Malaysia Oversight

Rangkuman 25 Berita Teknologi Terbesar 2025

By Amanz in December 22, 2025 – Reading time 19 minute
Rangkuman 25 Berita Teknologi Terbesar 2025


Akhirnya kita sampai ke rangkuman 25 berita teknologi terbesar sepanjang 2025. Tahun ini ialah tahun kecerdasan buatan (AI) maka jangan terkejut majoriti berita dalam senarai ini adalah mengenai AI. Ini merangkumi isu penggunaan air, kos RAM meningkat, projek pusat data bernilai ratusan billion, penggunaan AI generatif dalam karya seni komersial dan banyak lagi.

10 BERITA TEKNOLOGI 2025

1. Tarif

TArif Amerika

Tarif melampau yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas semua negara dunia menjadi pilihan pertama senarai ini kerana ia tindakan tidak masuk akal yang bukan sahaja merosakkan ekonomi Amerika tetapi juga negara lain. Sebagai menyambut “Hari Pembebasan”, tarif antara 10-64% dikenakan ke atas negara rakan dagang Amerika Syarikat.

Malaysia dikenakan tarif 24% dengan pula dihukum dengan tarif 67%. Formula yang digunakan pentadbiran Presiden ialah mengenakan tarif berdasarkan defisit import oleh negara rakan dagang. Malaysia lebih banyak mengeksport ke Amerika dan oleh sebab itulah dikenakan 24%. Negara yang mengimport lebih banyak daripada Amerika juga turut dihukum dengan tarif 10%. Kesemua ini dilakukan oleh bagi memaksa syarikat luar kembali mengilangkan produk di dalam Amerika.

Perang tarif kemudian menjadi semakin tidak masuk akal dengan pada suatu ketika dikenakan tarif setinggi 245% sebelum diturunkan ke 30% sahaja. Ini selepas China menghalang eksport unsur nadir bumi ke semua negara untuk memberikan tekanan ke atas Trump.

Tarif Trump kemudian ditangguhkan selama 90 hari tetapi ia akan luput pada 9 Julai. Masih tiada maklumat adakah Trump akan menangguhkannya lagi seperti arahan menjual TikTok atau ekonomi global akan jatuh mendadak sekali lagi pada tarikh tersebut.

Akhirnya pada Oktober, Trump datang ke Malaysia sempena persidangan kemuncak ASEAN dan tarif ke atas Malaysia dikurangkan ke 19%. Sebanyak 1,711  barangan buatan Malaysia yang dieksport dikenakan tarif yang lebih rendah. Pelepasan ini melibatkan eksport ke Amerika bernilai $5.2 bilion (~RM 21.9 bilion) yang bersamaan 12% eksport keseluruhan negara.


2. Kecerdasan Buatan (AI) Semakin Memuncak

Artificial Intelligence Kecerdasan Buatan

Pelaburan ke atas penyelidikan AI dan pusat-pusat data AI semakin memuncak pada separuh tahun pertama 2025. OpenAI, Meta, Google, Microsoft, Anthropic dan pelbagai lagi syarikat AI melaburkan bertrilion semata-mata untuk menjadi yang pertama menghasilkan Kecerdasan Am Buatan (AGI).

OpenAI dengan Project Stargate $500 bilion untuk menjadi Amerika Syarikat pusat data dunia. Meta membeli Scale Ai dan menubuhkan Meta Superintelligence Labs selepas berjaya memancing saintis terbaik daripada OpenAI, Google dan Safe Super Intelligence dengan memberikan ganjaran sehingga $300 juta seorang.

Sementara itu di Arab Saudi dan UAE, beberapa pusat data bernilai ratusan bilion turut diumumkan bagi mencapai aspirasi mereka untuk turut menjadi kuasa besar AI dalam masa terdekat. Dalam keghairahan ini, kajian Oxford University mendapati pusat data AI dunia didominasikan oleh China dan Amerika Syarikat dengan 90% daripadanya menggunakan perkakasan NVIDIA.

Kemampuan kecerdasan buatan juga semakin meningkat. Google Veo 3 dapat menjadi filem pendek lengkap dengan audio sepadan. Model OpenAI telah mula menyebabkan manusia kehilangan kerja. CEO Anthropic pula meramalkan tahap pengangguran di Amerika akan meningkat ke 20% dalam masa 5 tahun disebabkan AI.

Dalam perkembangan positif pula, di China perkhidmatan chatbot AI dimatikan sepanjang tempoh peperiksaan Gaokao bagi mengelakkan pelajar mengelat untuk memasuki universiti dan Google Deepmind meramalkan pergerakan taufan 15 hari lebih awal.


3. Kontroversi Perkakasan AI Di Malaysia

Malaysia Cip

Kontroversi turut melanda dunia AI di Malaysia selepas mesin pelayar yang mengandungi GPU NVIDIA bernilai $390 juta diseludup masuk ke China dari Singapura menerusi Malaysia. Ia menjadi kes besar kerana China dikenakan sekatan membeli kelengkapan NVIDIA oleh Amerika Syarikat. Kelengkapan NVIDIA dianggap terbaik dan pelbagai cara dilakukan untuk mendapatkannya walaupun secara haram.

