Spotify Menguji Prompted Playlist – Guna Prom Untuk Mencipta Senarai Lagu Yang Sesuai Untuk Anda
Nazrin
Spotify telah memperkenalkan sejumlah ciri-ciri baru pada tahun ini, seperti kemaskini kepada antaramuka dan pengenalan mod penstriman audio nirhilang untuk para pelanggan Spotify Premium.
Terkini, Spotify dilihat sedang menguji ciri AI baharu yang akan memerlukan input dari pengguna yang dinamakan Prompted Playlist. Ciri ini akan membenarkan para pelanggan Spotify Premium untuk memasukkan prom kedalam ruang prom Spotify untuk membolehkan aplikasi tersebut mencipta senarai lagu yang sesuai dengan permintaan anda.
Sebagai contoh, jika anda meminta Spotify untuk mencipta senarai lagu berdasarkan 100 lagu yang paling sering dimainkan sejak anda mula menggunakan Spotify, aplikasi tersebut akan mencari sejarah anda di aplikasi tersebut, dan akan mencipta senarai tersebut dalam masa yang singkat.

Anda juga boleh menggunakan pelbagai jenis prom, dan bukan sahaja anda boleh mencipta senarai lagu baru dengan lebih mudah, tetapi Spotify juga akan memberi anda contoh prom yang boleh digunakan untuk mencipta senarai lagu yang bersesuaian dengan kehendak anda.
Dalam pada itu, anda juga boleh meminta untuk senarai-senarai lagu ini dikemaskini setiap minggu untuk memberi anda lagu-lagu baru, menjadikannya sentiasa segar di telinga anda.
Ia dilaporkan bahawa ciri ini sedang diuji di negara New Zealand dan hanya menyokong prom dalam bahasa Inggeris sahaja buat masa ini.






