Tiada Bukti Penyeludupan Cip Dikesan Setakat Ini – MITI
July 16, 2025
•
Amy Maizuraa
Dakwaan berhubung penyeludupan cip kecerdasan buatan (AI) masih belum dapat dibuktikan setakat ini menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Terdahulu, MITI mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap laporan melibatkan sebuah syarikat berpangkalan di China yang beroperasi di Malaysia. Syarikat tersebut dilaporkan menggunakan pelayan yang dilengkapi cip NVIDIA bagi tujuan pembangunan AI sekaligus mencetuskan kebimbangan terhadap potensi penyalahgunaan teknologi.
Siasatan lanjut sedang dilaksanakan melalui kerjasama antara MITI dan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Libat urus juga telah diadakan bersama kerajaan Amerika Syarikat dan syarikat teknologi utama bagi mengukuhkan kerjasama menangani isu ini.

Lonjakan permintaan terhadap cip AI di Malaysia dikenal pasti sebagai antara punca kebimbangan global. Perkembangan pesat sektor pusat data telah meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap teknologi serantau sekaligus menarik perhatian antarabangsa berhubung potensi pemindahan cip berteknologi tinggi secara tidak sah.
Susulan itu, pada 14 Julai lalu, MITI telah mengambil tindakan proaktif dengan mengenakan kawalan eksport serta-merta terhadap pergerakan cip AI berprestasi tinggi dari Amerika Syarikat. Langkah ini dibuat di bawah peruntukan ‘Catch-All Control’ selari dengan Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010).

Tengku Zafrul menegaskan, kawalan tersebut bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan teknologi serta memastikan Malaysia kekal mematuhi piawaian antarabangsa. Penyenaraian cip AI dalam Senarai Item Strategik (SIL) kini sedang dikaji semula bagi mengenakan kawal selia yang lebih ketat.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan komited mengekalkan persekitaran perdagangan yang telus untuk semua rakan kongsi dan pelabur. Langkah pencegahan terhadap penyalahgunaan teknologi serta usaha mengelakkan sekatan sekunder yang boleh menjejaskan pertumbuhan industri dan ekonomi negara turut menjadi keutamaan MITI ketika ini.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.