Hanya beberapa minggu yang lalu pula, muncul laporkan 15 buah cakera keras yang setiap satunya mengandungi 80TB data untuk melatih AI didakwa diseludup dari China untuk dilatih menggunakan mesin pelayar AI di Kuala Lumpur. Ia dilihat sebagai satu lagi usaha memintas halangan akses cip NVIDIA yang dikenakan ke atas China oleh Amerika Syarikat.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Julai mengeluarkan arahan bahawa eksport, pemindahan dan transit cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi yang berasal dari Amerika Syarikat akan tertakluk kepada permit perdagangan berkuat kuasa serta-merta.


4.Pelesenan Media Sosial Malaysia Gagal

Media Sosial

Platform media sosial sepatutnya mempunyai lesen untuk beroperasi di Malaysia bermula 1 Januari 2025. Tetapi sehingga bulan ini hanya Telegram, WeChat dan TikTok sahaja mempunyai lesen operasi menurut Kementerian Komunikasi walaupun permohonan dibuka sejak Ogos 2024.

X masih berkeras mereka tidak mempunyai 8 juta pengguna. Meta yang mengendalikan Facebook, WhatsApp dan Instagram sekadar menyatakan minat untuk bertemu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membincangkan permohonan lesen. Google pula sebelum ini tidak bersetuju YouTube dikategorikan sebagai media sosial. SKMM sudah melakukan pertemuan dengan Microsoft berkenaan pelesenan LinkedIn tetapi sehingga ke hari tiada berita mereka akan memohon.

Selepas pelbagai usaha meminta syarikat media sosial berdaftar, kerajaan akhirnya melaksanakan Peruntukan Deeming berkuat-kuasa 1 Januari 2026 dimana semua penyedia perkhidmatan permesejan internet dan media sosial dengan jumlah minima 8 juta pengguna di Malaysia, akan disifatkan berdaftar dan tertakluk di bawah kerangka pelesenan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi.

Ini sekaligus memastikan perkhidmatan media sosial dan permesejan internet ini tertakluk di bawah perundangan serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan. Langkah ini turut memastikan platform sosial berkenaan mengambil tanggungjawab terutamanya melibatkan keselamatan pengguna, dan turut melindungi kanak-kanak dan keluarga.


5.Harga Bitcoin Naik dan Turun Sepanjang 2025

Bitcoin Hijau

Harga Bitcoin naik melebihi $100,000 selepas Donald Trump memenangi pilihanraya presiden Amerika tetapi jatuh semula pada bulan Februari. Ia kemudian ke nilai tertinggi dalam sejarah iaitu $126,198 pada bulan Oktober. Tahun 2025 melihat Amerika Syarikat ingin menjadi negara paling mesra wang kripto dunia. Ini mendorong peningkatan nilai wang kripto sejak Mac. Tetapi semasa artikel ini ditulis nilai Bitcoin merosot kembali ke sekitar $88,000 yang adalah lebih rendah berbanding nilai sekitar $93,000 pada 1 Januari 2025.

Pasaran menunjukkan trend nilai wang kripto utama dunia akan melonjak naik tahun ini. Ini mendorong James Howells seorang individu di Wales untuk membeli sebuah tapak pelupusan sampah. Beliau percaya tapak ini mengandungi cakera keras yang menyimpan 8000 Bitcoin milik beliau. Sejak 2013, Howell meminta kebenaran daripada Majlis Perbandaran Newport di Wales untuk mencari cakera keras yang mengandungi dompet digital Bitcoin beliau selepas ia dibuang secara tidak sengaja.

Permintaan beliau dinafikan atas sebab keselamatan tetapi dengan tapak pelupusan ini sudah ditutup, beliau mencuba sekali lagi pada Februari untuk membelinya dengan harapan akan menerima habuan bernilai berbilion Ringgit pada waktu tersebut.


6.NVIDIA Syarikat Pertama Mencapai Nilai Pasaran $5 Trilion

nVIDIA LOGO

Kerana Tarif Trump, nilai pasaran syarikat-syarikat utama dunia terkesan teruk. Untuk seketika NVIDIA, Microsoft dan hilang status sebagai syarikat dengan nilai pasaran melebihi $3 trilion. Syarikat lain termasuk Tesla milik Elon Musk terkesan kerana tarif dikenakan ke atas aluminium serta komponen yang perlu diimport dar China.

Dianggarkan saham bernilai lebih $3 trilion dilupuskan dalam masa sehari selepas Tarif Trump diumumkan. terkesan kerana majoriti produk masih dihasilkan di China. Microsoft terkesan kerana kelengkapan pusat data AI yang ingin dibina juga perlu diimport daripada China. NVIDIA pula terkesan kerana ura-ura Trump dipercayai akan menyekat sepenuhnya jualan cip AI kepada China. Pasaran hanya pulih semula selepas Trump bersetuju menangguhkan tarif selama 90 hari.

