Malaysia Oversight

Siri iPhone 16 – Masih Berbaloi Untuk Dibeli?

By Amanz in September 9, 2025 – Reading time 4 minute
Siri iPhone 16 – Masih Berbaloi Untuk Dibeli?


Awal pagi esok siri 17 akan dilancarkan secara rasmi membawakan perubahan besar pada rekaan dengan ura-ura ia akan turut hadir dengan perkakasan kamera lebih berkuasa serta sistem penyejukan yang baik untuk menjalankan permua tanpa isu pemanasan melampau.

10 Perkara iPhone 16 berbaloi

Saban tahun akan wujud persoalan “patut beli atau tidak model tahun lepas?” dan artikel in akan cuba menjawab persoalan ini dengan saya cuba terangkan Pro dan Kontra pembelian 16 selepas iPhone 17 dilancarkan.

1.Pro – Harga Lebih Mampu Milik

iPhone 16 iPhone 16 Pro Max Titanium Ultramarine Amanz tri phone

Harga jualan iPhone 16, 16 Pro dan 16 Pro Max pasti akan turun mendadak seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Stok lama akan cuba dilupuskan dengan cepat oleh pemilik kedai dan potongan sehingga RM1000 boleh dinikmati jika anda pantas serta bijak memilih. Saya sarankan anda membeli model dengan storan besar terus kerana ia akan bertahan lebih lama.

2.Pro – Cip A18 dan A18 Pro Masih Lagi Mantap

Apple A18 18 Pro

Cip A18 dan A18 Pro yang dilancarkan tahun lalu masih lagi di dalam kategori cip yang berkuasa. Boleh menjalankan permua seperti Genshin Impact, Honkai Star Rail, Death Stranding, Resident Evil 4 dan Assassin’s Creed Mirage pada tetapan yang memuaskan. Hanya di iOS permainan video kelas PC/konsol boleh dijalankan.

Spesifikasi iPhone 16 Pro dan iPhone 16 Pro Max juga masih memuaskan bagi melakukan tugasan memproses video. Peningkatan cip siri A dari tahun ke tahun adalah sekitar 15% sahaja. Jika anda tak perlukan yang terkini dan paling berkuasa, iPhone 16 masih berbaloi.

3.Pro – Kamera Masih Terbaik Untuk Video

iphone 16 Pro Max 48MP ultra lebar

Anda pasti menyedari ramai pempengaruh dan penghasil kandungan media sosial menggunakan iPhone. Ini bukan sekadar menujukan status tetapi sebab terbesarnya ialah kemampuan video iPhone masih yang terbaik. Siri iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max misalnya menyokong rakaman 4K ProRes terus ke SSD luaran menerusi sambungan USB-C. Tak perlu risau storan telefon habis kerana SSD boleh digunakan. Kemudian sambung SSD ke MacBook untuk suntingan pantas.

Kedengaran ura-ura kamera iPhone 17 Pro tahun ini adalah lebih besar dan mantap. Ini mungkin benar tetapi kamera siri iPhone 16 Pro masih terbaik antara peranti-peranti mercu lain di pasaran. Kalau anda bukan seorang pakar sekalipun, kamera iPhone 16 Pro akan memastikan gambar diambil cantik sementara video pula senonoh.

4. Pro – Bateri Tahan Lama

iphone Bateri Battery Logo

Bateri pada siri iPhone 16 adalah kecil jika dibandingkan dengan Android yang sudah mencecah 10,000 mAh. Kekangan faktor keselamatan dan garis panduan yang lebih ketat menyebabkan saiz bateri iPhone kekal kecil.

Sungguhpun begitu saya boleh katakan pada anda selepas setahun menggunakan iPhone 16 Pro Max, prestasi bateri 4685 mAh yang disertakan adalah setanding bateri 5000 mAh pada Samsung Galaxy S25 Ultra. Pengoptimasian bateri pada iPhone adalah lebih baik dan peranti boleh digunakan sepanjang hari tanpa isu.

5. Pro – Sokongan Perisian Mantap Akan Menerima iOS 26

26 Ciri Menarik Apple WWDC 2025

Siri iPhone 16 akan menerima sokongan kemas kini jangka panjang sehingga sekurang-kurangnya empat tahun lalu. Tak perlu risau kerana ia turut disahkan akan menerima iOS 26 yang hadir dengan pelbagai ciri baharu seperti antaramuka Liquid Glass, Siri dengan AI, Intelligence dipertingkat dan Live Translation. Kami yakin majoriti ciri perisian pada iPhone 17 akan diterima iPhone 16. Tak perlu beli telefon paling baharu untuk ciri-ciri baru dilancarkan.

6. Pro – Ada Butang Camera Control

Apple iPhone Camera Control

Siri iPhone 16 ialah yang pertama dilengkapi butang Camera Control untuk kawalan kamera. Awal pagi esok beberapa ciri baharu akan diperkenalkan pada iPhone 17 dengan integrasi butang yang sama. Maka ciri ini pastinya akan diterima juga pada siri iPhone 16. Anda tidak rasa akan keciciran ciri berbanding jika membeli siri iPhone 15 dan iPhone 14.

7. Kontra – Pengecasan Masih Perlahan 25W

iphone16e usb c

Walaupun bateri tahan lama, pengecasan semula siri iPhone 16 adalah perlahan iaitu purata 25W sahaja. Ini adalah lebih perlahan berbanding peranti kelas pertengahan Android yang secara purata kini menyokong pengecasan 80W. Kedengaran ura-ura siri iPhone 17 akan menyokong pengecasan 45W. Jadi jika beli model tahun lepas, anda perlu redha dengan pengecasan lebih perlahan.

8. Kontra – Rekaan Generasi Lama

iPhone 17 Pro

Gambar di atas didakwa ialah rekaan iPhone 17 Pro dan 17 Pro Max dengan rekaan baharu dengan bonggol besar sekata di belakang seakan Pixel 10 dan rekaan panel belakang yang mempunyai dua tona berbeza. Jika anda membeli siri iPhone 16, ada akan nampak jelas membeli “iPhone lama”.

Saya secara peribadi tak peduli dengan status membeli barangan lama tetapi saya tahu ada kumpulan subset kecil membeli iPhone 15 tahun lalu kerana ia masih mirip iPhone 16. Jika anda peduli dengan pendapat orang lain (yang anda seharusnya tak perlu peduli), tunggu sahaja iPhone 18 dan beli iPhone 17 tahun depan.


Senarai di atas adalah sekadar saranan peribadi. Saya merasakan membeli model tahun lepas ialah langkah lebih bijak kerana anda dapat melakukan penjimatan dan selepas setahun pelbagai isu awal sudahpun diselesaikan oleh pengeluar. Bergantung kepada pembaca untuk mementingkan penjimatan atau status memiliki yang paling baharu, termaju dan memerlukan IOU.



Source link