Satelit Terbesar Dunia Dilancarkan Membolehkan Sambungan 5G Terus Dari Angkasa
Effi Saharudin
iPhone moden dan beberapa model telefon pintar di China mempunyai kemampuan melakukan penghantaran mesej menerusi satelit di angkasa lepas dalam situasi kecemasan. Hanya sebilangan kecil telefon pintar menyokong ciri ini kerana ia memerlukan perkakasan khas. AST SpaceMobile yang berpangkalan di Texas, ingin menyelesaikan isu ini dengan sambungan rangkaian 5G terus daripada satelit di angkasa lepas pada peranti biasa.

Mereka baru sahaja melancarkan satelit BlueBird 6 ke orbit bumi rendah dengan ia adalah satelit komersial paling besar pernah dilancarkan. Apabila panel solar dibuka, ia mempunyai keluasan 2400 kaki persegi membolehkan ia mengesan isyarat telefon selular di bumi walaupun di angkasa lepas. Semua peranti semasa boleh melakukan sambungan kepada satelit ini tanpa perkakasan tambahan.
AST SpaceMobile ingin melancarkan antara 45-60 lagi satelit BlueBird 6 ke orbit sepanjang 2026. Ini membolehkan ia menawarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan dengan kelajuan muat turun sehingga 120 Mbps. Teknologi AST SpaceMobile sudahpun terbukti berfungsi selepas panggilan 5G angkasa lepas pertama dilakukan oleh mereka menggunakan sebuah Samsung Galaxy S22 yang tidak diubahsuai pada tahun 2022.