Ini dan juga permintaan tinggi untuk cip AI menjadi pemangkin kepada NVIDIA untuk menjadi syarikat pertama mencapai nilai pasaran $5 trilion pada Oktober lalu. Permintaan yang tinggi untuk AI juga melihat , Microsoft dan Google berjaya mengekalkan status sebagai syarikat dengan nilai pasaran $4 trilion menjelang penghujung 2025.


7.Meta Memancing Kakitangan AI Pesaing Dengan Ganjaran Ratusan Dolar

Meta AI

Perlumbaan untuk menjadi syarikat AI terbesar dunia menjadi semakin hangat tahun ini dengan Meta memancing kakitangan syarikat pesaing seperti OpenAI, Google, Apple dan Perplexity sebelum menubuhkan Meta Superintelligence Labs (MSL). Antara yang berjaya dipancing MSL ialah Shengjia Zhao yang merupakan pencipta bersama ChatGPT di OpenAI.

Turut berjaya dipancing daripada OpenAI ialah pencipta model o3/o4-mini, GPT-4o, GPT-4.1, GPT-4.5, 4o-imagegenGPT-4o voice mode dan o4-mini. Ketua pembangunan Gemini, Waymo dan Deepmind juga berjaya ditarik daripada Google oleh MSL. Kesemuanya ditawarkan habuan gaji dan saham bernilai ratusan juta juga turut dijadikan habuan oleh Meta untuk memacu inisiatif kecerdasan am buatan (AGI) di MSL.

Semua ini berlaku di pertengahan tahun ini. Kemudiannya selepas beberapa bulan MSL dirombak pula oleh Mark Zuckerberg menyebabkan kakitangan yang baru diambil meletakkan jawatan, kembali kepada syarikat lama atau dibuang kerja. MSL didakwa tidak mempunyai hala tuju yang jelas selepas ditubuhkan.

Kehilangan paling besar MSL ialah apabila ketua penyelidikan kecerdasan buatan (AI) Meta, Yann LeCun mengesahkan beliau akan meninggalkan syarikat pada penghujung tahun ini bagi menubuhkan syarikat AI beliau sendiri.


8.Cloudflare Alami Gangguan – Ribuan Laman dan Perkhidmatan Internet Tergendala

Cloudflare Error masalah Down B

Tahun lalu gangguan Crowdstrike menyebabkan perkhidmatan syarikat penerbangan dan perniagaan tergendala di peringkat global mengakibatkan hampir 9 juta komputer terjejas. Bulan lalu perkhidmatan utama yang memerlukan capaian internet tergendala selama hampir 6 jam disebabkan isu sistem Cloudflare. Antara yang terjejas ialah X, ChatGPT dan Amanz sendiri tidak boleh diakses kerana sistem yang sepatutnya mengelakkan gangguan ke atas operasi yang terganggu.

Cloudflare mengesahkan gangguan tidak disebabkan oleh serangan siber seperti yang disebarkan di media sosial. Sebaliknya perubahan pada sistem pangkalan data ClickHouse menyebabkan fail konfigurasi “feature file” untuk modul Bot Management menggandakan saiz.

Fail yang terlalu besar melebihi had sistem sehingga menyebabkan berlakunya ralat HTTP 5xx meningkat. Perkhidmatan Cloudflare kembali dan hilang berkali-kali semalam kerana fail in dijana secara bergilir setiap 5 minit. Cloudflare berkata berikutan insiden ini mereka telah memperketatkan pengendalian fail konfigurasi dan menambah suis mematikan global untuk mengelakkan ia daripada berulang di masa hadapan.


9.Subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) Diperkenalkan Pada 30 September

Budi Madani RON95 BUDI95 1

Program subsidi bersasar petrol RON95, yang dinamakan Budi Madani RON95 (BUDI95) diperkenalkan pada 30 September 2025. Harga jualan petrol RON95 akan ditetapkan pada harga siling RM1.99 seliter untuk mereka yang layak menerima BUDI95 dan RM2.60 seliter bagi mereka yang tidak layak. Manakala harga petrol RON97 kekal pada harga pasaran semasa RM3.21 seliter. Ini juga adalah harga yang akan perlu dibayar oleh kenderaan-kenderaan luar negara yang masuk ke Malaysia dan mahu mengisi petrol.

Bagi rakyat biasan, kuota 300 liter petrol diberikan setiap bulan. Bagi pemandu perkhidmatan seri-pandu pula, kuota bulan 800 liter sebulan diberikan dengan syarat jarak minimum perjalanan sebanyak 5,000km sebulan. Sekiranya jumlah petrol yang diisi melebihi had tersebut, pemilik kenderaan perlu membayar harga pasaran semasa.

Rakyat Malaysia juga tidak perlu melakukan sebarang pendaftaran kerana proses pengesahan subsidi ini menggunakan MyKad sedia ada yang mana ia akan disahkan melalui terminal di stesen petrol dan juga di terminal pam minyak.


