malah pengguna juga berpeluang melihat sejarah tanda suka (like) bersama. Shared Feed akan dilancarkan secara global dalam beberapa bulan akan datang sekali gus menjadikan pengalaman berkongsi kandungan di TikTok lebih menyeronokkan.






