Malaysia Oversight

Spesis Baharu Tangkung Pari-Pari Ditemukan Di Selangor

By Amanz in December 4, 2025 – Reading time 1 minute
Spesis Baharu Tangkung Pari-Pari Ditemukan Di Selangor


Spesis baharu tanglung pari-pari (fairy lantern) yang diberi nama Thismia selangorensis telah ditemukan di Hutan Simpan Hulu Langat . Ia hanya setinggi 10 cm dengan ia mendapat namanya kerana kelihatan seperti tanglung serta mempunyai tiga antena halus.

Tanglung pari-pari ialah tumbuhan mycoheterotrophic tanpa klorofil yang tidak boleh melakukan proses fotosintesis untuk hidup dan bergantung sepenuhnya secara parasit dengan fungi tanah untuk mendapatkan nutrisi.

Thismia selangorensis Tanglung pari pari
Gambar oleh Gim Siew Tan (A–C) dan Mohd Faizal (D).

Walaupun baru sahaja ditemukan, Thismia selangorensis sudah dimasukkan ke dalam senarai merah tumbuhan yang terancam kritikal oleh IUCN kerana hanya sekitar 20 individu diketahui wujud dalam habitat semula jadi. Dianggarkan hanya terdapat empat Thismia selangorensis dalam kawasan seluas 1 km².

Penemuan dilakukan Tan Gim Siew pada November 2023 semasa melawat Taman Eko Rimba Sungai Chongkak dalam Hutan Simpan Hulu Langat. Habitat tanglung pari-pari ini ialah kawasan hutan lembap, berdaun reput dan berhampiran akar pokok besar di tepi sungai. Ini adalah antara sebab ia terancam kerana berhampiran kawasan rekreasi yang menyebabkan ia terdedah kepada bahaya dipijak oleh pengunjung serta banjir.

Tahun ini ialah tahun yang menarik dari sudut penemuan spesis baharu dan yang hilang di Malaysia. Pada Jun lalu kelip-elip bersayap bengkok Gombak (Pteroptyx gombakia) yang kali terakhir dilihat hidup pada tahun 1921 ditemukan semula oleh Tan Wei Jack, seorang pembantu penyelidik dan pelajar sarjana dalam sains alam sekitar di Monash University Malaysia.

Kertas kajian penemuan telah diterbitkan dalam jurnal Phytokeys.



Source link