Di acara Malaysia Autoshow 2025 tiga bulan yang lepas, SUV terbaru Zeekr 7X telah pun diperlihatkan namun ia masih lagi menjadi tanda tanya sama ada model dari pasaran China itu akan masuk dengan spesifikasi yang sama ke pasaran Malaysia. Pada hari ini Zeekr 7X telah pun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia dengan tanda harga bermula RM179,800.


Dari segi luaran, Zeekr 7X ini boleh membuatkan mata anda memandang kepada rekaannya yang bergaya seperti lampu hadapan Zeekr Stargate Intergrated Smart Light Curtain namun ia juga mempunyai beberapa kekuatan sendiri berbanding kereta eletrik lain yang ada di pasaran sekarang. Seperti yang diperlihatkan di Malaysia Autoshow 2025 yang lalu, Zeekr 7X ini akan mempunyai tiga varian yang berbeza mengikut keperluan pengguna iaitu RWD Standard, RWD Long Range dan AWD Performance.

Untuk varian RWD Standard, ia menggunakan satu motor yang menghasilkan kuasa sebesar 310kW dan tork sehingga 440Nm. Bateri yang dimuatkan adalah sebesar 75kWh LFP yang memberikan jarak perjalanan sejauh 480km WLTP. Sementara itu, untuk varian RWD Long Range dan AWD Performance mempunyai spesifikasi bateri yang hampir serupa iaitu bateri sebesar 100kWh NCM dengan jarak perjalanan 615km WLTP untuk RWD Long Range dan 543km WLTP untuk AWD Performance. Kuasa yang dihasilkan oleh varian RWD Long Range adalah sama seperti varian RWD Standard. Varian AWD Performance yang menggunakan dua motor dibahagian depan dan belakang menghasilkan kuasa sebesar 475kW dan 710Nm untuk tork. Kuasa dan prestasi yang mengagumkan ini disebabkan penggunaan sistem voltan tinggi 800V.

Dari segi pengecasan, ketiga-tiga varian untuk Zeekr 7X ini menggunakan platform pengecasan DC 800V yang dapat memberikan kuasa pengecasan yang impresif. Untuk RWD Standard, ia dapat mengecas dari 10% ke 80% dalam 10.5 minit menggunakan pengecasan DC dengan kuasa 450kW manakala pengecasan AC dengan kuasa 22.5kW dapat mengecas 10% ke 100% dalam masa 4.5 jam Untuk varian RWD Long Range dan AWD Performance ia mempunyai kuasa pengecasan yang sama. Dengan pengecasan DC 420kW, ia hanya memakan 16 minit dari 10% ke 80%. Untuk pengecasan AC memakan masa sehingga 5.5 jam untuk mengecas dari 10% ke 100% dengan kuasa 22.5kW.


Dalaman Zeekr 7X ini juga boleh dikatakan agak mewah dan menarik. Ketiga-tiga varian mempunyai kluster pemandu bersaiz 13.02″ HD dan skrin di bahagian tengah bersaiz 16″ mini-LED dengan resolusi 3.5K. Apple CarPlay dan Android Auto juga turut tersedia untuk kesemua varian ini. Kesemua sistem di bahagian dalaman kereta ini dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8295. Dari segi sistem bunyi, varian Long Range dan Performance mempunyai 21 pembesar suara Zeekr Sound pro dengan sistem audio 7.1.4. RWD Standard dilengkapi dengan 10 pembesar suara Zeekr Sound.

Zeekr 7X dijual pada tanda harga RM179,000 untuk varian RWD Standard, RM190,000 untuk varian RWD Long Range dan AWD Performance pada tanda harga RM226,800. Zeekr turut memberikan waranti kenderaan untuk 5 tahun atau setelah 150,000km, waranti bateri untuk 8 tahun atau setelah 160,000km.Untuk promosi pelancaran ini, Zeekr akan memberikan pengecas dinding dengan kelajuan 22kW dan solar film untuk cermin secara percuma.