Prism+ ialah sebuah jenama yang cukup terkenal pada mulanya untuk penawaran paparan skrin mereka yang cukup banyak. Kini ia juga dikenali untuk penawaran pelbagai produk elektrik yang lain seperti televisyen pintar, peti sejuk dan mesin pendingin hawa.

Kini, mereka telah memperlihatkan beberapa penawaran produk baru dari segi televisyen pintar, pendingin hawa, dan penawaran terbaharu mereka, iaitu mesin basuh pintar.
Bermula dengan penawaran televisyen pintar mereka yang terbaru, iaitu Prism+ SQ Series TV, yang merupakan televisyen pintar 4K pertama mereka yang menggunakan panel QLED yang menjanjikan olahan warna yang jitu dan cerah. Penggunaan sistem operasi Google TV juga bermakna anda boleh memuat-turun semua aplikasi penstriman video kegemaran anda seperti YouTube, Netflix, HBO Max, Disney+ dan sebagainya dan menonton semua siri televisyen kegemaran anda.

Siri televisyen ini hadir dalam dua pilihan model, iaitu Prism+ SQ32 dan Prism+ SQ43 yang menandakan saiz paparan (32 inci dan 43 inci) yang mana kedua-duanya hadir dengah nilai yang cukup menarik.
Produk kedua yang dilancarkan ialah Prism+ Roam yang kini hadir dalam pilihan saiz paparan 27 inci, berbanding dengan sebelum ini pada 32 inci sahaja. Prism+ Roam merupakan sebuah “tablet bergerak” yang hadir dengan paparan LCD bersaiz 27 inci, menggerakkan sistem operasi Android 14 yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis tujuan, seperti tontonan televisyen, sebagai sebuah papan putih, paparan untuk tujuan telesidang, sebuah menu digital dan lain-lain lagi.

Kelebihan paparan ini ialah ia boleh ditetapkan secara mendatar ataupun menegak bergantung kepada keperluan, dan dialihkan dengan mudah sekiranya ia tidak diperlukan. Model 27 inci ini juga telah dikemaskini dengan kamera web terbina didalamnya, tidak seperti sebelum ini apabila ia menggunakan kamera dengan magnet untuk dipasang didalamnya.
Produk terbaharu yang kini ditawarkan oleh Prism+ ialah mesin basuh Prism+ Typhoon Washer yang hadir dengan empat pilihan muatan basuh, termasuklah 8.5kg, 9.5kg, 10.5kg dan 12.5kg. Mesin basuh ini hadir dengan lapan mod basuhan yang membantunya membasuh pelbagai jenis fabrik dengan berkesan, pengimbas tahap air pintar untuk pembasuhan yang cekap dan tidak membazir air, penuras serat yang menangkap serat benang dan kotoran lain.

Mesin basuh ini juga boleh menyeimbangkan kain basuhan supaya ia sentiasa beroperasi pada tahap optimum. Ia juga mempunyai fungsi pembersihan tong mesin basuh untuk membasmi kotoran dan kuman daripada permukaan dalam mesin basuh untuk menjanjikan pembersihan yang terbaik sepanjang masa.

Prism+ turut memperlihatkan mesin pendingin hawa Prism+ Luna Ultra yang hadir dalam pilihan 1 kuasa kuda, 1.5 kuasa kuda dan 2 kuasa kuda. Ia menggunakan teknologi inverter yang menjanjikan penggunaan bekalan elektrik yang lebih cekap dan bahan penyejuk R32 refrigerant yang tidak mencemarkan alam sekitar dan selamat untuk digunakan untuk tujuan penyejukan oleh orang ramai.

Ia juga boleh disambungkan ke aplikasi Prism+ Connect App untuk kawalan mudah secara terus dari peranti pintar. Fungsi pembersihan kendiri juga dibina didalam mesin pendingin hawa ini ini juga memastikan komponen-komponennya sentiasa bersih dan boleh digunakan dengan selamat.

Prism+ mengatakan bahawa produk-produk ini sudah boleh mula dibeli di pasaran Malaysia bermula hari ini, 26 November 2025:
- Prism+ SQ32 Smart TV – RM1999 (harga promosi RM674 sementara stok masih ada)
- Prism+ Roam 27 – RM5279 (harga promosi RM3699 sementara stok masih ada)
- Prism+ Roam Ultra 27 – RM5609 (harga promosi RM3999 sementara stok masih ada)
- Prism+ Luna Ultra – RM1599–RM2399 (harga promosi RM1199–RM1999 sementara stok masih ada)
Pra-tempahan untuk produk-produk ini juga telah mula dibuka bermula hari ini, dan akan ditawarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi:
- Prism+ SQ43 Smart TV – RM2299 (harga promosi RM999 sementara stok masih ada)
- Prism+ Typhoon Washer – RM799–RM1299 (harga promosi RM659–RM1019 sementara stok masih ada)

Jika anda berminat untuk mendapatkan produk-produk ini, anda boleh mula membelinya melalui laman web atau kedai fizikal Prism+, atau ke jerayawara jenama tersebut di IOI Mall di Puchong yang akan berlangsung dari 28–30 November ini.






