Samsung Dijangka Perkenal Perkhidmatan “Brain Health” Pada CES 2026 – Membolehkan Data Dianalisa Untuk Amaran Awal Dimentia
Aman
Samsung kini dilaporkan bakal perkenal sebuah perkhidmatan baharu ketika acara CES 2026 awal Januari ini, iaitu Brain Health atau kesihatan minda. Melaluinya, ia akan menganalisa sejumlah data yang dihimpunkan melalui jam tangan pintar dan juga telefon pintar, sekaligus membolehkan kemerosotan kognitif dikenal-pasti lebih awal.
Secara tidak langsung, ini juga boleh digunakan untuk memberikan amaran awal berkenaan beberapa perkara, termasuk melibatkan dimentia. Seperti ramai sedia maklum, dimentia merupakan penyakit otak yang menjejaskan ingatan, bahasa, kebolehan berfikir dan beberapa perkara lain yang boleh menganggu kehidupan harian.

Untuk menjayakan perkara ini, Brain Health akan menganalisa sejumlah data, termasuk corak tidur, suara pengguna, dan pelbagai corak kehidupan harian. Ia seterusnya akan melihat adakah terdapat sebarang kesan terhadap kemorosotan kognitif menggunakan data tersebut.
Selain hanya memaparkan amaran, Samsung dijangka akan turut menyediakan bantuan dalam menambah-baik kebolehan kognitif seseorang, melalui beberapa program latihan minda.
Langkah ini juga dijangka akan menambah-baik lagi penawaran sokongan kesihatan melalui peranti dan perkhidmatan Samsung. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pengenalan ciri ini, dan sama ada ia akan ditawarkan secara global atau terhad di beberapa buah negara sahaja untuk peringkat permulaan.






