Poco Hadir Dengan Dua Tablet Baharu – Pad X1 dan Pad M1 Dengan Harga Bermula RM999
Lina Rosli
Selari dengan pelancaran siri Poco F8, Pocot urut mengembangkan ekosistem AIoT mereka dengan memperkenalkan dua tablet baharu iaitu Poco Pad X1 dan Poco Pad M1.
Kedua-dua tablet ini masing-masing hadir dengan spesifikasi menarik yang merangkumi penawaran janaan cip berkuasa tinggi selain turut dilengkapi dengan sistem operasi Xiaomi HyperOS baharu – yang dijangka akan memudahkan penggunaan untuk aktiviti multi-tugasan.

Untuk Poco Pad X1, ia hadir dengan cip Snapdragon 7+ Gen 3, memori 8GB RAM dan storan 512GB, selain turut menyokong permainan sehingga 120FPS secara stabil.
Peranti ini juga hadir dengan sokongan paparan 3.2K dan saiz skrin sebesar 11.2-inci. Melengkapkan peranti adalah kadar segar semula sehingga 144Hz, bateri 8850mAh bersama pengecasan 45W, serta empat pembesar suara Dolby Atmos untuk pengalaman multimedia lebih imersif.

Sementara itu, Poco Pad M1 pula menawarkan skrin lebih besar 12.1-inci dengan sokongan paparan 2.5K dan kadar segar semula 120Hz. Untuk tablet ini, ia dilengkapi dengan janaan cip Snapdragon 7s Gen 4 dan bateri 12,000mAh.

Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan pembesar suara kuad bersama Dolby Atmos yang mampu meningkatkan audio sehingga 300% menjadikannya lebih sesuai untuk tontonan dan permainan kasual.
Sama seperti Poco Pad X1, Poco Pad M1 ini turut menjalankan Xiaomi HyperOS dengan sokongan ciri AI dan interaksi rentas peranti.

Untuk pasaran Malaysia, kedua-dua tablet ini dijual pada harga seperti berikut:
| Model | Varian | Warna | Harga Jualan | Harga Promosi | Promosi |
| POCO Pad X1 | 8GB+512GB | Grey dan Blue | RM 1,499 | RM 1,299 | Diskaun 50% untuk pembelian POCO Pad X1 Keyboard dan POCO Focus Pen |
| POCO Pad M1* | 8GB+256GB | RM 1,199 | RM 999 | POCO Pad M1 Cover bernilai RM 199 ditawarkan secara percuma |
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






