Temubual Timbalan Presiden Realme Chase Xu Mengenai Pokemon, Masa Depan dan Identiti Syarikat
Effi Saharudin
Semasa pelancaran Realme 15 Game of Thrones Limited Edition di Ireland Utara minggu ini saya sempat melakukan temubual bersama timbalan presiden Realme, Chase Xu. Dalam sesi yang turut dihadiri media Asia Tenggara, beberapa soalan sempat dilontarkan sebelum dijawab oleh beliau.

Soalan – Mengapa siri edisi terhad ini menggunakan peranti kelas pertengahan dan bukannya peranti mercu? Kenapa siri nombor dan bukan GT digunakan? Secara lazimnya edisi terhad adalah untuk produk yang premium.
Jawapan – Semua orang tahu bahawa kami melakukan kerjasama dengan Austin Martin pada satu ketika. Itu adalah kerjasama yang sangat mewah dan premium. Malah, kami mempunyai kerjasama dengan mereka untuk tempoh tiga tahun akan datang, jadi. Kami mahu pasukan F1. Pasukan Aston Martin F1 boleh menggabungkan semangat mereka tentang kelajuan serta kuasa dengan siri Realme GT.
Saya fikir pilihan yang baik untuk kami dan untuk Realme siri nombor. Malah, kami mempunyai ramai pengguna di seluruh dunia dalam segmen harga pertengahan hingga mercu. Untuk siri nombor, kami mendapati bahawa dalam segmen harga ini pengguna kami adalah terdiri daripada golongan muda.
Mereka menikmati hidup mereka. Mereka suka menonton rancangan TV dan mereka sangat menyukai kehidupan untuk bergembira. Salah satu perkara yang menarik, jadi kami memutuskan untuk melakukan kerjasama dengan IP seperti, rancangan TV, permainan video dan filem untuk siri nombor. Ini menjadikannya jenama lebih menarik, jadi itu adalah strategi yang berbeza untuk kami (berbanding siri GT).
Jadi di masa hadapan, setiap tahun kami boleh mengadakan kerjasama IP dengan siri nombor untuk menjadikan siri ini lebih menarik dan lebih menyeronokkan.

Soalan – Kita sudah melihat peranti edisi terhad Game of Thrones, Coca Cola, Naruto dan Dragon Ball Z. Kesemua jenama atau produk ini boleh dikatakan sudah berusia. GoT misalnya tamat 6 tahun lalu. Jadi bagaimanakah Realme memilih apakah IP yang akan ditawarkan seterusnya dalam bentuk peranti edisi terhad?
Jawapan – Kami memilih IP bukan kerana ia yang sedang trending tetapi kerana ia yang dimahukan oleh pengguna. Semua IP yang disebutkan tadi mungkin sudah lama tetapi masih mempunyai ramai peminat sehingga ke hari ini. Pertama sekali ia perlu dikenali di peringkat global dan popular dalam kalangan orang muda kerana Realme ialah pengeluar peranti yang menyasarkan golongan ini. Kami sebenarnya sudahpun memilih apakah peranti edisi terhad yang seterusnya dengan rekaan akhir sudah ditetapkan.
Soalan – Adakah yang seterusnya Pokemon?
Jawapan – Kami tidak boleh berkongsi dengan anda mengenai peranti seterusnya pada waktu ini. Tetapi yang pasti saya sendiri meminati Pokemon dan mahu menghasilkan peranti edisi terhad namun Nintendo terkenal dengan memilih dengan siapa mereka melakukan kerjasama.

Soalan – Tahun ini Realme menunjukkan prototaip bateri 15,000 mAh dan penyejukan seakan penyaman udara. Bilakah pengguna akan dapat membeli peranti dengan bateri kapasiti besar ini?
Jawapan – Ya kesemua peranti prototaip dengan 10,000 mAh dan 15,000 mAh adalah sekadar konsep menunjukkan ia mampu dihasilkan. Tetapi kami tidak mahu bateri besar ini menjadi satu-satunya ciri menarik pada peranti. Kami akan memastikan ia menawarkan lebih daripada itu supaya bateri besar dapat digunakan dengan sebaik-baiknya. Mengenai bila? Ia pasti akan dilancarkan pada tahun 2026 tetapi kami tidak boleh mendedahkan peranti siri mana yang akan menerimanya. Sila tunggu pelancarannya nanti.

Soalan – Di Snapdragon Summit, saya melihat banyak demo AI dijalankan terus daripada peranti (on device). Adakah Realme berminat menawarkan ciri AI terus daripada peranti yang lebih pantas serta tidak memerlukan sambungan internet seperti sistem yang digunakan sekarang?
Jawapan – Implementasi AI terus daripada peranti memang ada dalam perancangan. Tetapi kami menyedari terdapat had ataupun kekangan pada NPU yang terbina pada cip. Pada peranti siri nombor misalnya, AI akan terus dijalankan menggunakan sistem awanan disebabkan oleh isu ini. Pada peranti mercu seperti GT 8 Pro kelak yang dilengkapi Snapdragon 8 Elite Gen 5, kami bercadang membawakan ciri seperti menghasilkan bingkai lebih tinggi dalam permua dan meningkatkan resolusi grafik menggunakan AI kerana NPU yang digunakan cukup berkuasa.
Soalan – Akhir sekali saya ingin bertanya pada pendapat anda, apakah menjadikan sebuah peranti Realme sebuah peranti Realme. Sebagai contoh peranti Apple sekarang ialah yang menggunakan Liquid Glass. Peranti Xiaomi pula ialah yang menyokong kesemua ekosistem peranti pintar, EV dan peranti berhubung mereka.
Jawapan – Jika dilihat pada misi awal penubuhan Realme ialah untuk menawarkan pilihan peranti yang baik mampu milik untuk golongan muda tetapi masih lagi hebat. Realme kini sudah berusia 7 tahun dan misi masih tidak berubah cuma pengguna kini yang sudah berubah sedikit. Menawarkan peranti pada harga mampu milik sahaja kini sudah tidak lagi mencukupi. Oleh itu pertama sekali kami sentiasa mendengar pendapat daripada pengguna. Kedua ialah tumpuan kepada kemampuan kamera dan ketiga pastinya masih pada harga. Tiga perkara ini akan menjadi ciri-ciri utama sebuah peranti Realme.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






