Siri Dikuasakan Google Gemini Akan Diperlihatkan Bulan Depan
Effi Saharudin
Ciri Siri yang lebih pintar menggunakan data peribadi yang diperlihatkan di WWDC 2024 akan akhirnya menjadi kenyataan bulan Februari ini. Ini adalah menurut laporan terkini Mark Gurman di Bloomberg semalam. Siri baharu yang dikuasakan oleh model asas Google Gemini akan akhirnya mampu mencari maklumat yang diperlukan berdasarkan data peribadi pengguna.

Pengenalan ciri ini pada bulan depan adalah sudah dijangka kerana Google mengumumkan ciri Personal Intelligence di Gemini yang boleh mengintegrasikan data peribadi di Gmail, YouTube, Search dan Photos hanya dua minggu lalu. Di Siri, ciri ini diiklankan pada siri iPhone 16 tetapi ditangguhkan kerana tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Apple dan iklannya telah dipadam di YouTube.
Selain Siri yang akhirnya lebih pintar, Apple turut diramalkan mengumumkan Siri yang berfungsi seperti chatbot Gemini dan ChatGPT di WWDC pada bulan Jun depan. Penaiktarafan pada kemampuan perbualan dijangka akan dilakukan supaya bercakap dengan Siri akan terasa lebih semula jadi selepas ini.






