Tempahan Awal Huawei FreeClip 2 Dibuka Dengan Deposit RM30
Amy Maizuraa
Peminat aksesori Huawei kini ditawarkan pilihan baharu melalui model FreeClip 2 iaitu fon telinga nirwayar dengan rekaan seakan subang. Model ini turut dilengkapi perkakasan dalaman yang dipertingkatkan bagi memberikan pengalaman pendengaran lebih imersif.

Laman rasmi menyenaraikan spesifikasi FreeClip 2 yang sebahagian besarnya sama seperti model di China. Fon telinga ini hadir dengan pod pengecas berbentuk segi empat berkemasan pusam manakala rekaannya masih mengekalkan gabungan Comfort Bean dan Acoustic Ball melalui C‑bridge Design. Namun, ia kini menggunakan bahan 25% lebih lembut bagi memberikan keselesaan berpanjangan.

Dari segi prestasi, ia disokong oleh NPU AI yang membolehkan fungsi baharu seperti Adaptive Volume menyesuaikan tahap audio secara automatik dan Adaptive Voice Enhancement bagi suara lebih jelas. Huawei turut menambah Gesture Swipe Control sebagai pelengkap kepada Nod Motion Head dan Gesture Tap Control untuk menjadikan kawalan lebih mudah.
Selain itu, FreeClip 2 hadir dengan penarafan IP57, bateri sehingga 38 jam serta pengesanan telinga automatik untuk meningkatkan kemudahan penggunaan. Bagi yang berminat, tempahan awal dibuka dengan deposit RM30 bersama tawaran menarik termasuk rebat RM50, peluang memenangi FreeClip 2 dan baucar rebat sehingga 15%.