10. Proton e.MAS5 dan Perodua QV-E Dilancarkan Pada Harga Mampu Milik

Proton eMAS 5 Amanz launch IMG 0343 2

Proton e.MAS 5 dilancarkan pada bulan Oktober sebagai EV kedua keluaran syarikat tempatan dengan dua versi iaitu Prime dan Premium dan jarak perjalanan sehingga 325 KM WLTP. Proton e.MAS 5  dijual pada harga RM 59,800 untuk versi Prime, manakala RM 72,800 untuk versi premium.

Ia hadir dengan jaminan selama 6 tahun tanpa sebarang had perbatuan, dan jaminan bateri serta komponennya selama 8 tahun atau 160,000 km jarak perbatuan, tertakluk kepada mana satu dahulu. Dengan penawaran e.MAS 5, industri EV tempatan semakin menarik selepas e.MAS 7 dilancarkan penghujung tahun lalu. Selepas sekian lama menantikan EV pada harga lebih “rahmah”. e.MAS 5 muncul bagi mereka yang tidak ingin berbelanja lebih untuk menggunakan kenderaan sifar pelepasan karbon.

Ini diikuti rapat oleh pelancaran Perodua QV-E  pada awal bulan ini dengan harga RM 80,000 dan program sewaan bateri secara berasingan. Ini merealisasikan janji Perodua menawarkan EV tempatan pada harga bawah RM100,000 untuk bersaing dengan Proton e.MAS 5 yang mula dijual pada bulan Oktober

Walaupun harga jualannya menarik, EV pertama rekaan tempatan sepenuhnya ini dilanda kontroversi kerana pelbagai terma dan syarat dikenakan ke atas sewaan bateri. Antaranya ialah tidak boleh menggunakan QV-E sebagai kenderaan seru-pandu atau komersial. Kegagalan membayar sewa bateri selama 2 bulan akan menyebabkan kenderaan dimatikan dari jarak jauh oleh Perodua.


11.AI Menyebabkan Harga RAM dan Storan Naik Mendadak

image 85
Mrjn Photograph/ Unsplash

Permintaan untuk membina puluhan pusat data AI dengan jutaan cip AI menyebabkan tekanan ke atas bekalan cip NAND yang diperlukan untuk RAM dan storan SSD. Tahun ini melihat harga jualan RAM dan SSD meningkat sehingga 50% dengan harga peranti pintar akan menjadi lebih mahal menerusi pengesahan Dell, Acer, Asus, Xiaomi, Samsung dan banyak lagi.

Akibatnya besar kemungkinan sokongan kad microSD akan kembali semula pada telefon pintar Android. Sementara itu pada telefon pintar peranti dengan memori asas 4GB RAM turut akan kembali menjadi normal sementara pada PC pula 8GB akan menjadi normal. NVIDIA pula mungkin menguragkan pengeluaran kad grafik gaming sehingga 40% tahun depan. Kesemuanya akibat penangan pusat data khususnya bagi melatih model AI.

Setakat ini Micron telah menghentikan jenama Crucial yang menawarkan RAM kepada pasaran konsumer kerana memberikan tumpuan kepada pelanggan komersial. Sekiranya selama ini anda mengatakan AI tidak mendatangkan impak ke atas kehidupan anda, tahun depan and akan menyedari anda tidak akan dapat lari lagi daripada kesan negatif perang AI.


12. Malaysia Haramkan Individu Bawah 16 Tahun Mendaftar Akaun Media Sosial Bermula 2026

Media Sosial

Individu bawah 16 tahun diharamkan daripada mendaftar akaun media sosial bermula 2026 menurut Menteri Komunikasi Datuk Fadzil bulan lalu. Ini menurut adalah selaras denganAkta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act 2025) yang akan berkuatkuasa bermula 1 Januari depan.

Platform media sosial perlu mengaktifkan sistem eKYC mereka bagi mengesahkan identiti serta umur pengguna yang membuka akaun. Pengesahan identiti akan dilakukan menggunakan MyKad, passport atau MyDigital ID. Ini akan menjadikan Malaysia negara kedua selepas Australia yang mengharamkan akses media sosial kepada pengguna bawah 16 tahun pada 10 Disember lalu.

Belum diketahui apakah penalti sekiranya platform gagal mengesakan usia pengguna atau pengguna yang melanggar pengharaman ini di Malaysia. Di Australia denda A$49.5 juta (~RM 132 juta) jika ini berlaku.

Penguatkuasaan oleh Kementerian Komunikasi juga masih kabur sedangkan ia akan bermula dalam masa hanya 5 minggu. Apakah yang akan berlalu kepada akaun media sosial pengguna bawah 16 tahun di Malaysia juga masih menjadi tanda tanya. Ini adalah persoalan yang penting kerana tahun ini platform media sosial sepatutnya memohon lesen dengan SKMM untuk beroperasi tetapi hanya TikTok, WeChat dan Telegram sahaja sudah melakukannya setakat ini.


