Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Samsung Malaysia melalui pelancaran rasmi Samsung Galaxy Lab Smart Classroom.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program Galaxy Campus dan menggambarkan usaha untuk mengukuhkan hubungan antara institusi akademik tempatan dan sektor industri. Ia juga seiring dengan perkembangan pesat transformasi digital di negara ini.

Buat julung kalinya, bilik kuliah konvensional di UiTM telah dinaik taraf sepenuhnya menjadi ruang pembelajaran moden. Sebuah ruang berskala besar kini tersedia lengkap dengan teknologi terkini daripada Samsung bagi menyokong keperluan pengajaran semasa secara lebih efektif dalam persekitaran berteknologi tinggi.

UiTM merupakan antara universiti terawal di Malaysia yang menjalinkan kerjasama dengan Samsung Malaysia bagi menjayakan inisiatif ini. Inisiatif ini juga merupakan satu usaha berterusan yang selaras dengan perkembangan pesat dalam bidang pendidikan digital.

Antara peranti yang disediakan dalam inisiatif ini termasuk model-model terkini seperti Galaxy S25 Ultra dan S25 Plus, Galaxy S24 Ultra dan S24 Plus, serta peranti boleh pakai seperti Galaxy Watch6 dan Galaxy Buds FE. Turut disediakan ialah model terdahulu seperti siri Galaxy A9, dan tablet Galaxy Tab S9 FEserta S10 FE.

Semua peranti ini boleh digunakan secara langsung oleh pensyarah dan pelajar seterusnya menyokong pengalaman pembelajaran yang menyerupai persekitaran industri sebenar dan berasaskan penggunaan teknologi moden.

Kerjasama ini bukan sekadar melibatkan penajaanbahkan turut merangkumi sokongan teknikal yang berterusan serta jaminan penggantian peranti sekiranya berlaku kerosakan. Pendekatan ini membantu memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran dalam persekitaran yang stabil dan efisien.

Majlis pelancaran telah disempurnakan dengan kehadiran Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Dr. Rasid, serta Pengarah Korporat Samsung Malaysia. Kedua-dua pihak menyatakan komitmen mereka untuk memperkasa para pelajar dalam bidang media dan komunikasi melalui kemudahan teknologi terkini.
Naib Canselor UiTM sendiri turut hadir memberi sokongan penuh terhadap inisiatif ini sekaligus menzahirkan keyakinan bahawa kerjasama seperti ini mampu mempercepatkan evolusi ekosistem pembelajaran yang lebih moden.