Dubai Frame di Emiriyah Arab Bersatu ialah sebuah struktur bingkai gergasi setinggi 150 meter di bandar Dubai yang merupakan salah sebuah tarikan pelancongan di negara tersebut. Pada hujung minggu lalu, Red Bull telah menukar struktur ini untuk dijadikan bingkai permainan video klasik yang terkenal, iaitu Tetris.
Sebanyak 4000 drone telah dikerahkan, dimana 2800 daripadanya digunakan untuk menjadi paparan permainan Tetris terbesar di dunia dalam pertandingan Red Bull Tetris World Final yang berlangsung pada hujung minggu yang lalu.
Pertandingan tersebut merupakan pertandingan Tetris global yang terbesar setakat ini, dimana lebih dari 7 juta permainan Tetris dimainkan di pusingan kelayakan, pertandingan skala kebangsaan di lebih 60 negara dan banyak pusingan kalah-mati untuk menyertai pusingan akhir di Dubai Frame.

Pemenang pertandingan sulung Red Bull Tetris World Final dimenangi oleh Fehmi Atalar dari Turkiye yang mengatakan jika dia akan berasa cukup bangga sekiranya beliau memasuki pusingan akhir untuk berpeluang memainkan permainan tersebut pada “skrin besar” Dubai Frame dengan dron-dron tersebut.
Dalam pada itu, untuk pertandingan ini, Red Bull juga dilihat memperkenalkan beberapa kelainan kepada permainan video klasik ini dengan penambahan kuasa yang menarik seperti melajukan dan memperlahankan blok dan kelebihan-kelebihan lain.

Sebelum pusingan akhir sebenar bermula, Fehmi Atalar dan Leo Solórzano dari Peru bersaing dalam perlawanan pra-akhir selama tiga minit – dimana pemenang akan mendapat hak untuk menentukan susunan permainan dalam format pemain tunggal di pusingan akhir.
Setelah memenangi pusingan tersebut, Atalar memilih untuk bermain di tempat kedua dalam pusingan penentuan. Pihak lawan masing-masing akan mempunyai masa permainan selama lima minit untuk mendapatkan skor tertinggi, dimana Tetrimino (nama blok Tetris) mereka dicipta dalam masa nyata dengan armada 2,800 dron; 1,400 untuk setiap pemain.
Solórzano berjaya mendapatkan skor 57,164 dalam masa lima minit, manakala Atalar pula memenangi pusingan terakhir tersebut dengan skor 168,566 dalam masa yang sama.