13. 5.Gamat Boleh Menghalang Penyebaran Kanser

Gamat Kanser

Minyak gamat sudah lama digunakan untuk mengubat luka dengan kami yakin anda sekurang-kurangnya satu di rumah dan ia menjadi antara buah tangan apabila ke Langkawi. Penyelidik dari University of Mississippi kini mendapati sebatian yang dihasilkan gamat boleh menghalang penyebaran kanser.

Kanser disebarkan ke bahagian lain menerusi proses metastasis disebabkan oleh enzim Sulf-2. Sel manusia diliputi struktur kecil seperti rambut yang dipanggil glycans yang membantu komunikasi sel, tindak balas imun dan pengecaman ancaman seperti patogen. Sel-sel kanser mengubah enzim tertentu tubuh, termasuk Sulf-2 yang seterusnya mengubah struktur glycans. Pengubahsuaian ini membantu kanser merebak.

Tetapi sebatian gula sugar fucosylated chondroitin sulfate yang dihasilkan gamat daripada spesis Holothuria floridana boleh menghalang Sulf-2 dalam ujian yang dilakukan di makmal. Apabila Sulf-2 dihalang, metastasis kanser dapat dihalang daripada berlaku.

Kelebihan lain sebatian yang dihasilkan gamat ini ialah ianya selamat digunakan dan lebih mudah dihasilkan berbanding proses sintetik. Halangan pada waktu ini ialah mendapatkan fucosylated chondroitin sulfate dalam jumlah yang banyak bagi melakukan ujian klinikal pada haiwan makmal sebelum dikembangkan pula kepada manusia.


14. Pembinaan Bangunan Terpanjang Dunia The Line Dilaporkan Bermasalah

The Line Neom Hidden MArina
The Line- Hidden Marina

Dengan projek The Line di Neom, Arab Saudi ingin menjadi negara dengan bukan sahaja bangunan terpanjang tetapi terbesar pernah dibina dalam sejarah peradaban homo sapiens. Ia adalah buah fikiran batu jenama Putera Muhammad bin Salman dengan ia sepanjang 170km dan setinggi 500 meter.

Bulan lalu Financial Times melaporkan The Line sedang mengalami beberapa masalah besar yang akan menyebabkan projek akan dikecilkan daripada skala asal. Isu pertama ialah rekaan bangunan yang didapati tidak boleh direalisasikan kerana melanggar hukum fizik serta senibina.

Pembinaan fasa pertama The Hidden Marina sudah dimulakan dengan ia akan mempunyai pelabuhan kapal dan gerbang gergasi lengkap dengan lampu chandelier gergasi. Kerana saiznya yang mega, jurutera mendapati chandelier ini tidak boleh dibina kerana akan bergoyang sepanjang masa sehingga musnah dengan sendiri.

Kos asal bangunan juga kini dipercayai melonjak ke lebih $4.5 trilion daripada anggaran asal $1 trilion. Arab Saudi berharap pelaburan asing akan dapat menanggung sebahagian kos tetapi ia gagal dicapai.

Disebabkan kesemua isu di atas, perancangan asal membina 20 modul pertama sepanjang 16 km kini dikecilkan ke 3 modul sahaja. Ia akan menempatkan pelabuhan, tempat tinggal dan stadium tertinggi dunia yang akan digunakan untuk Piala Dunia Arab Saudi 2034 nanti.


15. Windows 10 Ditamatkan Pada 10 Oktober

Windows 10 Tamat

Pada 14 Oktober lalu, sokongan untuk Windows 10 telah ditamatkan secara rasmi oleh Microsoft. PC dengan Windows 10 masih boleh digunakan seperti biasa tetapi tidak lagi akan menerima sebarang kemas kini ciri-ciri baharu ataupun tampalan sekuriti.

Pengguna dengan kelengkapan yang memenuhi kelayakan minima digalakkan untuk menaiktaraf sistem operasi ke Windows 11 dengan segara. Sekiranya PC anda tidak melepasinya, anda diberikan pilihan menyertai Windows 10 ESU (Extended Security Updates) yang memberikan kemas kini sekuriti sehingga 13 Oktober 2026 sahaja.

Tindakan Microsoft menamatkan sokongan Windows 10 menerima kritikan kerana sekitar 41% PC di dunia masih lagi menggunakan sistem operasi yang dilancarkan lebih 10 tahun lalu. Dell pula mendedahkan masih terdapat 1 bilion PC masih menggunakan Windows 10 dengan 500 juta PC boleh dinaiktaraf ke Window 11 tetapi pemilik enggan melakukannya.


16. Streamyx Ditamatkan Selepas 24 Tahun

Streamyx

Telekom Malaysia menamatkan perkhidmatan Streamyx /Unifi Lite, selepas notis penamatan dikeluarkan pada 18 Mac 2025. Halaman web rasmi TM memaparkan notis penaik-tarafan Streamx/Unifi Lite ke Unifi Broadband. Streamyx adaah salah satu perkhidmatan internet yang memulakan akses internet lebih pantas, sebelum tibanya era internet berasaskan gentian optik.

