SK Hynix Mengatakan Isu Bekalan Cip Memori Pasaran Pengguna Akan Berterusan Sehingga 2028
Nazrin
SK Hynix ialah salah satu daripada dua syarikat cip semikonduktor gergasi yang akan terus membekalkan komponen memori untuk pelbagai sektor, termasuklah pengguna, setelah Micron baru-baru ini mengatakan bahawa mereka akan menghentikan pengeluaran komponen memori untuk Crucial pada tahun depan.
Ia dilaporkan bahawa SK Hynix baru-baru ini telah mengadakan mesyuarat tertutup dan mengatakan bahawa bekalan komponen memori DDR RAM untuk kumpulan pengguna akan menghadapi masalah bekalan rendah untuk jangka masa yang agak panjang, sekurang-kurangnya sehingga tahun 2028 kelak.
Jenis-jenis memori yang akan terkesan dengan ketandusan ini termasuklah memori DDR5/DDR4, GDDR6/GDDR7 dan LPDDR5x/LPDDR6, semuanya memori yang diperlukan untuk komputer desktop, komputer riba dan juga kad grafik.

Menariknya, SK Hynix juga dilaporkan mengatakan bahawa komponen memori seperti HBM dan SOCAMM, yang secara lazimnya digunakan pada komponen pemecut pemprosesan kelas pusat data dan kecerdasan buatan akan menerima kapasiti pengeluaran tambahan, dan tidak akan akan terkesan dengan isu bekalan yang terhad ini.
SK Hynix juga nampaknya akan memfokuskan kepada pengeluaran komponen untuk pusat data, khususnya kerana syarikat-syarikat AI kini sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk komponen-komponen ini berbanding dengan pasaran pengguna yang rata-rata memperlihatkan pulangan yang tidak setinggi apa yang ditawarkan syarikat pengeluar komponen pusat data.






