Tarif Amerika Ke Atas Malaysia Kekal 19% Tetapi Dengan Beberapa Pengecualian
Effi Saharudin
Amerika Syarikat dan Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan baharu dengan tarif import barangan Malaysia ke Amerika kekal pada kadar 19% dengan beberapa pengecualian dikenakan. Perjanjian ditandatangani Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan.
Tarif 19% masih lagi sama dengan kadar baharu yang diumumkan Trump pada bulan September lalu. Sebanyak 1,711 barangan buatan Malaysia yang dieksport kini akan dikenakan tarif yang lebih rendah. Produk-produk yang dinyatakan dalam Lampiran III kepada Perintah Eksekutif 14346 bertarikh 5 September 2025, Pelarasan Tarif Berpotensi untuk Rakan Kongsi Selaras pula akan dikenakan 0% tarif.

Antara yang menerima pelepasan sifar tarif ialah bahan kimia, produk farmaseutikal seperti ibuprofen, buah-buahan tropika termasuk durian, semikonduktor, kelengkapan aeroangkasa, barangan elektronik, kelapa sawit, getah, kayu-kayan dan banyak lagi. Pelepasan ini melibatkan eksport ke Amerika bernilai $5.2 bilion (~RM 21.9 bilion) yang bersamaan 12% eksport keseluruhan negara.
Malaysia pula menyatakan komitmen memberikan akses pasaran istimewa kepada barangan industri dan pertanian AS seperti kenderaan penumpang, ayam, produk tenusu, daging babi, keluli, makanan diproses dan mempermudahkan pendaftaran fasiliti serta pensijilan halal.
Di samping itu Malaysia turut tidak akan mengenakan cukai perkhidmatan digital yang mendiskriminasi syarikat A.S, memperkukuhkan perlindungan harta intelek, fasilitasi kastam dan menyokong pemindahan data rentas sempadan dan moratorium ke atas duti kastam untuk penghantaran elektronik.
Sebelum ini Malaysia telahpun mengesahkan perjanjian komersial pembelian 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group, import LNG sehingga bernilai $3.4 bilion, pembelian semikonduktor, dan peralatan pusat data bernilai $150 bilion.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