Streamyx ditawarkan sejak 2001 dan ketika dilancarkan ia hadir dengan pakej berkelajuan 384kbps, panggilan suara tanpa had untuk telefon rumah, akses internet tanpa had yang berbeza dengan dial-up yang perlu dibayar berasaskan penggunaan. Ia juga turut hadir dengan akaun emel @streamyx.com yang turut digunakan ramai pada suatu masa dahulu. Perkhidmatan emel ini telah ditamatkan oleh TM lebih awal sebelum ini.

Streamyx pernah menawarkan kelajuan sehingga 8Mbps menggunakan sambungan berasaskan talian tetap. Telekom Malaysia seterusnya telah mula memperkenalkan perkhidmatan internet berasaskan fiber sejak 2010 di bawah jenama Unifi. Dengan penamatan Streamyx ini, ia sekaligus menyertai beberapa jenama Telekom Malaysia yang telah berkubur seperti Bluehyppo.


17. Israel Menggunakan Microsoft Azure Untuk Memantau Warga Palestin

Intipan Telefon Palestin

Tahun lepas Isreal melakukan serangan bom dalam mesin kelui dan radio dua hala. Tahun ini mereka dilondehkan pula menggunakan perkhidmatan Microsoft Azure untuk mengintip perbualan telefon warga Palestin sejak 2022 dengan data yang dikumpul kemudiannya digunakan untuk membantu melakukan serangan udara serta telah merancang operasi ketenteraan di Gaza dan Tebing Barat.

Microsoft akhirnya menghalang Israel daripada menggunakan Azure pada September. Dalam dokumen yang tertiris, rakaman panggilan telefon warga Palestin telah disimpan di pusat data Azure yang terletak di Belanda dan Ireland. Di pangkalan data Belanda sahaja, rakaman audio melebihi 200 juta jam disimpan dengan ia mengambil ruang simpanan 11,500 TB.

Microsoft ialah antara syarikat yang dimasukkan ke dalam senarai pergerakan Boikot, Nyahlabur dan Sekatan (BDS) antarabangsa kerana penglibatan mereka dengan rejim Zionis yang sedang melakukan genosid secara aktif di Palestin menurut laporan rasmi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.


18.Kajian MIT Mendapati ChatGPT Menjadikan Pengguna Malas dan Aktiviti Otak Merosot

OTAK MIT ChatGPT otak

Dalam tempoh tiga tahun, OpenAI yang dahulunya hanya dikenali dalam kalangan peminat Dota dan peminat teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi antara syarikat yang paling dikenali dunia. Siapa sangka pembangun bot yang boleh mengalahkan manusia dalam Dota kemudiannya membangunkan chatbot yang mengubah bagaimana kerja, kajian dan pencarian maklumat dilakukan di seluruh dunia.

Sejak dilancarkan, ramai tertanya-tanya apakah impak ChatGPT terhadap manusia? Kita sudah dapat melihat ribuan individu kehilangan kerja dan kini kajian dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) mendapati ia turut mendatangkan impak negatif terhadap otak manusia.

Kajian melibatkan 54 peserta dalam lingkungan usia 18-39 tahun yang diberikan tugas menulis beberapa karangan untuk SAT (ujian setaraf STPM). Peserta dipisahkan kepada tiga kumpulan dengan kumpulan pertama menulis dengan bantuan ChatGPT, kumpulan kedua menggunakan Google dan kumpulan ketiga tanpa sebarang bantuan.

Alat EEG dipasangkan di kepala untuk merekodkan aktiviti 32 wilayah otak penulis. Penyelidik mendapati pengguna ChatGPT mempunyai penglibatan otak yang paling rendah. Prestasi otak mereka juga secara konsisten rendah pada tahap saraf, linguistik dan tingkah laku. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, pengguna ChatGPT turut menjadi lebih malas dengan setiap karangan yang dihasilkan menjadi karya salin dan tampal menjelang akhir kajian.

Oleh itu penyelidik mencadangkan penggunaan model bahasa rasa (LLM) seperti OpenAI boleh membahayakan proses pembelajaran terutamanya untuk pengguna muda. Walau bagaimanapun kertas kajian ini belum lagi melepasi proses kajian setara dan hanya menggunakan sampel yang agak kecil.


19.Pencarian MH370 Dimulakan Semula Pada 30 Disember

MH370 9M MRO Wikipedia
Boeing 777-200ER 9M MRO

Enigma kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 masih belum terungkai. Apakah yang menyebabkan pesawat Boeing 777-200ER dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal menjadi perdebatan dengan wujud teori ia disengajakan dan ada yang percaya ia adalah disebabkan kuasa ghaib. Selepas lebih 11 tahun pesawat ini hilang, pencariannya akan dimulakan semula minggu depan pada 30 Disember.

