Samsung dilihat terus memberikan kemas kini sehingga enam tahun untuk telefon kelas permulaannya, dan kini ia turut dibawa ke model baharu Galaxy A07 5G. Pengenalan peranti menjadi tambahan untuk versi LTE sebelum ini di samping hadir dengan beberapa perubahan pada perkakasan dalaman.

Samsung Galaxy A07 5G hadir dengan skrin LCD 6.7 inci beresolusi 720 x 1600 (HD+) serta kadar segar semula 120Hz. Ia dikuasai oleh cip Mediatek Dimensity 6300 dengan pilihan memori sehingga 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Selain itu, bateri 6000mAh disediakan boleh dicas semula melalui sokongan port USB-C.


Peranti ini turut menerima sokongan kemas kini sekuriti sehingga enam kemas kini sistem operasi utama dan perlindungan selama enam tahun menyerupai model LTE sekali gus menjadikannya sesuai digunakan untuk jangka masa panjang. Dari segi kamera, ia dilengkapi tetapan 50MP + 2MP di bahagian belakang serta kamera swafoto 8MP. Peranti ini juga dilindungi dengan penarafan kalis air IP54.

Samsung Galaxy A07 5G ditawarkan pada harga Php 8,290 (~RM552) untuk model 64GB dan Php 9,990 (~RM666) bagi model 128GB. Ia hadir dengan beberapa pilihan warna termasuk hitam dan ungu.
Berdasarkan semakan, peranti ini juga sudah mula disenaraikan di laman web rasmi Samsung Malaysia sebagai produk akan datang yang menandakan pelancarannya ke pasaran tempatan bakal berlangsung tidak lama lagi.






