
Samsung Perkenal Cip 2nm Untuk Telefon Pintar – Exynos 2600
Aman
Samsung hari ini secara rasminya telah memperkenalkan cip terbaru mereka untuk telefon pintar dibawah siri Exynos, iaitu Exynos 2600. Cip mercu ini dijangka akan menguasakan telefon pintar mereka akan datang dibawah siri Galaxy S26.
Exynos 2600 hadir dengan senibina 2-nanometer GAA (Gate-All-Around), membawakan 10 teras CPU yang berasaskan senibina Arm v9.3. Dengan sokongan senibina 2-nanometer, ia dilihat berprestasi lebih tinggi dan pada masa yang sama lebih efisien dalam penggunaan tenaga. Ini juga menjadikan Samsung yang pertama hadir dengan cip 2nm untuk telefon pintar, berbanding Qualcomm atau MediaTek.
Cip ini hadir dengan 10 teras, yang mengabungkan satu teras utama C1-Ultra berkelajuan 3.8Ghz, 3 teras prestasi C1-Pro pada kelajuan 3.25Ghz, dan 6 teras C1-Pro pada kelajuan 2.75Ghz.
Melengkapkan cip ini juga adalah teras GPU Xclipse 960. Samsung turut mengemaskini teras NPU, sekaligus menawarkan prestasi AI 113% lebih baik berbanding cip Exynos mercu sebelum ini. Samsung turut menambah-baik prestasi cip ini pada ketika suhu tinggi, sekaligus mengatasi masalah yang dihadapi cip Exynos sebelum ini.
Sokongan lain yang disertakan pada cip ini adalah kamera sehingga 320-megapixel, sokongan LPDDR5X, UFS 4.1, HDR10+, dan sokongan segar semula 120Hz. Samsung tidak menyatakan akan menggunakan cip ini pada peranti mana. Tetapi, memandangkan ia hadir dengan prestasi mercu, maka kita mungkin melihat ia disertakan pada model Galaxy S26 akan datang, yang mungkin dipasarkan dibeberapa negara secara terhad.