Syarikat Ocean Infinity akan menjalankan pencarian selama 55 hari secara berperingkat di kawasan Lautan Hindi Selatan yang dipercayai mempunyai kebarangkalian tinggi adalah lokasi akhir pesawat sebelum terhempas. Pencarian dilakukan berdasarkan perjanjian perkhidmatan antara Kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity yang ditandatangani pada 25 Mac lalu. Ia dilakukan bagi memberikan penutup dan keadilan kepada keluarga mangsa.

Ocean Infinity telahpun terlibat dalam dua carian sebelum ini tetapi gagal menemukan pesawat. Kontrak yang ditandatangani ini ialah selama 18 bulan dengan kawasan carian adalah seluas 15,000 kilometer persegi. Mereka hanya akan menerima bayaran $70 juta (~RM 289 juta) sekiranya berjaya menemukan bangkai pesawat


20.Mesin Basuh Manusia Boleh Dibeli Di Jepun Pada Harga RM1.59 Juta

Mesin Basuh Manusia Mirai Ningen Sentakki A

Mirai Ningen Sentakki yang bermaksud mesin basuh manusia diperlihatkan di Expo 2025 Osaka dengan ia dibangunkan oleh firma Science sebagai menyambut ulang tahun ke-55 prototaip mesin basuh manusia diperlihatkan di Expo 1970 Osaka. Di tapak expo, pelawat boleh mencuba mesin basuh manusia ini sekiranya berani.

Pada asalnya ia sekadar prototaip tetapi Science kini menawarkan Mirai Ningen Sentakki pada harga 60 juta Yen (~RM 1.59 juta) kepada pelanggan yang berminat dengan 60 unit sahaja akan dikeluarkan,.

Ia membasuh badan manusia dalam masa 5 minit sahaja dengan pengguna duduk dalam kedudukan berbaring. Di peringkat awal badan manusia akan direndam sebelum sistem pancuran dan semburan air sabun akan membersihkan kotoran di badan.

Semasa duduk di dalam pod pembersihan, pengguna akan ditayangkan video dan muzik yang menenangkan jiwa. Nadi akan dijejak oleh Mirai Ningen Sentakki untuk melihat tahap stres. Selepas kitaran membersih lengkap, air akan dikeluarkan daripada kebuk dan pengguna boleh keluar untuk mengeringkan badan.


21. Menteri Chatbot AI Albania Akan “Melahirkan” 83 Anak-Anak AI

Diella Menteri AI
Diella

September tahun ini, Albania mengumumkan pelantikan Diella, menteri chatbot kecerdasan buatan (AI) pertama dunia yang dibangunkan khusus untuk membasmi penyelewengan dalam pemberian kontrak kerajaan. Kerana ia sebuah chabot AI dan bukannya manusia, keputusan Diella tidak boleh dipengaruhi dengan rasuah atau diancam nyawanya untuk memaksa kontrak diberikan.

Kemudiannya pada Oktober, Perdana Menteri Albania, Edi Rama mengatakan Diella kini “hamil” dan bersedia untuk melahirkan 83 anak-anak AI yang akan membantu 83 ahli parlimen untuk melakukan tugasan. Anak-anak Diella ini akan memberikan rumusan perbincangan di dalam dewan sekiranya terlepas sesi perbahasan misalnya.

Penggunaan AI dalam pentadbiran juga akan dipertingkatkan melangkaui skop asal Diella memantau pemberian kontrak. PM Rama berkata, ia juga akan diperluaskan ke sektor lain, termasuk keselamatan makanan dan kawalan produk menerusi anak-anak Diella. Kesemua sistem AI ini akan digunakan di Albania menjelang penghujung 2026.


22. Elon Musk Menjadi Manusia Pertama Mencapai Nilai Kekayaan $500, $600 dan $700 Bilion

000 8WA6DZ

Elon Musk awal tahun ini telah menjadi manusia pertama mencapai nilai kekayaan $500 bilion, dan minggu lalu mencatatkan nilai kekayaan mencapai $600 bilion. Seminggu berlalu dan Musk sekali lagi memecahkan rekod peribadi dengan menjadi manusia pertama mencapai nilai kekayaan melebihi $700 bilion.

Ketika artikel ditulis harta kekayaan beliau bernilai $749 bilion. Kekayaan peribadi beliau adalah lebih tinggi berbanding kekayaan gabungan Larry Page ($253 bilion) dan Larry Ellison (243 bilion) di tangga ke-2 dan ke-3.

Peningkatan nilai kekayaan yang terbaru ini ialah selepas mahkamah Delaware membenarkan pembayaran ganjaran $56 bilion yang dinafikan tahun lalu. Peningkatan harga saham Tesla dan nilai SpaceX juga yang turut menjadi pemangkin kepada nilai kekayaan peribadi semakin meningkat.

