Setiap penghujung tahun di Amanz kami akan terbitkan artikel dan video telefon pintar dan peranti terbaik. Ini adalah amalan yang sudah wujud sejak berdekad lamanya dengan pengalaman terawal saya membaca listicle peranti terbaik ialah lebih tiga dekad lalu di dalam majalah seperti PC Gamers, Chips dan Electronics Gaming Monthly.
Peranti yang memasuki senarai terbaik di penghujung tahun biasanya akan menjadi pilihan pengguna dan oleh itu proses mencari yang terbaik oleh sidang redaksi adalah proses yang mengambil masa. Tetapi dua tahun lalu saya menyedari satu fakta yang tidak lagi mampu disangkal iaitu sebenarnya “telefon pintar terbaik” tidak wujud.

Saya katakan begini kerana setiap manusia mempunyai kemahuan dan kemampuan berbeza pada telefon pintar yang akan digunakan setiap hari selama beberapa tahun. Masalah pertama dengan penulis teknologi seperti saya ialah, kami menerima telefon pintar baharu setiap minggu yang kemudiannya digunakan selama 3-5 hari sebelum ulasan perlu ditulis.
Tempoh 3-5 hari ini sebenarnya tidak mencukupi untuk benar-benar menggunakan sepenuhnya sesebuah telefon pintar. Maka pendapat kami insan-insan yang mengulas tidak selari dengan keperluan pengguna di dunia sebenar.
Ini adalah fenomena dan masalah baharu kerana semasa saya mula terjun tiruk ke dalam arena ulasan telefon pintar lebih 16 tahun lalu landskap telefon pintar adalah berbeza. Pada waktu tersebut telefon pintar masih baharu dan peranti yang diulas masih lagi telefon dan bukannya superkomputer multimedia di dalam tangan. Ini adalah era yang lebih mudah dan kurang memeningkan untuk penulis teknologi berbanding sekarang.

Hanya 12 tahun lalu, adalah normal untuk menggunakan telefon selama 2 minggu sebelum ulasan ditulis. Masa yang lama diberikan kerana
- a) Masih tidak banyak telefon pintar dilancarkan di Malaysia
- b) Pengeluar memberikan unit ulasan jauh lebih awal sebelum tarikh pelancaran.
Dalam tempoh masa ini, saya dapat benar-benar menguji ketahanan bateri, kemampuan kamera dan kelancaran sistem operasi dalam semua situasi. Adalah normal sedekad lalu masalah hanya muncul selepas lebih seminggu (atau masalah diselesaikan selepas menerima kemas kini pasca pelancaran) apabila pemproses benar-benar diuji dalam dunia sebenar dan peranti sudah hilang bau kilang.
Telefon pintar terbaik tidak wujud kerana apa yang saya rasakan penting mungkin langsung tak penting kepada anda. Contoh terbaik ialah Samsung Galaxy S25 Ultra yang tidak memasuki senarai “terbaik” majoriti YouTuber dan laman teknologi kerana di penghujung tahun, cip pemproses, prestasi kamera, saiz bateri dan pengecasan bateri yang digunakan sudah agak ketinggalan berbanding telefon mercu yang dilancarkan pada bulan November.

Tetapi sebenarnya Samsung Galaxy S25 Ultra ialah telefon pintar terbaik 2025 kerana ia satu-satunya yang masih mempunyai stylus terbina. Stylus S Pen ialah ciri paling penting bagi saya kerana membolehkan nota ditulis ketika melakukan temu ramah, mencatatkan KSP penting peranti ketika majlis pelancaran dan mengajar anak menjawab soalan matematik di rumah. Saya tak peduli dengan kekurangan-kekurangan S25 Ultra kerana ia satu-satunya telefon pintar dengan S Pen.
S Pen penting bagi saya dan adalah sebuah “non-negotiable” tetapi bagi anda ia mungkin hanya aksesori yang jarang sangat digunakan serta hanya meningkatkan kos panel skrin.
Telefon pintar terbaik juga tidak wujud kerana tidak semua orang mahukan semua komponen pada peranti adalah yang terbaik, paling berkuasa dan terkini. Contoh terbaik ialah iPhone 16. Kameranya hanya dua, baterinya kecil, pemproses kurang berkuasa dan skrin pula hanya 6.3″. Tetapi menurut laporan Counterpoint Research, iPhone 16 ialah telefon dengan jualan tertinggi pada Q3 2025. Jika trend tahun lalu pula diambil kira, iPhone 15 ialah model paling laku di dunia bukannya model Pro, Pro Max, atau Ultra.

Terbaik banyak seorang pengulas teknologi ialah “semua komponen terbaik”. Tetapi bagi untuk orang ramai, cip berkuasa untuk menjalankan aplikasi lazim dan harga yang tidak memerlukan tanah di kampung digadai adalah definisi terbaik untuk mereka. Pengulas teknologi rata-ratanya adalah sedikit disconnected dengan dunia sebenar kerana sudah tegal biasa bertukar-tukar telefon harga hampir 5 angka setiap minggu.
Oleh sebab itu saya secara peribadi akan melakukan perubahan besar dalam penulisan ulasan saya tahun ini. Saya akan cuba memberikan tumpuan kepada apa yang bagus pada peranti yang diulas. Kemudian saya akan melihat kepada siapa peranti itu serasi digunakan. Saya akan senaraikan lebih banyak kelebihan dan kekurangan supaya anda sebagai pembaca ,boleh melakukan keputusan sendiri sama ada peranti tersebut baik atau tidak.
Ini azam tahun baru 2026. Mengulas dengan lebih jelas. Jika anda bertanya kepada saya“telefon mana paling bagus?”. Saya akan jawab dengan soalan balas “nak gunakan untuk apa dan apakah dua perkara paling penting pada peranti untuk anda?”. Kerana sekali lagi ingin saya tegaskan. Sebenarnya..Dragonball ada 7 biji kesemuanya telefon pintar terbaik tak wujud.






