Siri Cip Pemprosesan Intel Arrow Lake Refresh Dijangka Tiba Pada Bulan Mac Atau April Ini
Nazrin
Acara CES 2026 memperlihatkan penawaran cip pemprosesan komputer riba terbaru oleh Intel iaitu Core Ultra Series 3. Komputer riba dengan cip pemprosesan ini dilaporkan akan tiba ke pasaran-pasaran terpilih pada penghujung bulan ini.
Dalam pada itu, Intel juga akan melancarkan penawaran kemaskini kepada siri cip pemprosesan Arrow Lake mereka yang dinamakan Intel Arrow Lake Refresh yang terdiri daripada cip pemprosesan kelas desktop dan juga komputer riba.
Pada minggu lepas kami telah melaporkan bahawa butiran mengenai salah satu cip pemprosesan tersebut, iaitu Intel Core Ultra 9 290HX telah tertiris ke arena web, dan kini cip pemprosesan kelas desktop Intel Core Ultra 9 290K juga dilihat telah tertiris ke arena web.

Cip pemprosesan desktop tersebut memperlihatkan penggunaan 24 teras fizikal dengan 8 teras Performance dan 16 teras Efficiency, sama seperti apa yang diperlihatkan pada model komputer riba. Ia hadir dengan kelajuan asas 3.7GHz dan kelajuan Turbo Clock 5.8GHz.
Dari segi skor penanda-aras pula, ia mendapat 3456 untuk skor teras tunggal dan setinggi 24,610 untuk penanda-aras multi-teras. Skor ini memperlihatkan cip Arrow Lake Refresh hadir dengan prestasi 9 peratus lebih tinggi berbanding dengan cip pemprosesan Arrow Lake sebelumnya.
Sehingga kini, tiada maklumat yang diumumkan oleh Intel tentang bilakah siri cip pemprosesan ini akan mula ditawarkan, tetapi Golden Pig Upgrade mengatakan bahawa ia akan tiba di pasaran-pasaran tertentu seawal Mac ataupun April tahun ini.
Ujian-ujian penanda-aras yang dilakukan sekarang nampaknya sedikit sebanyak mengesahkan perkara ini, walaupun Intel tidak membuat sebarang pengumuman mengenainya sewaktu acara CES 2026. Mungkin ini adalah kerana mereka mahu memberi fokus kepada penawaran siri Intel Core Ultra 300, dan cip Arrow Lake Refresh adalah lebih kepada mereka yang mahu mengemaskini komputer desktop sedia ada, walaupun ia juga menawarkan cip pemprosesan komputer riba yang baru.