Musk kini di jalan yang betul untuk menjadi trilionwan pertama dalam sejarah dengan pakej ganjaran bernilai ratusan bilion akan diterima jika beliau berjaya mencapai penghantaran 20 juta EV, mengeluarkan 1 juta teksi swapandu Cybercab bagi tujuan komersial, mengeluarkan 1 juta robot Optimus juga untuk tujuan komersial dan meningkatkan keuntungan Tesla ke $400 bilion daripada $17 billion sekarang.


23. Johor Menjadi Jelapang AI Tetapi Tangguh Pembinaan Pusat Data Kerana Kekurangan Air

Pusat Data Center

Johor akan menjadi Jelapang AI Malaysia dalam masa terdekat selepas meluluskan pembinaan 42 pusat data baharu di awal tahun ini. Daripada jumlah ini, beberapa projek telahpun sudah memulakan operasi. Pusat data pertama dengan cip NVIDIA B200 turut disahkan akan dibina oleh YTL di Johor.

Tetapi berita paling besar mengenai pusat data di Malaysia ialah Johor meminta pelabur yang ingin membina pusat data yang menggunakan sistem penyejukan berasaskan air ditangguhkan sekurang-kurangnya selama 18 bulan sehingga pertengahan tahun 2027.

Keputusan dibuat susulan kebimbangan terhadap jaminan bekalan air di negeri tersebut. Johor kini berhadapan kekurangan sumber air yang berpunca daripada kemarau, pencemaran, serta peningkatan mendadak permintaan daripada sektor industri.

Kemudian pada bulan lalu kerajaan Johor tidak lagi akan meluluskan permohonan pembinaan pusat data Tahap 1 dan Tahap 2 yang menggunakan sehingga 50 juta liter air sehari (MLD). Ini adalah penggunaan air yang tinggi bersamaan keperluan 25 juta individu sehari. Selepas ini hanya pusat data Tahap 3 dan Tahap 4 yang menggunakan sehingga 0.2 MLD sahaja akan diluluskan.

Walaupun bekalan air secara keseluruhannya mencukupi, negeri ini menghadapi masalah ketidakseimbangan pengurusan dan pengagihan. Sumber air tertumpu di kawasan tengah dan timur Johor tetapi permintaan adalah tinggi di bahagian selatan.


24.Pengeluaran Telefon Pintar Nokia Dihentikan

HMD Global Nokia

HMD Global adalah pemegang lesen mengeluarkan telefon pintar dengan jenama Nokia sejak 2016. Tetapi era telefon pintar Nokia nampaknya telah berakhir dengan laman HMD Global menyatakan pengeluaran telefon pintar seperti Nokia XR21 telahpun dihentikan pada Januari lalu.

Sejak dua tahun lalu, HMD Global telah memasarkan telefon pintar jenama sendiri dengan model HMD Fusion dijual di Malaysia pada bulan Oktober. Era telefon pintar Nokia sudahpun tamat tetapi telefon selular biasa Nokia masih lagi akan dikeluarkan untuk ke satu tarikh yang belum ditetapkan. HMD Global telahpun mengeluarkan telefon pintar mereka sendiri beberapa bulan lalu.

Pada Julai, Nokia dikatakan mencari rakan pengeluar baharu telefon pintar tetapi sehingga kini masih tidak berita baharu sama ada telefon pintar syarikat ini akan kembali ke pasaran.


25.AI Mula Digunakan Menggantikan Bakat dan Kesan Khas di Malaysia Serta Global

Sofea hos maya AI TV3

Media Prima ialah syarikat tempatan yang berani menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam program mereka meskipun dikritik oleh orang ramai. Awal bulan ini mereka menggunakan hos AI yang menjadi penyampai acara liputan perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 dengan menampilkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Hos yang diberi nama Sofea ini berkongsi data penting dan konteks yang lebih mudah difahami oleh penonton. Antaranya ialah jumlah kerusi, jumlah pengundi dan juga parti-parti yang bertanding dalam PRN kali ini.

Pada September, TV3 menjadi saluran TV pertama Malaysia menghasilkan siri yang dijana sepenuhnya oleh AI. Siri animasi Misteri di Sebalik Order mula ditayangkan di TikTok bermula 6 September lalu. Episode pertama adalah sepanjang 1:54 minit dengan ia memaparkan kehidupan Cap seekor capybara yang bekerja sebagai seekor penghantar makanan.

Di peringkat global Tilly Norwood diumumkan sebagai pelakon kecerdasan buatan (AI) pertama dunia di Festival Filem Zurich. Walaupun ianya sekadar rekaan firma Xicoia, Norwood dilaporkan mendapat perhati beberapa agensi lakonan yang ingin menjadikan ia pelanggan yang berlakon dalam filem sebenar. Dalam dunia muzik pual, penyanyi AI Xania Monet menjadi yang pertama berjaya memasuki cart muzik Billboard.

Netflix mengaku menggunakan AI menghasilkan kesan khas dalam siri The Eternauts. Di Malaysia filem Duyung Legenda Aurora dan Abu Si Raksasa mula menggunakan AI generatif menghasilkan kesan khas tahun ini dengan kesemuanya menerima kritikan negatif daripada penonton.



Source link