Rekaan Trump T1 Phone Berubah Lagi Menjadi Samsung Galaxy S25 Ultra Pula
Effi Saharudin
Jun lalu telefon pintar Trump T1 Phone dilancarkan dengan ia dipasarkan sebagai telefon pintar buatan Amerika Syarikat sepenuhnya untuk patriot. Sejurus selepas dilancarkan, peranti ini menerima kritikan ramai kerana dilihat sebagai hanyalah telefon pintar OEM buatan China yang diberikan kerangka dengan bendera Amerika. Kini Trump Mobile yang menawarkan peranti ini berkongsi imej baharu untuk T1 Phone dan ia mirip sebuah Samsung Galaxy S25 Ultra.

Lebih memalukan gambar yang digunakan untuk mempromosikan peranti jelas hanyalah gambar S25 Ultra dengan kerangka tahan lasak Spigen. Dalam imej di atas dapat dilihat logo Spigen ditampal dengan bender Amerika Syarikat.
Trump T1 Phone dilancarkan dengan 6.8″ AMOLED, memori sebesar 12GB RAM, storan 256GB, dan bateri sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecasan berwayar 20W. Ini dipadankan dengan kamera utama 50+2+2 MP dan kamera swafoto 16MP. Sistem operasi yang digunakan pula ialah Android 15.

Tidak diketahui apakah pemproses yang digunakan serta berapa lamakah peranti akan disokong. Ia juga hanya ditawarkan dalam warna emas serta mempunyai rekaan bendera Amerika Syarikat di panel belakang. Setiap Trump T1 Phone dijual pada harga $499 (~RM 2116) sebuah.
Pelancaran telefon bertemakan politik ini adakah fenomena baharu di Amerika Syarikat tetapi di Malaysia peranti bertemakan UMNO telahpun ditawarkan pada tahun 2015 .
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.