Sistem Sambungan Pantas AirPods dan Apple Watch Kini Boleh Digunakan Peranti Pengeluar Lain Di EU
Effi Saharudin
Apple akhirnya membenarkan aksesori keluaran pihak ketiga seperti fon telinga dan jam tangan pintar untuk menggunakan sistem sambungan mudah yang sebelum ini hanya dibuka kepada AirPods dan Apple Watch. Ini dilakukan menerusi kemas kini iOS 26.3 yang akan diberikan kelak tetapi ia hanya boleh digunakan pengguna yang tinggal di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Sistem “Proximity Pairing” akan membuka antara muka menambat fon telinga misalnya dengan hanya menekan satu butang di skrin iPhone atau iPad. Ini berbeza dengan sistem terdahulu yang memerlukan beberapa langkah tambahan dilalukan oleh pengguna.
Selain tambatan semudah AirPods dan Apple Watch, peranti pihak ketiga juga boleh memaparkan notifikasi daripada iPhone dengan lebih baik. Sistem ini dihalang sebelum ini dengan notifikasi biasanya akan tiba lewat atau langsung tidak dihantar.
Apple membuka ekosistem mereka kepada pihak ketiga bagi memenuhi keperluan Akta Pasaran Digital (DMA) yang mewajibkan ia dilakukan di EU tahun lalu sekiranya tidak mahu didenda. Menerusi DMA juga, Apple menawarkan stor aplikasi pihak ketiga di EU dan menggantikan port pengecasan daripada Lightning ke USB-C.






