Roblox Kini Mewajibkan Pengesahan Umur Untuk Menggunakan Ciri Chat
Effi Saharudin
Roblox hari ini mengaktifkan ciri pengesahan umur dengan imbasan swafoto sebelum pengguna dibenarkan mengakses ciri Chat teks dan suara dalam permainan. Langkah ini diambil bagi meningkatkan keselamatan khusus untuk memastikan interaksi yang sesuai mengikut umur.

Pengguna perlu mengesahkan bahawa mereka berumur 13 tahun ke atas dengan sistem swafoto automatik dengan ciri ini diwajibkan ke atas semua pengguna seluruh dunia. Ciri ini hanya diwajibkan kepada pengguna di Australia, New Zealand dan Belanda sahaja sejak Disember tahun lalu.
Langkah ini juga membolehkan ciri Chat mengikut kumpulan umur sekali gus mengehadkan komunikasi antara kanak-kanak dan orang dewasa. Proses semakan umur dilaksanakan melalui teknologi Facial Age Estimation dalam aplikasi Roblox. Menurut Roblox, semua imej yang digunakan dalam proses semakan akan dipadam sebaik sahaja selesai diproses bagi memastikan privasi pengguna terpelihara.

Selepas semakan umur, pengguna akan ditempatkan dalam kumpulan iaitu bawah 9 tahun, 9–12, 13–15, 16–17, 18–20 dan 21+. Mereka hanya dibenarkan bersembang dengan kumpulan umur yang sama atau berdekatan seperti yang ditetapkan. Pengecualian diberikan melalui fungsi Trusted Connections yang membolehkan interaksi dengan ahli keluarga atau kenalan rapat.





