DJI mengorak langkah baharu dalam teknologi rumah pintar menerusi pengumuman produk terbaharu mereka, DJI Romo. Romo merupakan robot vakum pertama keluaran syarikat tersebut. Video promosi pendek yang dimuat naik di Weibo turut mengesahkan tarikh pelancaran rasmi Romo pada 6 Ogos 2025 di China.

Walaupun maklumat teknikal penuh masih belum didedahkan, imej promosi itu memperlihatkan beberapa ciri rekaan utama. Antaranya termasuk kehadiran dua berus hadapan yang direka untuk meningkatkan proses pembersihan lantai. Namun, satu perkara yang mencuri perhatian ialah ketiadaan sensor LiDAR yang merupakan teknologi yang lazim digunakan dalam robot vakum moden bagi tujuan pemetaan ruang tertentu secara terperinci.
Selain itu, DJI turut menunjukkan dermaga simpanan separa lutsinar dalam imej promosi mereka, tetapi masih belum dapat dipastikan sama ada versi tersebut akan ditawarkan kepada pengguna atau sebaliknya. Walaupun pelancaran Romo dijangka tertumpu kepada pasaran China pada peringkat awal, DJI telah memberi jaminan bahawa produk ini akan dikilangkan secara besar-besaran untuk ditawarkan dengan lebih terbuka kepada pengguna.