Platform NVIDIA Rubin Dilancarkan Dengan Prestasi Melatih AI Lima Kali Ganda Blackwell
Effi Saharudin
Di CES 2026, NVIDIA mengumumkan platform senibina cip Rubin yang akan menggantikan senibina Blackwell yang digunakan sekarang. CEO Jensen Huang mengatakan cip dengan senibina ini akan menawarkan peningkatan kelajuan melatih model kecerdasan buatan (AI) dan juga inferens pada waktu yang sama menawarkan penjimatan penggunaan kuasa.

Platform Rubin dinamakan sempena ahli astronomi Vera Rubin dengan ia menggabungkan enam cip untuk menghasilkan sebuah ekosistem AI yang lengkap. Cip tersebut ialah CPU Vera, GPU Rubin, NVLink 6 Switch, ConnectX‑9 SuperNIC, DPU BlueField‑4 DPU dan Spectrum‑6 Ethernet Switch.

Turut diumumkan ialah sistem NVIDIA Vera Rubin NVL72 dan platform NVIDIA HGX Rubin NVL8. NVIDIA Vera Rubin NVL72terdiri daripada 72 GPU NVIDIA Rubin, 36 CPU NVIDIA Vera, NVIDIA NVLink 6, NVIDIA ConnectX-9 SuperNICs and DPU NVIDIA BlueField-4 DPUs. NVIDIA HGX Rubin NVL8 pula terdiri daripada 8 GPU NVIDIA Rubin yang menyokong sistem AI generatif x86.

Prestasi melatih model AI adalah sehingga 3.5x lebih pantas berbanding Blackwell, sehingga 5x lebih pantas dalam tugasan inferens dengan kuasa memproses mencecah 50 PFLOPS. Untuk setiap Watt tenaga digunakan, ia melakukan 8 kali ganda lebih banyak inferens berbanding Blackwell.
Walaupun pengeluaran cip baru sahaja dimulakan, Anthropic, Microsoft, OpenAI, xAI, Meta, Gogle Cloud dan Amazon Web Services adalah antara syarikat terawal mengatakan merekan menggunakannya. Superkomputer HPE Blue Lion dan Doudna turut akan menggunakannya kelak.






