Sony RX1R III Dilancarkan Dengan Tubuh Bersaiz Kompak Dan Sensor 61MP Bingkai Penuh
July 16, 2025
•
Amy Maizuraa
Sony secara rasminya melancarkan RX1R III iaitu kamera kompak premium dengan lensa tetap daripada siri RX1R. Ia dilengkapi sensor bingkai penuh 61MP Exmor R CMOS serta pemproses imej BIONZ XR dan unit AI yang membantu mengenal pasti subjek secara masa nyata dalam foto dan video.

RX1R III menggunakan lensa tetap ZEISS Sonnar T 35mm f/2 yang direka khas untuk padanan yang tepat dengan sensor 61MP. Hasilnya, gambar yang diambil lebih tajam dan terperinci. Sistem autofokus pula mempunyai 693 titik pengesanan fasa merangkumi 78% kawasan imej dan dilengkapi fungsi Real-Time Tracking yang membolehkan kamera mengesan dan menjejaki subjek secara automatik. Kamera ini juga menyokong rakaman video berkualiti tinggi sehingga 4K 30p (10-bit) dan FHD 120p, serta menawarkan tetapan warna tersuai untuk hasil visual yang lebih menarik.

RX1R III turut dilengkapi dengan beberapa ciri tambahan lain. Antaranya ialah mod Step Crop yang membolehkan pengguna menukar sudut pandang kepada 35mm, 50mm atau 70mm melalui butang khas, dan seterusnya melaraskan semula pemotongan imej dalam format RAW semasa proses penyuntingan. Kamera ini juga menyokong mod makro dengan pembesaran sehingga 0.26x sesuai untuk merakam objek kecil secara terperinci. Di samping itu, terdapat 12 tetapan “Creative Looks” terbina yang menyediakan pelbagai gaya warna untuk suntingan lebih kreatif terus daripada kamera.


Reka bentuk RX1R III menggunakan aloi magnesium yang ringan tetapi tahan lasak dengan susunan butang yang rata. Ia turut dilengkapi paparan elektronik EVF OLED beresolusi 2.36 juta-dot dan skrin sentuh LCD bersaiz 3.0 inci. Bateri jenis NP-FW50 disertakan bersama sokongan USB-C Power Delivery (PD membolehkan pengecasan pantas dan sambungan terus ke sumber kuasa luaran bagi penggunaan jangka panjang.
Sony RX1R III dijangka mula ditawarkan di pasaran Malaysia mulai September 2025. Harga rasmi bagi pasaran tempatan masih belum diumumkan pada waktu ini.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.