Lanjutan daripada perkongsian Menteri Komunikasi awal pagi ini, kini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan masalah platform X baru-baru ini. SKMM menyatakan kini mereka sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap X dan juga xAI.

Tindakan ini diambil disebabkan kegagalan kedua-dua syarikat berkenaan dalam memastikan keselamatan pengguna melibatkan penggunaan Grok. Seperti ramai sedia maklum, platform X membiarkan pengguna menjana dan memanipulasi gambar wanita dan kanak-kanak menggunakan sokongan kecerdasan buatan, termasuk dalam bentuk kandungan berbahaya, lucah, tidak senonoh, jelik melampau dan juga memanipulasi imej tanpa persetujuan.
SKMM menyatakan prosiding undang-undang akan dimulakan dalam masa terdekat ini.
SKMM mengatakan mereka kekal komited dalam terus menegakkan undang-undang Malaysia dan melindungi kepentingan rakyat Malaysia. Seperti biasa, semua platform digital perlu mematuhi undang-undang dan kawal selia tempatan.






