Beberapa minggu yang lalu, kami telah melaporkan bahawa Amazon akan mula menawarkan perkhidmatan internet satelit mereka sendiri, yang dinamakan Amazon Leo pada tahun hadapan. Terkini, mereka telah memperlihatkan butiran tentang penawaran perkhidmatan tersebut, dan ia akan hadir bukan sahaja untuk pengguna umum, tetapi untuk sektor perindustrian dan korporat juga.

Amazon memperlihatkan tiga pelan langganan yang menentukan kelajuan dan jenis kelengkapan yang akan digunakan untuk langganan-langganan tersebut. Ia termasuklah Leo Nano dengan kelajuan sehingga 100Mbps dengan piring satelit bersaiz 7×7 inci, Leo Pro dengan kelajuan sehingga 400Mbps dengan piring satelit bersaiz 11×11 inci dan Leo Ultra dengan kelajuan sepantas 1Gbps dengan piring satelit bersaiz 20x30x1.9 inci.

Amazon kini mempunyai 150 satelit di orbit bumi, dengan angka yang dijangka akan meningkat lagi apabila perkhidmatan tersebut dilancarkan kelak. Dengan janji kelajuan muat-turun 1Gbps dan kelajuan muat-naik 400Mbps, Amazon Leo boleh dikatakan ialah perkhidmatan internet satelit dengan kelajuan internet yang terpantas di dunia sekarang.
Amazon Leo dilihat boleh dimanfaatkan oleh bukan sahaja mereka di luar kawasan bandar, tetapi untuk mendapatkan sambungan internet di tengah laut dan di atas udara untuk tujuan riadah dan juga penyelidikan.

Laman pendaftaran minat untuk perkhidmatan internet satelit ini juga telah dibuka, dan menariknya, Malaysia merupakan salah satu daripada negara-negara yang disenarai. Ia mungkin terlalu awal untuk diberitahu, tetapi harapan kami ialah ia juga akan ditawarkan di sini kelak.
Buat masa ini, tanda harga dan butiran tambahan mengenai perkhidmatan Amazon Leo tidak diketahui lagi, tetapi jangkaannya ialah Amazon akan memperkenalkannya lebih dekat pada tarikh pelancaran kelak.






