Tandas Di Jepun Kini Boleh Menganalisa Tahi Bagi Tujuan Kesihatan
Effi Saharudin
Jepun ialah negara yang aneh kerana inovasi teknologi di negara ini sering lain daripada negara lain. Tahun lalu misalnya mesin basuh manusia ditawarkan bagi mereka yang malas mandi secara manual. Tahun ini, tandas dengan sistem yang menganalisa tahi pula dilancarkan bagi menjejak tahap kesihatan tubuh pengguna.

Tandas Neorest dibangunkan oleh syarikat Toto dengan ia mengimbas tahi menggunakan sensor LED. Ia akan mengukur bentuk, isipadu dan warna tahi sebelum mengelaskannya ke dalam 3 kategori berbeza. Maklumat akan kemudiannya dihantar ke telefon pintar dan aplikasi akan memberikan saranan diet berdasarkan analisa ke atas tahi. Contohnya ia akan memberikan saranan mengambil lebih banyak sayur dan serat.
Dengan ini pengguna akan dapat menjejak kesihatan tubuh secara aktif menerusi tinja yang biasanya dibuang begitu sahaja. Ini bukan teknologi imbasan bahan kumuh pertama memasuki pasaran. Tahun lalu Kohler melancarkan kamera mangkuk tandas Dekoda yang akan menganalisa bukan sahaja tahi tetapi juga air kencing untuk menjejak kesihatan tubuh pengguna.





