Dengan tahun 2025 berbaki sebulan, hari ini Perodua secara rasminya telah melancarkan kereta elektrik pertama mereka iaitu Perodua QV-E pada harga RM 80,000, tidak termasuk pajakan bateri. Pajakan bateri berasingan bertujuan untuk memudahkan pemilikan dan juga memberikan lebih cara untuk Perodua dalam mengatur ekosistem pemilikan kereta elektrik mereka.

Dengan rekaan Sportback, ia tampak lebih maskulin, lebih bergaya dan hadir dalam dua warna iaitu biru dan kelabu. Rekaan lampu hadapan hadir dengan jalur LED penuh dan lampu projektor, dan juga lampu belakang yang bergaya. Keseluruhan lampu isyarat kenderaan juga merupakan LED Sequential Lights dan ia dilengkapi dengan paparan elektrik cermin belakang yang disambungkan pada kamera belakang yang terletak di bahagian spoiler.

Rekaan dalaman pula turut membawakan paparan instrumen bersaiz 10.25-inci, paparan inforia yang juga mempunyai saiz sama dan boleh ditambat secara nirwayar kepada Apple Carplay atau Android Auto. Terdapat juga suis mod pemanduan dan juga pilihan tahap pembrekan janaan semula bagi memudahkan kawalan kereta elektrik ini. Di bahagian belakang terdapatnya sensor pengesanan kanak-kanak, dimana ia akan memberikan amaran sekiranya kanak-kanak atau haiwan peliharaan tertinggal di ruang penumpang belakang.
Perodua QV-E mempunyai bateri sebesar 52 kWh yang boleh memberikan jarak perjalanan sejauh 440km NEDC. Slot pengecasan yang terletak disebelah kiri mampu mengecas DC setinggi 60 kW, membolehkan proses pengecasan pantas 30-80% dalam 30 minit, manakala pengecasan AC 7 kW membolehkan pengecasan penuh 0-100% sekitar 7 jam. Dengan motor elektrik pacuan hadapan yang memberikan kuasa maksimum 150 kW dan 285Nm tork, ia juga mempunyai had laju maksimum 165km/j.
Mengenai pajakan bateri, ia ditawarkan berasingan kerana Perodua mengatakan ingin memudahkan pemilikan QV-E supaya pengguna tidak berasa risau akan susut nilai kereta elektrik ini. Malah jaminan sepanjang hayat turut ditawarkan dengan syarat bateri tersebut masih dimiliki Perodua. Sekiranya terdapat sebarang masalah bateri, termasuklah sekiranya kesihatan bateri jatuh dibawah 70% pengguna boleh menukarnya secara percuma. Sekiranya pemilik ingin menjual Perodua QV-E, ia juga harus melalui platform yang disediakan Perodua bagi menjamin nilai pasaran semula.

Perodua QV-E yang dilancarkan pada harga RM80,000 pada hari ini juga merupakan permulaan kepada perkembangan ekosistem kereta elektrik buatan tempatan dengan 50% penggunaan teknologi dan kerjasama dengan syarikat tempatan. Perodua turut menyasarkan kadar penggunaan bahan serta teknologi tempatan bakal mencapai 70% pada tahun 2027.






